
PAS NEGERI JOHOR ingin menegaskan bahawa risalah bertajuk ‘Amanat Tuan Guru Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)’ yang sedang disebarkan adalah palsu.
Risalah tersebut bukan kenyataan, arahan atau amanat rasmi Presiden PAS, dan tidak pernah dikeluarkan oleh PAS Pusat mahupun PAS Negeri Johor.
PAS Negeri Johor memandang serius penyebaran bahan yang menggunakan nama dan imej pimpinan parti tanpa kebenaran sehingga boleh mengelirukan ahli, penyokong serta masyarakat umum mengenai pendirian rasmi parti.
Sehubungan itu, seluruh ahli, penyokong dan masyarakat dinasihatkan supaya tidak menyebarkan risalah tersebut serta sentiasa merujuk saluran rasmi PAS bagi mendapatkan kenyataan dan maklumat yang sahih.
PAS Negeri Johor turut mengingatkan semua pihak agar berpolitik secara matang, beretika dan bertanggungjawab. Penyebaran bahan palsu dan maklumat mengelirukan hanya akan mencemarkan proses demokrasi serta menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Sekali lagi ditegaskan bahawa, risalah berkenaan adalah palsu dan bukan bahan yang dikeluarkan oleh Presiden PAS, PAS Pusat atau PAS Negeri Johor.
Sekian.
MOHD FIRDAUS JAFFAR
Ketua Penerangan PAS Johor
10 Julai 2026 – HARAKAHDAILY 10/7/2026











