
KUALA TERENGGANU: KMI Kuala Terengganu Medical Centre (KMI Kuala Terengganu), anak syarikat KMI Healthcare, mencatat sejarah tersendiri apabila menerima Anugerah Global Performance Excellence (GPEA) 2025 Best in Class daripada Asia Pacific Quality Organization (APQO).
Majlis penganugerahan itu diadakan sempena Persidangan Antarabangsa APQO kali ke-30 di Beijing International Convention Centre, China, dari 15 hingga 17 Oktober lalu.
Selain itu, KMI Kuala Terengganu turut dianugerahkan APQO International Best Practice Award (AIBP) 2025 Silver bagi inisiatif Special Task Force (STF) for Profitability yang menumpukan kepada pengukuhan pengurusan kewangan dan peningkatan kecekapan operasi.
Anugerah GPEA merupakan pengiktirafan tertinggi di rantau Asia Pasifik bagi organisasi yang menunjukkan kecemerlangan dalam kualiti pengurusan, inovasi dan prestasi mampan.
Tahun ini, KMI Kuala Terengganu tersenarai antara 10 organisasi terbaik dunia dalam kategori Best in Class sekali gus merekodkan antara siri pencapaian membanggakan bagi syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC), Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) itu.
Pengurus Besar KMI Kuala Terengganu, Salina Long berkata, kejayaan tersebut hasil kerja keras dan komitmen seluruh warga kerja hospital yang sentiasa menekankan budaya kecemerlangan.
“Kejayaan ini membanggakan seluruh warga kerja KMI Kuala Terengganu. Ia membuktikan bahawa penjagaan kesihatan di Malaysia mampu mencapai standard antarabangsa.
“Pengiktirafan ini menjadi dorongan untuk kami terus menambah baik, berinovasi, seterusnya memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit,” katanya.
Beliau berkata, KMI Kuala Terengganu kini merawat lebih 50,000 pesakit setiap tahun dengan kadar kepuasan pelanggan mencecah 91 peratus, hasil daripada penambahbaikan berterusan serta pelaburan dalam tenaga kerja dan sistem sokongan.
“Sepanjang operasi, hospital ini dikenali sebagai penyedia perkhidmatan yang boleh dipercayai dengan keputusan rawatan yang berkualiti,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr Rayney Azmi Ali berkata, pengiktirafan berprestij itu sejajar dengan misi kumpulan untuk menetapkan standard tertinggi dalam aspek kualiti, keselamatan dan inovasi di semua hospital rangkaiannya.
“Kami komited untuk meningkatkan tahap perkhidmatan penjagaan kesihatan di seluruh negara,” katanya mengenai kapasiti KMI Healthcare kini mengurus rangkaian hospital di seluruh negara termasuk KMI Kuantan, KMI Kelana Jaya, KMI Taman Desa dan KMI Tawau.
Kumpulan ini terus memberi tumpuan kepada transformasi digital, pembangunan kakitangan dan pengalaman pesakit untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti. – HARAKAHDAILY 22/10/2025




















