Warga Israel masuk Malaysia KDN perlu segera bertindak

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) didesak agar segera bertindak dan melakukan siasatan rapi berikutan terdapatnya laporan kemasukan warga negara haram Israel ke Malaysia.

Ketua Pengarah Ameerah Malaysia, Mardhiyyah Johari berkata, perkara itu didedah sendiri seorang pempengaruh warga negara haram tersebut, Nuseir Yassin atau Nas Daily yang memasuki Malaysia dengan menggunakan pasport negara lain.

- Advertisement -

“Mereka masuk ke Malaysia menggunakan pasport negara lain kerana kalau guna pasport negara haram ini, memang mereka tidak boleh masuk ke Malaysia.

“Malaysia sejak dahulu lagi memang tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara haram itu,” kata beliau pada siaran di akuan TikTok, di sini.

Jelasnya lagi, rakyat Israel yang memasuki Malaysia, dipercayai berkumpul di Forest City, Johor Bahru dengan berselindung di sebalik Netwok School.

Mardhiyyah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur berkata, beliau yakin majoriti rakyat Malaysia pastinya tidak rela terdapatnya rakyat Israel tinggal atau mendiami di negara ini.

“Perbuatan terkutuk tentera Israel laknatullah terhadap rakyat Palestin, kekejaman, pembunuhan besar-besaran dan sebagainya tidak boleh dimaafkan.

“Oleh itu kita perlu zahirkan bantahan dan mendesak Kerajaan Persekutuan dan KDN, membuat tindakan tegas, siasat dan halau mereka,” tegas pengamal undang-undang itu lagi

Menurutnya lagi, dua status kenegaraan tidak boleh menyembunyikan fakta bahawa mereka datang dari negara haram penjajah yang tiada hubungan diplomatik dengan Malaysia.

“Mereka tidak boleh tinggal di dalam negara ini dan perlu dihalau keluar dengan segera,” kata beliau lagi.

Terdahulu, pempengaruh berkenaan dikatakan telah berjaya memasuki Malaysia pada Oktober 2022 dan muncul sekali lagi pada Oktober 2025 untuk mempromosikan sebuah komuniti di Forest City, Johor Bahru.

Beliau memasuki Malaysia menggunakan pasport kedua miliknya dari negara kepulauan Caribbean, Saint Kitts and Nevis.- HARAKAHDAILY 16/7/2026

- Advertisement -