Jangan ukur PAS dengan pembaris parti lain

- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS tidak boleh diukur dengan pembaris yang sama yang digunakan untuk parti-parti lain kerana mempunyai kelebihan serta keistimewaannya tersendiri, demikian kata Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, di sini.

- Advertisement -

Tegasnya, ekosistem yang dibina di dalam PAS, tiada pada parti-parti lain seperti PKR, Umno, Bersatu dan jauh sekali DAP, kerana mereka ditubuh serta diasaskan untuk merebut kuasa.

“Ada dari kalangan mereka sudah terlalu lama berkuasa, akhirnya jadi gelong (tak betul), sekarang ini pun, mereka itu nak balik kuasa, tapi tak sedar, jalan pun tak betul lagi.

“Buat pelbagai cerita pasal orang (terutama kepada PAS). Orang pun kenal mereka itu siapa,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kedah, di Kompleks PAS Kedah, malam tadi.

Kata Sanusi lagi, PAS mengambil jalan jihad melalui pilihan raya untuk mendapatkan kuasa menerajui kerajaan menegakkan amal makruf dan mencegah perkara kemungkaran.

Menurutnya, bukan keutamaan atau matlamat akhir bagi pemimpin PAS hanya untuk menjadi Perdana Menteri, Menteri Besar, anggota EXCO Kerajaan Negeri serta mengecapi segala keistimewaan yang disediakan.

Sebaliknya ujar beliau, segala amanah yang dipertanggungjawabkan untuk dijadikan jalan menuju syurga Allah Taala.

“Pejuang PAS menjadikan gerakerja serta amanah yang dipikul untuk jalan menuju ke syurga Allah. 

“Nak semua pengorbanan yang telah dibuat melalui jihad pilihan raya ini untuk membolehkan ahli, pemimpin dan para penyokong memperolehi syurga Allah kelak,”  tambah beliau.

Menteri Besar Kedah itu juga menegaskan, terdapat pihak yang mendakwa pemimpin PAS menjanjikan sekira undi atau pilih calon PAS pada pilihan raya akan dimasukkan syurga.

Sebaliknya kata beliau, apa yang PAS cuba fahamkan, kebaikan yang dilakukan akan membolehkan seseorang muslim itu dimasukkan ke syurga.

“Masuk syurga itu adalah dari rahmat Allah. Kita nak semua kebaikan yang kita lakukan dalam PAS ini sama ada jalur dakwah, jalur siasah, kebajikan dan tarbiyah, semua itu akan menghantar kita memasuki syurga Allah kelak.

“Itulah ekosistem yang dibina PAS sejak sekian lama yang tiada pada mana-mana parti lain,” tegas beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu juga berkata, ahli PAS datang ke program tidak ditaja oleh sesiapa malah menggunakan wang sendiri untuk semua perbelanjaan termasuk  didermakan untuk parti.

“Tak ada orang yang sponsor bas, tak ada makan ‘free’, tak ada orang bagi duit minyak, mai program kena bagi derma lagi, kadang-kadang kutip dua kali.

“Tetapi itulah ahli PAS yang sentiasa memberi serta berkorban tak kira waktu. Senang ka, susah ka, waktu rajin ka, waktu malas, waktu ada dan waktu tiada  sentiasa bersedia berkorban demi mencapai cita-cita perjuangan Islam.

“Mereka yang tak sukakan kita (PAS) kerana tak mampu menyaingi,  kita. Maka depa (mereka) nak nilai kita, ukur kita sebagai parti politik semata-mata. Depa salah.

“Inilah kelebihan PAS, maka sama-sama pelihara kelebihan dan keistimewaan ini dari dunia sampaikan ke akhirat,” kata beliau lagi. 

Dengan keistimewaan yang ada pada PAS, ujar Sanusi, ia menjadikan parti itu difitnah dengan pelbagai kata nista yang direka cipta, terutama ditujukan kepada pemimpin PAS. 

Oleh itu, beliau mengingatkan ahli-ahli PAS di mana sahaja, agar hanya menerima dan mempercayai berita mahupun maklumat tentang parti itu yang datang dari pemimpinnya sahaja.

Beliau menekan bahawa jangan sesekali mempercayai atau menerima pakai maklumat yang disampaikan oleh musuh PAS, siber ‘trooper’ musuh, ‘ceplos’ serta dari pemimpin parti lain seperti PKR, Umno, Bersatu, Bersama dan lain-lain.

“Ada pula, rumahtangga kita pi tanya orang lain. Depa bukan tau, kira ‘tidoq’ (tidur) pukul berapa, mandi ka tak mandi ka, kita saja yang tau.

“Ni yang dok tau semua ni, hangpa (kamu) mengendap ka?,” soal beliau membidas.

Beliau menjelaskan bahawa banyak pihak yang cemburu cuba memburuk-burukkan PAS apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dipegang oleh Dato’ Seri Ir, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pelbagai cerita, katanya cuma dimainkan untuk menampakkan wajah hodoh dan buruk terhadap PN dengan menuduh PAS menjadi punca gabungan itu runtuh.

“Saya janji tuan-puan, Pengerusi PN ini akan kekal masuk pilihan raya 

akan datang dan menjadi pemimpin negara ini.

“Pemimpin lain (parti lain) adalah layak? Sedangkan semua mereka ada rekod dan sejarah kegagalan masing-masing,” tegasnya lagi.

Katanya, PAS di bawah kawalan kepimpinan serta tunjuk ajar tuan-tuan guru, para ulamak termasuk orang-orang lama di dalam politik di negara ini, diyakini akan mampu menjadikan PN sebagai pemerintah di Malaysia.

“Malah dengan keyakinan itu juga, PN akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan,” ulas beliau. – HARAKAHDAILY 13/6/2026

- Advertisement -