
LABIS: Ungkapan ‘jangan lupa kami’ yang diucapkan penduduk entiasa mengingatkan Normala Sudirman atau Cikgu Mala terhadap tanggungjawab besar perlu dipikul jika terpilih sebagai wakil rakyat.
Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.05 Tenang berkata, dirinya bukan seorang yang sempurna, melainkan cuma seorang guru, namun cuba memahami cabaran kehidupan rakyat.
Beliau yang juga mantan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Labis amat menyedari betapa sesiapa pun ketika ini sedang berdepan peningkatan kos sara hidup, perbelanjaan keluarga dan masa depan anak-anak.
Cikgu Mala merayu pengundi memberikan mandat kepadanya pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) Johor yang akan mengadakan pembuangan undi pada esok, Sabtu, 11 Julai.
Calon No.2 itu berharap beliau mampu membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selepas melalui tempoh berkempen yang penuh dengan doa, harapan dan pengorbanan.
“Mungkin inilah pesanan terakhir saya sebelum kita melangkah ke hari mengundi. Sepanjang perjalanan ini, terlalu banyak wajah yang saya temui dan terlalu banyak doa yang saya bawa pulang.
“Ada saat saya tersenyum dan ada saat saya hampir mengalirkan air mata. Namun setiap langkah yang saya teruskan adalah kerana saya percaya perjuangan ini bukan untuk diri saya seorang,” katanya.
Menurut beliau lagi, setiap sokongan dan doa yang diterima sepanjang kempen menjadi amanah untuk terus memperjuangkan kebajikan rakyat sekiranya diberikan kepercayaan.
“Saya berdiri di hadapan tuan-tuan dan puan-puan bukan untuk mengejar jawatan, tetapi kerana benar-benar mahu menjadi suara kepada rakyat,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau memohon maaf atas segala kekurangan sepanjang tempoh berkempen dan berharap diberikan peluang memikul amanah sebagai wakil rakyat DUN Tenang.
“Jika sepanjang kempen ini ada kekurangan daripada saya, saya memohon seribu kemaafan. Jika hati tuan-tuan dan puan-puan masih ada sedikit ruang untuk saya, berilah saya satu peluang dan satu amanah ini.
“Insya Allah saya tidak akan mensia-siakan kepercayaan itu. Doakan saya terus kuat dan istiqamah. Perjalanan ini bukan tentang saya seorang, tetapi tentang masa depan anak-anak kita, keluarga kita dan tanah air yang kita cinta.
“Semoga Allah SWT menjadi saksi atas setiap niat dan langkah kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2026











