
ALOR SETAR: Ahli-ahli PAS diingatkan agar jangan menjadi pembidak mencatur orang lain sebaliknya jadilah Al-Murabitun yang sentiasa terima dan patuh dengan arahan yang diberikan.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata Al-Marhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak pernah berpesan kepadanya agar menjadi Al-Murabitun iaitu tentera atau amilin yang melaksanakan tanggungjawab melalui arahan yang diberikan oleh pimpinan.
“Al-Murabitun ini, bila disuruh berada di sempadan, dia ke sempadan, diarah ke medan, dia akan ke medan, diberi cuti dia berada di rumah, suruh kerja dia kerja, suruh rehat dia rehat. Di suruh berperang dia akan pergi berperang.
“Jangan jadi pembidak catur. Kerja nak atur orang ni, orang tu, akhir dia tak buat apa-apa pun. Ini bukan ahli PAS. Ni lain, tak ada dalam buku catatan kita atau kamus perjuangan kita. Suka atur orang, dia sendiri tak buat apa,” jelas beliau ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kedah, di Kompleks PAS, malam tadi.
Kata Sanusi lagi, semua ahli dan jentera PAS pada yang ada sekarang adalah Al-Murabitun dan dengan keikhlasan inilah akan memperolehi kejayaan di dunia dan akhirat.
Pemimpin katanya menjadi penentu dasar serta strategi kerana para pemimpin yang berada di atas dapat melihat sesuatu dengan lebih luas serta lebih memahami kesan mahupun impak dari sesuatu perkara yang ditentukan.
Beliau menjelaskan bahawa Murabitun menjadi petugas melaksanakan dasar dan strategi yang ditentukan oleh pemimpin
“Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, tidak melakukan sesuatu tindakan begitu sahaja. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam politik. Menjadi wakil rakyat sejak tahun 1970an lagi dan tokoh paling lama dalam Parlimen Malaysia.
“Ada budak-budak baru masuk politik dua tiga hari, baru jadi ‘ceplos’, cuma mai habaq (beritahu) kononnya Tok Guru tak betul.
“Tok Guru dah lebih daripada 40 tahun berada di kancah dan medan perjuangan. Dia tau nak pi mana, berdentum guruh di langit, dia tau nak hujan ke tidak.
“Dia kenal orang, dia kenal percakapan orang, dia tau orang tu nak pi kut jalan mana, kita tak tau kerana kurang pengalaman,” katanya lagi.
Justeru Sanusi menyarankan pihak yang menghina Tuan Guru Abdul Hadi agar melihat diri sendiri terlebih dahulu.
“Jangan kerana baharu mendaftar menjadi ahli parti, sudah berani mencabar dan menghina orang yang jauh lebih baik daripada mereka.
“Ubun-ubun pun lembut lagi, tetapi berani dok kata kepada pemimpin yang 50-60 tahun pengalaman dalam perjuangan. Jumpa kita bagi penampaq (penampar), ilmu tak ada, cakap berdegar-degar,” bidas beliau. – HARAKAHDAILY 13/6/2026




















