
“DIAM adalah pilihan yang diambil seseorang yang mengalami depresi ketika mereka merasakan dunia tidak akan memahami.”
Itu perkongsian menarik oleh Public Health Malaysia dalam satu hantaran terkini yang dimuat naik di laman media sosial mengenai isu diam.
Menurut perkongsian itu, ketika segala upaya untuk berbicara hanya berakhir dengan salah faham atau kritikan, mereka sang depresi memilih untuk berdiam.
Namun, di sebalik diam seorang individu yang depresi, ada jeritan yang tidak terdengar dan ada tangisan yang tidak terlihat.
“Diam bukan tanda mereka tidak peduli, tetapi tanda mereka terlalu terluka untuk terus berbicara.
“Diam itu lahir dari rasa putus asa, di mana setiap usaha untuk meluahkan hanya membawa kepada lebih banyak kesakitan.
“Diam ketika merindui sesuatu atau seseorang yang tidak lagi dapat dicapai adalah satu cara untuk menyelamatkan hati daripada kesakitan yang lebih mendalam.
“Diam itu menjadi perlindungan, seolah-olah jika kata-kata tidak diucapkan, rindu itu tidak akan terasa begitu perit,” ujar perkongsian tersebut.
Namun begitu, setiap keheningan individu depresi, dia akan mengharapkan ada pihak yang boleh mendengar apa yang tidak terucap dan melihat apa yang tersembunyi di sebalik senyuman palsu mereka.
Selain itu, diamnya golongan ini mempunyai kenangan yang tidak terucap, harapan yang punah dan rasa kehilangan yang tidak terubat.
Akhirnya, bagi mereka diam adalah cara mereka mendamaikan jiwa walaupun hati masih meronta-ronta mencari apa yang telah hilang.
“Jika anda mengalami masalah ini, atau berhadapan dengan mereka yang mempunyai masalah ini, jangan terus berdiam kerana ia boleh menjadi lebih parah dan mengganggu aktiviti harian.
“Luahkan pada yang memahami dan boleh cuba luah pada kaunselor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di talian 15555. Harap ia membantu,” kata kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 28/8/2024




















