
TANAH MERAH: Bandar Kota Harmoni di sini sehingga jam 1.45 petang berjaya menghimpunkan seramai 12,000 pengunjung Majlis Konvensyen RESET Malaysia untuk mengikuti amanat yang akan disampaikan oleh pimpinan Reset dan amanat oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Bandar Tanah Merah ini bagaimanapun mulai sesak sejak jam 11 pagi ini dengan kehadiran orang ramai termasuk dari luar Kelantan bagi menghadiri Konvensyen Reset Malaysia yang berlangsung petang nanti.
Peserta mula berhimpun di tapak ekspo Kota Harmoni dengan kebanyakan mereka mengenakan pakaian serba putih yang menyerlahkan semangat kesepakatan dan perpaduan.
Deretan pengunjung turut memenuhi kawasan pendaftaran yang disediakan bagi membolehkan peserta mendapatkan nombor cabutan bertuah serta cenderahati berupa kipas tangan sebagai kenangan.

Kehadiran masyarakat pelbagai kaum termasuk kaum Orang Asli dan masyarakat bukan Melayu turut memeriahkan program yang julung kali diadakan itu.
Jamuan rakyat yang disediakan mendapat sambutan menggalakkan apabila orang ramai sanggup beratur panjang bagi menikmati hidangan nasi yang disediakan.
Sambil menikmati jamuan, para pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan dikir barat yang menambahkan kemeriahan suasana.

Gerakan Reset Malaysia dilihat mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dan menggambarkan landskap baharu politik negara.
Ia bukan sebuah parti politik, sebaliknya menjadi platform baharu yang menghimpunkan pelbagai pihak termasuk bekas pemimpin Bersatu yang tidak lagi bersama parti berkenaan.
Konvensyen yang dijadual bermula jam 2.30 petang itu dijangka dirasmikan Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Gerakan RESET Malaysia diterajui bekas Timbalan Presiden Bersatu, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin.
Sehubungan itu, kehadiran puluhan ribu pendukung RESET Malaysia dijangka memberi wajah baharu kepada gerakan pembangkang selepas PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu pada Isnin lalu. – HARAKAHDAILY 13/6/2026




















