
MERSING: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) DUN N.32 Endau, Hasnul Hakimi Hussein menegaskan penyertaannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN16) Johor adalah memikul amanah parti bagi membawa suara Islam ke peringkat kerajaan negeri.
Beliau berkata, perjuangan PAS dalam pilihan raya bukan berasaskan cita-cita mendapatkan kedudukan, tetapi sebagai tanggungjawab memastikan kebajikan rakyat serta nilai Islam terus diperjuangkan.
“Tiada siapa dalam PAS yang menjadikan jawatan YB sebagai cita-cita untuk mengejar kedudukan. Sebaliknya, kerana amanah, tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan oleh pimpinan PAS Kawasan Mersing serta PAS Johor.
“Maka kita mengambil langkah memastikan suara N.32 Endau dan suara Islam sampai ke peringkat kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega N.32 Endau di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Padang Endau, di sini.
Dalam ucapannya, beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 104 yang menyeru supaya wujud segolongan umat Islam yang mengajak kepada kebaikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran.
Katanya, ayat tersebut menjadi asas perjuangan PAS dalam membawa kebajikan kepada masyarakat serta memastikan setiap usaha yang dilakukan mendapat keberkatan Allah SWT.
Pada majlis itu, Hasnul Hakimi turut memperkenalkan dirinya sebagai anak jati Mersing berusia 30 tahun, sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak lelaki.
Beliau berkata, pencalonannya turut mencipta sejarah apabila difahamkan menjadi calon termuda yang pernah diketengahkan di kerusi DUN Endau.
“Alhamdulillah, saya juga difahamkan inilah kali pertama anak muda menjadi calon N.32 Endau,” ujarnya turut memperkenalkan slogan kempen, ‘Melangkah Bersama, Endau Berkat dan Sejahtera’.
Slogan itu membawa aspirasi menjadikan Endau sebagai kawasan yang diberkati Allah SWT, bebas daripada gejala rasuah serta menikmati pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Menurutnya, setiap isu dan permasalahan di Endau perlu diselesaikan berlandaskan nilai yang baik serta membawa keberkatan kepada masyarakat.
Dalam masa sama, beliau menggariskan lima tawaran utama kepada penduduk Endau yang disusun berdasarkan akronim ENDAU.
Huruf E mewakili Empati Autisme, iaitu usaha memberi perhatian kepada golongan autisme.
Huruf N pula merujuk kepada Naik Taraf Kesihatan Rakyat melalui peningkatan mutu perkhidmatan klinik dan hospital supaya lebih tersusun serta mesra rakyat.
Bagi huruf D, beliau menawarkan pembangunan Destinasi Rekreasi Yang Selesa dengan menaik taraf taman rekreasi, pantai, tandas awam dan kawasan pelancongan.
“Kita mahu memastikan Endau bukan sekadar menjadi tempat persinggahan, sebaliknya berkembang sebagai destinasi pelancongan yang mampu menarik kehadiran pengunjung,” katanya.
Huruf A pula membawa maksud Akses Kemudahan Awam, termasuk menambah baik kemudahan asas, padang dan infrastruktur yang terbiar agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat.
Beliau berkata, setiap kemudahan perlu dikaji dan disusun dengan baik supaya benar benar memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Bagi huruf terakhir, U, beliau menawarkan agenda Usahawan Marin Diperkasa memandangkan Endau terkenal sebagai kawasan perikanan.
Katanya, usaha itu melibatkan pembangunan produk berasaskan hasil laut seperti keropok, ikan kering dan perusahaan kecil lain bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan ekonomi penduduk.
Hasnul Hakimi memohon doa seluruh penduduk Endau agar beliau diberikan kekuatan, keberkatan dan keredaan Allah SWT sepanjang menghadapi kempen PRN Johor.
“Mudah mudahan kita semua dapat melangkah bersama membina Endau yang berkat dan sejahtera, insya Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2026











