Karambunai: PAS lahir ‘anak sulung’ di Sabah

- Advertisement -

KOTA KINABALU: PAS melakar sejarah baharu di bumi Sabah apabila pesuruhjayanya, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai dalam saingan sengit yang melibatkan 11 calon keseluruhannya.

- Advertisement -

Kemenangan dengan majoriti rasmi 371 undi itu menjadikan Karambunai kerusi pertama yang berjaya diraih Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri kali ini.

Keputusan tersebut sekali gus menandakan kejayaan sulung PAS dalam gelanggang DUN Sabah.

Pengumuman awal dibuat oleh Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, melalui hantaran di media sosial lewat malam ini yang menyatakan rasa syukur atas kemenangan itu, sambil menyifatkannya sebagai kelahiran ‘anak sulung’ PAS di negeri tersebut.

Pertembungan di Karambunai kali ini menyaksikan Datuk Dr Aliakbar menewaskan penyandang, Yakub Khan dari Barisan Nasional (BN), yang sebelum ini mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN Sabah 2020 dengan majoriti tipis hanya 16 undi.

Ketika itu, pencabar terdekat Yakub ialah Ahmad Jais Otong daripada Warisan, yang sekali lagi kembali ke gelanggang pada pilihan raya kali ini tetapi turut tidak berjaya menembusi dominasi PN di kerusi tersebut.

Kemenangan malam ini juga mengembalikan semula kelayakan Aliakbar ke DUN Sabah, setelah beliau pernah berkhidmat sebelum ini sebagai Adun lantikan.

Selain itu, beliau juga dikenali sebagai bekas Pengerusi Lembaga Koko Malaysia, menjadikan pengalamannya dalam pentadbiran dan pembangunan industri antara faktor yang mengukuhkan keyakinan pengundi Karambunai.

Dalam sidang media selepas pengumuman rasmi keputusan pilihan raya, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyampaikan tahniah kepada Datuk Dr Aliakbar atas kejayaan bersejarah tersebut.

“Kita tidak akan lupa jasa dan sumbangan semua petugas yang bertungkus lumus memastikan kejayaan sulung ini. Tidak lupa kepada semua penyokong dari seluruh negara yang telah menyumbangkan tenaga dan usaha bagi memastikan gerak kerja jentera pilihan raya berjalan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kemenangan ini sebagai permulaan baharu kepada pengukuhan PN di Sabah dan bukti bahawa pendekatan yang dibawa PAS semakin diterima rakyat negeri itu.

Sebaik sahaja keputusan rasmi disahkan, suasana di bilik operasi PN bagi DUN Karambunai bergema dengan lafaz tahmid dan syukur, menggambarkan kelegaan serta kesyukuran setelah berbulan-bulan mengatur strategi dan menggerakkan jentera kempen.

Kemenangan ini turut membuka lembaran baharu bagi PAS di Sabah, sekaligus memperkukuh kehadiran PN dalam landskap politik negeri tersebut. – HARAKAHDAILY 29/11/2025

- Advertisement -