
LIPIS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyantuni masyarakat pelbagai kaum termasuk India dan Cina menerusi program penyerahan sumbangan bakul makanan kepada 45 keluarga yang memerlukan di kawasan itu, petang semalam.
Program yang berlangsung dalam suasana santai itu turut menjadi medan dialog bersama penduduk bagi mengenal pasti pelbagai keperluan dan masalah yang dihadapi masyarakat setempat.
Menurut Tuan Ibrahim, selain menyampaikan bantuan, pihaknya mahu mendapatkan maklumat secara terus daripada penduduk berhubung isu yang memerlukan perhatian segera.
“Majlis ini diadakan untuk bertanya khabar dan mendengar sendiri pandangan penduduk mengenai keadaan kehidupan di sini.
“Mungkin ada masalah yang berlaku tetapi tidak sampai kepada pengetahuan pejabat kami seperti bekalan air, tekanan air rendah, keadaan jalan raya atau keperluan lain yang memerlukan tindakan,” katanya ketika berucap pada program tersebut.
Beliau yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) berkata, setiap aduan yang diterima akan disalurkan kepada agensi berkaitan bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Jika melibatkan jalan raya, kita bincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala isu bekalan air akan dibawa kepada pihak berkenaan.
“Di Lipis, semua jabatan ada dan kita sentiasa bekerjasama untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Dalam program itu, sebanyak 45 bakul makanan diagihkan kepada penerima daripada pelbagai latar belakang kaum termasuk masyarakat Cina, India dan Orang Asli.
Turut menerima bantuan ialah 10 keluarga Orang Asli dari Kampung Kechau yang diwakili dua wakil penduduk.
Tuan Ibrahim berkata, bantuan berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan bagi membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira kaum atau latar belakang.
Beliau turut mengingatkan penduduk supaya terus berhubung dengan Pusat Khidmat ADUN Cheka sekiranya mempunyai sebarang masalah atau keperluan yang memerlukan perhatian.
“Pejabat pusat khidmat kami sentiasa terbuka. Apa yang boleh dibantu, insya-Allah kita akan bantu,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/6/2026











