
KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menggesa kerajaan membentangkan penjelasan rasmi di Parlimen berhubung cadangan pengurangan bajet Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata demikian susulan cadangan pengurangan bajet yang melibatkan pemotongan perbelanjaan operasi KKM sebanyak RM3.06 bilion serta penjimatan tambahan 10 peratus daripada keseluruhan bajet kementerian.
Beliau menyifatkan cadangan pengurangan itu sebagai tindakan yang boleh menjejaskan hak rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
“Sekiranya ini diteruskan bermakna kerajaan berdepan memperjudikan nyawa rakyat Malaysia, Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan harus meletakkan jawatan,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Dr Ahmad Yunus menjelaskan, pengurangan bajet KKM bukan sekadar isu pentadbiran dalaman, kerana ia membabitkan perubahan kepada peruntukan Belanjawan 2026 yang telah diumumkan kepada Parlimen dan rakyat.
Menurut beliau, dengan potongan yang dianggarkan mencecah 10 peratus atau sekitar RM4.65 bilion, kesannya boleh menjejaskan tenaga kerja, perkhidmatan klinikal dan rawatan awam.
“Oleh itu, kerajaan wajar membentangkan penjelasan rasmi di Parlimen supaya rasional pemotongan, langkah mitigasi dan jaminan terhadap hak rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan berkualiti dapat diteliti secara telus dan dipertanggungjawabkan kepada wakil rakyat serta rakyat Malaysia,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat turut mengingatkan kerajaan bahawa, sektor kesihatan merupakan antara sektor paling penting dan kritikal dalam negara.
“Ketika perkhidmatan kesihatan awam sedang berdepan pelbagai tekanan, cadangan pengurangan perbelanjaan operasi Kementerian Kesihatan sebanyak RM3.06 bilion serta penjimatan tambahan 10 peratus daripada bajet KKM adalah tindakan yang tidak wajar dan perlu dikaji semula,” gesanya.
Dalam masa sama, beliau berpandangan, langkah penjimatan yang dicadangkan, khususnya yang melibatkan tenaga kerja, berpotensi memburukkan lagi keadaan di hospital dan fasiliti kesihatan yang sedia terbeban akibat kekurangan kakitangan.
Pembekuan jawatan
Menyentuh isu pembekuan jawatan, Dr Ahmad Yunus menyifatkan, penangguhan jawatan baharu dan kuota tambahan MyStep ketika KKM berdepan kekurangan doktor serta tekanan operasi hospital sebagai langkah yang membimbangkan.
“Pembekuan jawatan bukan sahaja menambah beban petugas, malah boleh menjejaskan masa menunggu pesakit, kesinambungan rawatan dan keselamatan klinikal,” jelasnya.
Tamban beliau, jawatan kritikal seperti di jabatan kecemasan, wad kritikal dan perkhidmatan ambulans perlu dikecualikan, manakala penjimatan harus ditumpukan kepada perbelanjaan yang tidak menjejaskan perkhidmatan kesihatan.
Kawalan ELM
Berhubung kawalan tuntutan Elaun Lebih Masa (ELM), beliau berpandangan walaupun langkah itu dilihat munasabah dari sudut pentadbiran, realitinya kerja lebih masa dalam sektor kesihatan sering berlaku akibat kekurangan tenaga kerja dan keperluan operasi yang mendesak.
“Jika bayaran ELM diperketatkan tanpa menangani punca sebenar, petugas barisan hadapan seperti jururawat, paramedik dan pemandu ambulans akan terus terbeban, sekali gus menjejaskan kebajikan, moral serta kualiti perkhidmatan kepada pesakit,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, kerajaan perlu menetapkan kriteria ELM yang jelas dan adil serta menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja, bukannya sekadar mengehadkan bayaran kepada mereka yang menampung kelemahan sistem.
Perbelanjaan ubat
Dalam pada itu, Dr Ahmad Yunus menekankan bahawa, penjimatan perbelanjaan ubat perlu berpaksikan keperluan klinikal dan bukan semata-mata sasaran kos.
Beliau menjelaskan, pengukuhan dasar ‘generic-first’ dan kawalan preskripsi boleh membantu meningkatkan kecekapan sistem kesihatan, namun pelaksanaannya tidak boleh menjadikan penjimatan kos sebagai keutamaan mengatasi keperluan klinikal pesakit.
“Doktor dan ahli farmasi mesti terus diberi kebebasan membuat keputusan berdasarkan keselamatan, keberkesanan dan kesesuaian rawatan, bukannya tekanan fiskal semata-mata,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa, sebarang usaha mengurangkan perbelanjaan ubat perlu dinilai bersama kesan terhadap hasil rawatan bagi memastikan penjimatan tidak dicapai dengan mengorbankan kualiti perkhidmatan kesihatan.
Ujian makmal
Mengenai usaha menjimatkan kos melalui kawalan ujian makmal, beliau berpandangan langkah itu perlu dilaksanakan secara berhati-hati agar tidak mewujudkan budaya ‘under-testing’, iaitu mengehadkan atau menangguhkan ujian yang sebenarnya diperlukan pesakit.
Menurutnya, keadaan itu boleh menyebabkan diagnosis lewat, penyakit menjadi lebih serius dan kos rawatan meningkat pada masa hadapan.
“Keputusan klinikal mesti kekal berdasarkan keperluan pesakit, manakala KKM perlu menyediakan garis panduan yang jelas serta memantau kesan pengurangan ujian terhadap diagnosis, komplikasi dan keselamatan pesakit,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 12/6/2026











