RESET Malaysia sedia perkukuh kekuatan PAS hadapi PRU16

Wadah penyatuan rakyat semua kaum, tiada yang tersingkir

- Advertisement -

TANAH MERAH: Gerakan RESET Malaysia ditubuhkan sebagai platform penyatuan rakyat pelbagai kaum dan bukannya untuk menyingkirkan mana-mana pihak, kata Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

- Advertisement -

Beliau berkata, gerakan tersebut diwujudkan bagi memperkukuhkan perpaduan bangsa di negara ini demi menjamin keamanan masyarakat majmuk.

“RESET ditubuhkan untuk semua kaum dan bukan untuk menyingkirkan mana-mana kaum di negara ini.

“Ia merupakan wadah penyatuan bangsa demi keamanan masyarakat pelbagai kaum,” katanya ketika berucap pada Konvensyen RESET Malaysia di Bandar Kota Harmoni, di sini, hari ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Panau, Dato’ Abdul Fattah Mahmood.

Turut hadir Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Presiden Gerakan, Dominic Lau Hoe Chai, serta pimpinan RESET Malaysia dari seluruh negara.

Datuk Ikmal berkata, ketokohan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang diyakini mampu membawa kejayaan lebih besar dengan sokongan pimpinan PAS di Kelantan, Terengganu dan negeri-negeri SG4.

Menurutnya, PAS kini dihormati rakan dan digeruni lawan hasil kekuatan tersendiri yang dimiliki parti itu.

Ikmal Hisham pada Majlis Konvensyen RESET Malaysia di Tanah Merah, Kelantan pada hari ini, 13 Jun 2026.

Beliau berharap gabungan kekuatan PAS dan RESET Malaysia mampu menyumbang kepada kemenangan lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Pada majlis sama, beliau turut memperkenalkan beberapa pimpinan dan bekas ahli BERSATU yang pernah dipecat, digantung serta diberikan amaran oleh kepimpinan tertinggi parti tersebut.

Sementara itu, Penyelaras RESET Kelantan, Dato’ Mohamed Farid Mohamed Zawawi yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkata, beliau berbangga dapat meraikan himpunan besar yang menyaksikan para peserta berpakaian serba putih sebagai lambang kesatuan.

Katanya, walaupun Gerakan RESET Malaysia baru dibentuk beberapa bulan lalu, ia berjaya mencipta gelombang besar yang diyakini mampu mengubah landskap politik negara pada masa hadapan.

“Ramai yang dipecat, digantung, dihina dan dituduh pengkhianat, namun mereka inilah yang mencipta gelombang RESET yang bakal merubah landskap politik negara.

“PAS hadir sebagai satu pertolongan Allah yang tidak diduga,” katanya.

Menurut beliau, pasukan RESET Malaysia berhimpun bukan untuk mengejar jawatan atau calon semata-mata, sebaliknya untuk memperkukuhkan jentera pilihan raya bagi membantu PAS menghadapi pilihan raya akan datang.

Tambah beliau, seramai 153 bahagian RESET Malaysia dari seluruh negara menghadiri konvensyen berkenaan, manakala Kelantan sahaja menghimpunkan kira-kira 3,000 jentera.

“Bukan ramai calon yang kami mahu, tetapi ramai jentera yang sanggup bekerja demi perjuangan,” katanya.

Terdahulu Laungan “RESET” dan selawat bergema mengiringi ketibaan pimpinan utama Gerakan RESET Malaysia dan PAS di tapak Konvensyen Reset Malaysia di Bandar Kota Harmoni di sini, kira-kira jam 2.20 petang tadi.

Antara yang hadir ialah Pengerusi RESET Malaysia, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin; Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob; dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan merangkap Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Kehadiran mereka disambut penuh semangat oleh ribuan peserta yang memenuhi tapak ekspo Kota Harmoni sejak awal pagi lagi.

Turut hadir pimpinan Gerakan RESET Malaysia dari pelbagai peringkat seluruh negara termasuk beberapa Ahli Parlimen.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik turut mencuri perhatian apabila beliau dilihat menghadiri konvensyen berkenaan.

Tidak ketinggalan hadir, bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dan Timbalan Spaker DUN Kedah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis.

Konvensyen yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat itu dianggap sebagai medan memperkenalkan landskap politik baharu menerusi platform RESET Malaysia.

Sehubungan itu, kehadiran peserta dari pelbagai negeri termasuk masyarakat bukan Melayu dan Orang Asli menyerlahkan lagi sambutan luar biasa terhadap program yang julung kali diadakan itu. – HARAKAHDAILY 13/6/2026

- Advertisement -