Dr Munzier fokus tingkat infrastruktur, pendidikan

- Advertisement -

​TAWAU: Meningkatkan kualiti infrastruktur asas termasuk jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik menjadi agenda utama Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.67 Balung, Dr Munzier Mahamud.

​Beliau berkata, komitmen itu adalah sebahagian daripada lima misi utamanya sekiranya diberi mandat memenangi kerusi tersebut, demi memastikan keselesaan dan keselamatan penduduk terjamin.

- Advertisement -

​Selain infrastruktur fizikal, beliau turut memberi tumpuan kepada usaha memajukan pendidikan dan pembangunan modal insan di kawasan berkenaan.

​”Kita mahu menyediakan akses pendidikan berkualiti, latihan kemahiran serta memberi sokongan penuh terhadap pembelajaran masyarakat setempat.

​”Pada masa sama, aspek kesejahteraan sosial dan kesihatan masyarakat tidak akan dipinggirkan melalui penyediaan perkhidmatan kesihatan yang cekap, program kebajikan serta inisiatif yang menyokong golongan memerlukan,” katanya.

​Dr Munzier turut menekankan kepentingan memperkukuh tadbir urus yang telus dan berintegriti dengan mengamalkan prinsip akauntabiliti serta kerjasama erat antara agensi dan masyarakat.

​Misi kelimanya adalah menggalakkan perpaduan dan keharmonian komuniti dengan memupuk nilai saling menghormati dan toleransi dalam kalangan penduduk berbilang kaum.

​Mengulas mengenai harapannya untuk DUN Balung, Dr Munzier mengimpikan pembangunan yang seimbang dan inklusif agar manfaatnya dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.

​”Saya berharap akses kepada kemudahan asas seperti jalan raya, air bersih, elektrik dan internet akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa.

​”Kita juga mahu melihat peluang ekonomi berkembang pesat dengan wujudnya lebih banyak peluang pekerjaan dan ruang keusahawanan untuk menyokong ekonomi tempatan,” ujarnya.

​Beliau turut bertekad untuk memastikan mana-mana pemimpin dan institusi di bawah pimpinannya kelak melaksanakan tugas dengan amanah serta berfokus sepenuhnya kepada kesejahteraan rakyat. – HARAKAHDAILY 17/11/2025

- Advertisement -