
MUAR: PAS Johor yakin mampu menambah jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) Johor susulan prestasi memberangsangkan 11 calon yang ditampilkan, sekali gus melepasi jangkaan kepimpinan negeri.
Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, walaupun PRN kali ini merupakan antara pilihan raya paling mencabar pernah dihadapi PAS Johor, penerimaan rakyat terhadap calon PERIKATAN NASIONAL sepanjang tempoh kempen semakin positif.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor itu, pemantauan harian mendapati semua calon berjaya menyesuaikan diri dengan baik dan mendekati masyarakat dengan berkesan.
“Kita memang tidak menjangka calon-calon ini mampu membawa gambaran yang sangat positif. Dalam media sosial sendiri, prestasi 11 calon kita sangat membanggakan.
“Kalau tidak menang semua sekali pun, saya melihat kita mampu menang dengan jumlah kerusi yang lebih tinggi,” katanya ketika menjadi panel podcast Kekal Tenang Edisi Khas PRN Johor.
Beliau berkata, cabaran terbesar PAS pada PRN kali ini ialah proses pembahagian kerusi dan calon yang hanya diselesaikan beberapa hari sebelum hari penamaan calon.
“Ini pilihan raya yang paling mencabar sejak saya terlibat dalam pilihan raya di Johor bermula tahun 1999. Penentuan kerusi dibuat pada saat-saat akhir, begitu juga calon. Empat hari sebelum penamaan calon barulah semuanya selesai,” jelasnya.
Khairul Faizi berkata, daripada 11 calon PAS yang bertanding, lapan merupakan muka baharu manakala hanya tiga pernah menjadi calon pilihan raya.
Menurutnya, tiga calon berpengalaman ialah Normala Sudirman yang bertanding buat kali kelima sejak 2011, Yuhanita Yunan pernah bertanding di Parlimen Tenggara pada 2018, serta bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, Mazlan Bujang.
Beliau berkata, majoriti calon bukanlah individu asing dalam masyarakat kerana telah lama berkhidmat sebagai pimpinan PAS di pelbagai peringkat, guru, pentadbir dan pembantu kepada wakil rakyat.
“Mereka bukan calon tangkap muat. Mereka sudah lama bersama masyarakat. Sebab itu apabila masuk minggu kedua kempen, kita lihat mereka tidak kekok bercakap, berceramah dan berinteraksi dengan rakyat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan calon PAS di Simpang Jeram, Arshed Yahya atau Awang, serta calon di Tenang, Normala dan calon di Maharani, Ustaz Anwar Hayan, turut menerima maklum balas positif daripada masyarakat termasuk menerusi media sosial.
Mengulas persaingan PRN Johor, Khairul Faizi berpandangan BN mempunyai kelebihan untuk membentuk kerajaan negeri kerana menerima sokongan PH di beberapa kerusi.
“Umno mempunyai kelebihan kerana di banyak tempat, PH tidak bertanding dan penyokong PH akan mengundi calon Umno. Kita juga melihat BN dipimpin oleh pemimpin muda yang mempunyai pendekatan sederhana serta mudah didekati,” katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan, PAS kekal optimis memenangi beberapa kerusi dan bersedia memainkan peranan dalam pembentukan kerajaan sekiranya tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti besar.
Katanya, bentuk kerjasama itu boleh dipertimbangkan seperti model yang berlaku di Sabah, namun PAS tidak akan bekerjasama sekiranya kerajaan diterajui DAP.
Dalam pada itu, beliau menggesa pengundi Johor khususnya anak muda, mahasiswa dan mereka yang bekerja di luar negeri supaya pulang menunaikan tanggungjawab mengundi.
“Saya bimbang ada mahasiswa yang sedang menghadapi peperiksaan akhir atau mereka yang bekerja di luar Johor tidak pulang kerana kekangan masa dan kewangan.
“Namun peluang ini datang hanya sekali dalam lima tahun. Kalau kita tidak balik mengundi dan akhirnya parti yang kita harapkan gagal membentuk kerajaan, ketika itu penyesalan sudah tidak berguna,” katanya.
Beliau turut menyeru pengundi memberikan sokongan kepada calon PAS dan PERIKATAN NASIONAL.
Manakala di kawasan yang tidak ditandingi gabungan itu beliau menggesa pengundi memilih calon Umno yang menurutnya mampu mempertahankan martabat Melayu, Islam dan Institusi Raja-Raja Melayu di Johor. – HARAKAHDAILY 10/7/2026
















