Menang di Karambunai, Dr Aliakbar hargai semua pihak

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Datuk Dr Aliakbar Gulasan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 hari ini dengan majoriti 365 undi.

- Advertisement -

Beliau yang memperolehi 7,054 undi menewaskan 10 lagi calon iaitu Ahmad Jais Otong (Warisan) yang mendapat 6,689 undi dan penyandang, Datuk Yakub Khan daripada BN yang mendapat 4,475 undi.

Lain-lain calon yang bertanding bagi DUN itu ialah Mohd Yunus Ibrahim daripada PBK yang mendapat 127 undi, Matkri Kassim (PKS – 45 undi), Azman Fathil (GAS – 73), Datuk Arshad Idris (GRS – 4,818), Hates Abdul (SPP – 150), Datuk Stephen Teo (STARSABAH – 2,010), Saikam Salinggou (Perpaduan – 73) dan Adis Jalie (PIS – 162).

Menerusi catatan di laman sosialnya, beliau mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh pengundi di DUN Karambunai.

“Terima kasih kerana memberikan undi kepada saya. Undi anda adalah bukti kepercayaan, pengorbanan masa dan rantai harapan anda kepada saya.

“Dengan rasa rendah hati, saya dan pasukan akan melakukan sedaya upaya kami dalam membina Karambunai yang lebih baik,” katanya.

Dr Aliakbar juga mengucapkan terima kasih buat seluruh jentera PN DUN Karambunai yang bertungkus-lumus siang dan malam melakukan kerja-kerja pilihan raya.

“Anda adalah tulang belakang perjuangan ini.

“Terima kasih atas semangat yang berkobar-kobar setiap masa, pengorbanan siang dan malam dan apa jua bentuk kerja yang mungkin saya tidak nampak, saya tetap hargainya.

“Dengan hadirnya anda semua, perjalanan kita mampu sejauh ini. Kita keluarga. Kita pasukan. Kita Karambunai,” ujarnya yang merupakan ADUN Lantikan pada penggal lepas. – HARAKAHDAILY 29/11/2025

- Advertisement -