Didik generasi muda kenali tokoh ulama terdahulu

- Advertisement -

KOTA BHARU: Generasi muda diseru mendekati dan mengenali tokoh-tokoh ulama masyhur agar dapat mengambil manfaat ilmu serta semangat juang mereka demi memastikan kelangsungan Islam terus subur di negara ini khususnya di Kelantan.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, sejarah perjuangan ulama tempatan telah memainkan peranan besar dalam membangunkan Islam di negeri ini sejak sekian lama.

Katanya, gelombang penghijrahan ulama luar yang datang menetap di Kelantan turut menyuburkan suasana keilmuan, termasuk kehadiran tokoh tersohor Sheikh Wan Ahmad al-Fatani sebagai tempat rujukan utama para jemaah haji menimba ilmu.

“Malangnya sejarah dahulu sering memperlihatkan tokoh seperti Tok Janggut hanya dari sudut pemberontakan. Sedangkan beliau seorang ulama pejuang yang gugur syahid di Jeram pada tahun 1915.

“Kenali Tok Kenali bagaimana kehebatannya dalam bidang agama, politik, masyarakat termasuk ekonomi,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan pada program Bual Bicara Sejarah Tokoh Kenali dan Sumbangannya.

Program itu diadakan pada Pentas Ulama Sempena Sambutan 35 Tahun ‘Membangun Bersama Islam’ di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad Ke IV, di sini.

Beliau berkata, Tok Kenali amat menekankan kepentingan pendidikan dan pembaharuan jihad ilmu dengan menggerakkan sekolah agama serta institusi pendidikan Arab bagi mendidik masyarakat.

“Dari sinilah lahir generasi ulama yang menjadi kekuatan Islam di Kelantan,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Terengganu.

DrRiduan berkata, hasil kesinambungan perjuangan para ulama itulah yang membawa perubahan besar kepada negeri Kelantan.

Tambahnya, selepas kemenangan PAS bersama gabungan pada tahun 1990, Allahyarham Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyusun semula pentadbiran negeri mengikut acuan Islam.

“Sejak lebih 35 tahun lalu, pentadbiran Islam berjaya mengubah wajah negeri sehingga kedai arak dan judi tidak lagi bebas seperti dahulu,” katanya.

Menurutnya, anak Kelantan kini bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah menguasai dunia ilmu sehingga ke peringkat antarabangsa apabila ramai menjadi imam dan tenaga pengajar di negara seperti Ireland, Korea, Pakistan, India dan lain-lain.

“Fenomena ini membuktikan kecintaan anak Kelantan terhadap ilmu berpunca daripada warisan ulama terdahulu yang memberi ilmu serta menunjukkan teladan sehingga lahirlah generasi berilmu dan beramal,” katanya.

Beliau menyeru generasi muda agar mempelajari ilmu agama serta mengenali tokoh-tokoh ulama terdahulu kerana mereka bukan sahaja mencetuskan kesedaran ilmu, malah menjadi penggerak perjuangan politik, ekonomi dan jihad Islam.

“Ulama seperti Tok Kenali bukan sekadar pendidik, bahkan pemangkin kebangkitan masyarakat. Di bawah kepimpinannya sekolah agama rakyat ditubuhkan di bawah MAIK dan Masjid Muhammadi menjadi pusat pendidikan Islam,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, usaha memperkenalkan para ulama perlu diperluas ke seluruh negara khususnya di negeri SG4 (Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu) agar masyarakat mengenali sejarah dan leluhur ulama tersohor termasuk Tok Kenali.

“Apabila rakyat memahami Islam dan tasawuf Islam dengan sebenar, mereka akan menyokong perjuangan Islam. Inilah sebab kerajaan PAS Kelantan kekal utuh sehingga kini,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/10/2025

- Advertisement -