
MUAR: Bekas Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil berpandangan kedudukan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) Johor banyak bergantung kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, PH berharap dapat menggerakkan pengundi DAP, khususnya pengundi kaum Cina yang berada di luar negeri, supaya pulang mengundi.
Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya sepanjang kempen PRN Johor, PN khususnya PAS, sedang menunjukkan peningkatan sokongan, manakala BN pula dilihat semakin perlahan berbanding sebelum pembubaran DUN.
“Yang saya nampak sekarang PERIKATAN NASIONAL (PN), khususnya PAS, berada dalam keadaan meningkat. BN bermula kuat sebelum pembubaran, tetapi semakin lama saya nampak dia menurun sedikit.
“Yang paling tidak menentu ialah Anwar Ibrahim. Saya rasa dia panik kerana PH bergantung kepada undi DAP. Dia tidak boleh mendapat undi Melayu dan sebab itu dia sangat bergantung kepada pengundi Cina yang menyokong DAP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual Khairul Nadzir Helmi Azhar dalam podcast Kekal Tenang Edisi Khas PRN Johor.
Menurut Isham, keadaan itu menjelaskan mengapa Anwar dilihat begitu aktif turun ke Johor bagi mengadakan pelbagai program untuk menggalakkan penyokong PH keluar mengundi.
Katanya, jika pengundi DAP gagal kembali mengundi, keadaan itu akan memberi tamparan kepada imej Anwar sebagai Perdana Menteri serta DAP yang merupakan parti terbesar dalam Kerajaan Persekutuan.
“Kalau Perdana Menteri dan parti terbesar dalam kerajaan pun tidak mampu menggerakkan penyokong mereka keluar mengundi, ia memberi gambaran kepimpinan mereka lemah,” katanya.
Mengulas corak pengundian di Johor, beliau mengimbas PRN Johor 2022 apabila hampir separuh penyokong PH tidak pulang mengundi selepas pilihan raya negeri diadakan secara berasingan daripada Pilihan Raya Umum (PRU).
Menurutnya, pada PRU 2018, PH memperoleh kira kira 800,000 undi dan BN sekitar 500,000 undi, manakala PAS sekitar 130,000 undi.
Namun katanya, jumlah undi PH merosot kepada sekitar 410,000 pada PRN Johor 2022 kerana ramai penyokong, khususnya pengundi DAP di luar Johor, tidak pulang mengundi.
“Apabila separuh pengundi PH tidak keluar mengundi, BN menang 40 kerusi dan memperoleh majoriti lebih dua pertiga.
“Tetapi apabila PRU15 diadakan beberapa bulan kemudian dan pengundi PH kembali keluar mengundi, jika jumlah undi Parlimen diterjemahkan kepada DUN, BN sebenarnya tinggal sekitar 20 kerusi sahaja,” jelasnya.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan Anwar kini berusaha memastikan penyokong PH kembali mengundi kerana keputusan PRN kali ini banyak bergantung kepada jumlah keluar mengundi.
Menurut Isham, Anwar kini mempunyai kelebihan sebagai Perdana Menteri dengan akses kepada sumber kerajaan bagi menggerakkan penyokong.
“Kalau saya jadi Perdana Menteri dan tahu kalah akan memalukan, saya akan gunakan semua sumber yang ada. Sekarang dia ada kemampuan membelanjakan sumber untuk mobilisasi pengundi. Itu yang saya tidak boleh pandang ringan,” ujarnya.
Beliau berpandangan sekiranya jumlah pengundi PH kembali menghampiri angka yang dicatatkan pada PRU, BN bakal berdepan cabaran lebih besar untuk mengekalkan penguasaan di Johor.
Mengulas pihak yang lebih tertekan dalam PRN itu, beliau berkata PH lebih terbeban kerana kekalahan akan menjejaskan imej Anwar sebagai Perdana Menteri.
“Kalau PH kalah, Anwar akan malu. BN pula kalau dapat sekitar 29 kerusi masih boleh membentuk kerajaan negeri secara bersendirian. Tetapi saya secara peribadi tidak nampak BN mampu mencapai angka itu,” katanya.
Beliau turut menganggarkan jika sekitar 600,000 penyokong PH keluar mengundi, BN dan PH masing-masing berpotensi memperoleh lebih 20 kerusi sehingga membuka kemungkinan tiada parti memperoleh majoriti mudah.
Menyentuh kemungkinan pembentukan kerajaan negeri, Isham berkata, beliau tidak melihat BN akan bekerjasama dengan PN kerana Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah beberapa kali menegaskan kerjasama dengan PH akan diteruskan.
“Saya nampak apa juga keputusannya, BN lebih cenderung bekerjasama dengan PH. Kalau cukup kerusi mereka bekerjasama di Pusat, kalau tidak cukup kerusi mereka bekerjasama di negeri. Dalam kedua-dua keadaan mereka tetap bersama DAP,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi Melayu, khususnya penyokong Umno di Johor, memberikan sokongan kepada PAS di kawasan yang ditandingi parti itu.
Katanya, kemenangan PAS di semua 11 kerusi yang ditandingi mampu meningkatkan tekanan daripada akar umbi Umno supaya usaha Penyatuan Ummah diteruskan.
Beliau turut menyokong saranan Presiden PAS dan Timbalan Presiden PAS supaya penyokong PERIKATAN NASIONAL memberi sokongan kepada BN di kawasan yang tidak ditandingi PERIKATAN NASIONAL.
Menurutnya, langkah itu merupakan strategi politik yang mampu mengurangkan peluang PH membentuk kerajaan negeri sekiranya keputusan pilihan raya berlangsung sengit.
“Hanya 11 kerusi ditandingi PAS. Di kawasan lain, jika penyokong PERIKATAN NASIONAL tidak keluar mengundi, PH boleh menang dengan mudah.
“Jadi membantu BN di kawasan tertentu sebenarnya membantu mencapai objektif lebih besar iaitu menewaskan PH,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2026











