Kartun LGBT: Gesa tindakan tegas, RTM gantung siaran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan didesak bertindak tegas dan tidak berkompromi dalam isu penyiaran siri animasi Santiago of The Seas yang mengandungi unsur songsang serta mempromosikan agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) secara halus.

Ketua Penerangan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Mohd Nor Hamzah menegaskan, kerajaan perlu memandang serius perkara ini kerana usaha menormalisasi budaya songsang kini dilihat semakin agresif dengan menyasarkan golongan kanak-kanak.

- Advertisement -

​”Serangan kelompok pendukung LGBT ini semakin sukar untuk dikesan dan meresap secara halus ke dalam pemikiran kanak-kanak. Langkah tersebut adalah strategi jangka panjang.

“(Iaitu) untuk merosakkan pemikiran mereka dengan ideologi LGBT. Sekali gus membentuk komuniti yang akhirnya menerima ideologi tersebut pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

​Justeru, kerajaan disaran melakukan saringan menyeluruh terhadap kartun dari luar negara dan sebaliknya menumpukan sokongan kepada penerbitan animasi tempatan yang lebih selamat dan bebas unsur merosakkan.

​Susulan bantahan dan kebimbangan yang dibangkitkan pelbagai pihak berhubung isu ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil langkah serta-merta menghentikan siaran animasi tersebut.

​RTM dalam kenyataannya memaklumkan, keputusan itu dibuat bagi membolehkan penelitian lanjut dilakukan terhadap keseluruhan kandungan siri berkenaan, khususnya selepas menerima maklum balas mengenai Episod 22 yang disiarkan di TV2 pada 16 November lalu.

​”Walaupun semakan dalaman sebelum ini tidak mengesan sebarang perlakuan yang menggambarkan hubungan pasangan sejenis, namun bagi memastikan tiada elemen yang boleh menimbulkan keraguan atau sensitiviti masyarakat, RTM telah menghentikan siaran animasi berkenaan.

​”RTM kekal komited memastikan semua kandungan yang disiarkan mematuhi etika penyiaran serta tidak menimbulkan ketidaksenangan mana-mana pihak,” jelas stesen penyiaran itu. – HARAKAHDAILY 17/11/2025

- Advertisement -