PAS semakin meraih perhatian rakyat, sokongan tak jejas

Susulan keputusan parti tamatkan kerjasama dengan BERSATU

Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Keputusan PAS menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat tidak menjejaskan sokongan terhadap parti itu, malah membuka ruang kepada pertambahan keahlian baharu daripada pelbagai lapisan masyarakat.

- Advertisement -

Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, perkembangan itu dapat dilihat menerusi peningkatan minat orang ramai yang ingin mendekati dan menyertai PAS sejak keputusan berkenaan diumumkan.

Menurutnya, tindakan PAS berpegang kepada prinsip perjuangan parti telah menarik perhatian golongan profesional, anak muda, aktivis masyarakat serta rakyat yang mahukan sebuah parti yang konsisten dalam memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Hari ini, telefon dan WhatsApp pemimpin PAS mula dipenuhi pertanyaan “Macam mana nak masuk PAS?”

“Rakyat sedang membuat penilaian sendiri. Mereka melihat siapa yang berjuang untuk umat, dan siapa yang hanya berjuang untuk kedudukan.

“PAS tidak kehilangan apa-apa dengan berpisah daripada mereka yang tidak lagi sehaluan. Sebaliknya PAS sedang memperoleh sesuatu yang jauh lebih besar iaitu kepercayaan rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Beliau berkata, PAS percaya setiap keputusan yang dibuat berdasarkan prinsip dan pertimbangan yang jelas akan memberikan kesan positif kepada kekuatan parti dalam jangka panjang.

“Apabila prinsip dipertahankan, Allah akan gantikan dengan kekuatan yang lebih besar.

PAS tidak semakin kecil selepas berpisah. PAS semakin membesar dalam hati rakyat,” katanya.

Pada lewat malam tadi, Harakahdaily melaporkan melaporkan PAS secara rasmi memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta, demikian umum Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ketetapan drastik itu dicapai setelah membincangkan kedudukan serta hala tuju parti dalam mendepani landskap politik semasa tanah air pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Pejabat Agung PAS.

Tuan Guru memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pertimbangan dasar, hukum dan maslahah, selain meneliti laporan serta kajian menyeluruh berhubung perkembangan mutakhir membabitkan parti sekutunya itu. 

Dalam masa sama, PAS akan meneroka bentuk persefahaman politik serta kerjasama pilihan raya baharu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). – HARAKAHDAILY 9/6/2026

- Advertisement -