
KUALA LUMPUR: Vacasia Tours & Travels Sdn Bhd (Vacasia) memperkukuh hala tuju syarikat dengan melantik Prof Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim sebagai Penaung dan Penasihat Kehormat, dalam satu majlis rasmi yang diadakan di sini, hari ini.
Pengarah Urusannya, Adam Ibrahim berkata, walaupun Vacasia masih muda dalam industri, kekuatan syarikat kini digerakkan oleh tenaga anak muda yang memiliki kepelbagaian bakat dalam operasi, pemasaran digital dan pengurusan acara.
Justeru, pelantikan tokoh ilmuan seperti Dr. Mohd Izhar Ariff diyakini mampu menggabungkan tenaga muda dengan kebijaksanaan ilmiah yang diperlukan bagi membentuk pendekatan lebih progresif.
Mengulas lanjut, Adam menyifatkan pelantikan Dr. Mohd. Izhar Ariff sebagai penasihat kehormat akan melengkapkan kekuatan teknikal dan kreativiti pasukan Vacasia, khususnya dari aspek bimbingan rohani dan pendidikan Islam kepada jemaah.
“Dr. Izhar bukan sekadar penasihat, tetapi juga mentor yang mengilhamkan keberanian Vacasia untuk berfikir lebih jauh sambil mengekalkan asas ilmu dan nilai Islam,” katanya.
Adam turut menegaskan bahawa kepakaran Dr. Mohd. Izhar Ariff dalam bidang dakwah dan pendidikan Islam, termasuk peranan beliau sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, menjadi asas utama pemilihan beliau sebagai penasihat kehormat syarikat.
“Beliau bukan hanya tokoh akademik, tetapi juga pendakwah yang dekat dengan masyarakat dan memahami jiwa generasi muda melalui pendekatan kontemporari,” tambahnya.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia, Dato’ Md Daud Che Ngah, Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin serta pengurusan tertinggi Vacasia.
Sementara itu, Dr. Mohd Izhar Ariff menjelaskan bahawa pelawaan Vacasia diterima kerana keyakinannya terhadap kesungguhan anak muda dalam syarikat tersebut.
“Saya lihat Vacasia bukan hanya mahu berjaya, tetapi mahu memberi manfaat kepada masyarakat. Itu tanda keberkatan,” tegasnya.
Beliau juga menjelaskan bahawa era baharu industri umrah kini diterajui generasi muda yang membawa perspektif segar dan kemahiran digital yang diperlukan oleh pasaran hari ini. Beliau menyifatkan langkah Vacasia memberi ruang kepada tenaga muda sebagai satu kelebihan besar.
“Anak muda membawa semangat perubahan. Mereka memberi nafas baharu kepada industri dan Vacasia berada di landasan yang tepat,” katanya.

Pada majlis tersebut, turut dilancarkan pakej “Umrah Sunnah & Hadis -1 Hari, 1 Sunnah, 1 Hadis”, iaitu antara inisiatif pembaharuan yang dirangka khusus bagi memberikan pengalaman ibadah bernilai tinggi kepada jemaah. Program yang dibimbing secara langsung oleh Dr. Mohd Izhar Ariff sendiri akan menekankan penghayatan sunnah serta hadis sahih sepanjang berada di Tanah Suci.
Ketika ditanya mengenai keunikan pakej “Umrah Sunnah & Hadis”, Adam menjelaskan bahawa pakej tersebut bukan sekadar membawa jemaah menunaikan umrah, tetapi memberi pengalaman rohani yang mendidik serta melahirkan generasi yang lebih berdisiplin, produktif dan berteraskan nilai Islam dalam kerjaya serta kehidupan seharian.
Untuk itu, Vacasia mensasarkan sehingga 500 jemaah setahun menerusi program tersebut, dengan promosi aktif melalui laman web rasmi serta media sosial.
“Dengan harga bermula RM7,890, pakej ini terbuka kepada semua golongan dan kita mahu lebih ramai mendapat manfaat darinya,” jelasnya. -HARAKAHDAILY 29/11/2025




















