RM16b LRT P Pinang, kenapa tak beri baiki air Johor?

- Advertisement -

MERSING: Pengarah Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menempelak tindakan Kerajaan Persekutuan yang tidak memberikan peruntukan secara adil berdasarkan keperluan rakyat di setiap negeri.

Beliau membandingkan kelulusan RM16 bilion kepada Pulau Pinang bagi projek Penang Transportation Master Plan (PTMP) dengan keperluan infrastruktur asas yang masih dihadapi negeri-negeri lain.

- Advertisement -

“Berapa dia (PH) janji nak bagi kita (pengundi Johor), dalam PRU ni? Janji macam-macam. Berapa? Berbanding dia dah lulus kepada sebuah ‘kelemboi’ (negeri kecil), Pulau Pinang. Pulau Pinang tu pun pajak saja tuan-tuan. Negeri kecil, rakyat 1.7 juta.

“Oleh kerana diperintah oleh DAP kononnya parti paling adil, paling demokratik, diberi kelulusan RM16 bilion untuk PTMP buat LRT, Penang Transportation Master Plan (PTMP),” tempelak beliau.

Menteri Besar Kedah itu berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di Ceramah Mega N.32 Endau di Dataran Mersing Kanan, di sini malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mempersoalkan kewajaran pemberian itu dengan mengambil kira keperluan pembangunan negeri lain.

“Negeri kecil saja, adil tak adil? Sebuah negeri kecil, oleh kerana diperintah oleh DAP, dapat RM16 bilion untuk satu projek PTMP saja, bab lain tak cerita lagi. Adil tak adil? Tak adil,” ujarnya.

Muhammad Sanusi menegaskan, sekiranya peruntukan itu diagihkan kepada semua negeri dalam Persekutuan, ia boleh digunakan untuk melaksanakan pelbagai projek termasuk membaiki kemudahan asas.

“RM16 bilion tu kalau ‘bedak’ (bahagi) semua negeri di Persekutuan ni, negeri Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Pahang, Selangor, Johor, Sabah, Sarawak, dapat dekat RM2 bilion.

“Buat projek apa? Semua negeri di Malaysia ada masalah infrastruktur bekalan air yang sudah terlalu uzur dan tua termasuklah di negeri kita Johor ni,” jelasnya.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat turut menyentuh keadaan infrastruktur air di Pahang dan Kedah yang menurutnya memerlukan perhatian.

“Negeri Pahang jiran ni. Pahang (lebih) tenat daripada Kedah, tapi Kedah yang selalu kena pasal suara deras. Banding dengan Kedah, infrastruktur air Pahang lebih kritikal. Ada hutang TNB (Tenaga Nasional Berhad) distrukturkan semula.

“Hutang bil elektrik untuk pam air RM1 bilion. Paip lama orang putih tanam dulu dia panggil AC (simen asbestos) paip. Kena tukar,” gesanya.

Menurut Muhammad Sanusi, semua negeri menghadapi cabaran sama berkaitan keperluan bekalan air.

“Semua orang nak pakai air. Tapi semua negeri tak dapat. Diberi Pulau Pinang buat LRT. Ini tak adil, tak patut dan tak boleh buat macam tu. Itu dipanggil diskriminasi,” bidas beliau.

Sistem Persekutuan bukan untuk pilih kasih

Muhammad Sanusi turut mengingatkan, penubuhan Persekutuan bertujuan mengukuhkan hubungan antara negeri bagi menghadapi cabaran bersama.

“Pasal apa kita bersetuju menubuhkan Persekutuan? Supaya Kerajaan Persekutuan ni kuat. Ketika itu kita menghadapi ancaman komunis, menghadapi gerakan kemerdekaan seluruh dunia daripada kuasa-kuasa penjajahan.

“Kita nak merdeka daripada British,” imbasnya sambil mengingatkan, semua negeri bergabung membentuk Kerajaan Persekutuan supaya cabaran dapat dihadapi secara bersama.

Muhammad Sanusi menyatakan keadaan berubah selepas lebih 60 tahun apabila kerajaan negeri yang tidak sealiran dengan Kerajaan Persekutuan mula menerima layanan berbeza.

“Bila (mereka) dapat kuasa, selepas 60 tahun lebih, maka Kerajaan Persekutuan mula gelong bila kerajaan-kerajaan negeri partinya tak sama dengan Persekutuan, mula ditekan negeri-negeri yang tak sealiran.

“Mula diberi kelebihan yang bukan-bukan kepada negeri yang diperintah oleh parti yang bentuk Kerajaan Persekutuan macam diberi kepada Pulau Pinang. Beri kepada Selangor. Johor ni kerana BN jadi kerajaan negeri, bagi jugalah kerana ada kuasa lain mempengaruhi,” ulasnya.

Muhammad Sanusi menjelaskan, peruntukan Kerajaan Persekutuan perlu dilihat sebagai tanggungjawab yang telah dipersetujui dalam sistem federalisme.

“Dalam perjanjian yang telah dipersetujui tahun 1948, 1957, 1963, hal (pembahagian tidak adil kepada negeri-negeri) ni salah. Ni perkara pokok dalam sistem federalisme yang rakyat Malaysia kena faham,” jelasnya.

Beliau juga menegaskan, Kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya mengungkit pemberian kepada negeri kerana perkara itu merupakan tanggungjawab yang telah dipersetujui.

“Kerajaan Persekutuan telah bertindak tidak adil kepada negeri-negeri termasuk di negeri kita ni. Dia tak layak sama sekali ‘mai’ dia ungkit dia bagi tu dia bagi ni.

“Sebab semua pemberian tu adalah tanggungjawab Persekutuan yang telah dipersetujui dalam perjanjian,” tegasnya.

Muhammad Sanusi menyamakan tindakan mengungkit bantuan Kerajaan Persekutuan kepada negeri seperti seorang bapa yang mengungkit pemberian kepada anak.

Pasal apa dia duk ungkit lagu tu? Macam pak bagi anak pi sekolah bagi duit belanja RM1 tambang bas lima kupang. Makan lima kupang.

“Bila besar dia duk ungkit, ‘Aku bagi kat hang lima kupang tambang bas. Aku bagi kat hang lima kupang beli nasi lemak’.

“Pak apa lagu tu? Pak apa lagu tu? Bukan berjanji dah dulu masa menikah dengan mak, nak beri tempat tinggal, nak beri makan minum, nak beri itu ini?

“Semua tu kewajipan suami termasuk nafkah anak pi sekolah. Yang hang duk ungkit la ni pasal apa?

“Mat Sabu ‘mai’ hangpa kata lagu tu. Hannah Yeoh ke siapa ‘mai’ hangpa kata lagu tu. Tu tanggungjawab hangpa tak payah duk mai jual sini, tak laku. Boleh?

Orang nak ‘mai’ jual, nak ‘mai’ kelentong, kelembung (berbohong) ‘mai’ tak bolehlah. Tanggungjawab adalah tanggungjawab.

“Dia (Perdana Menteri) habaq kata di Johor kutip RM14 bilion bagi balik RM16 (bilion). Hang ambil mana, lagi RM2 bilion hang ambil mana? Hang korek hat negeri lain ke?” soal Sanusi.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab menjaga semua negeri kerana peranannya sebagai Kerajaan Pusat.

“Kerajaan Persekutuan bukan ada tanah, bukan ada tapak. Dia ada Kuala Lumpur, Labuan. Lain pada tu tak ada tapak dia.

“Kalau Kerajaan Negeri Selangor tak beri Kuala Lumpur, tak beri Putrajaya, dia tak ada tapak. Sabah bagi Labuan tulah baru ada tapak dia. Pasal apa dia tak ada tapak?

“Pasal dia bertanggungjawab jaga semua negeri. Itulah tapak dia. Dia tak boleh ‘mai’ duk ungkit kat kita. Tak ketahuan hala lagu tu. Muka tak malu,” tempelaknya.

Mengulas PRN Johor, Muhammad Sanusi berharap rakyat memahami bahawa segala bentuk bantuan Kerajaan Persekutuan merupakan tanggungjawab yang telah dipersetujui sebelum ini.

“PRN negeri Johor ni saya harap dapat buka mata kita semua rakyat Malaysia. ‘Depa (mereka) mai’ jaja apa pun kebaikan depa, itu adalah kewajipan.

“Dan (itu adalah) tanggungjawab yang telah dipersetujui dalam perjanjian yang ditandatangani sebelum ini. Siapa pun jadi Kerajaan Pusat dia kena buat,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2026

- Advertisement -