
MERSING: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yakin gelombang perubahan yang berlaku ketika ini tidak akan merosakkan negara, sebaliknya pentadbiran berasaskan panduan wahyu Allah SWT mampu membawa kebaikan kepada rakyat.
Beliau berkata, masyarakat Islam dan bukan-Islam tidak perlu bimbang terhadap kemenangan PAS kerana pentadbiran pemerintahan akan dilaksanakan dengan berpandukan wahyu Allah SWT.
“Yakin tuan-tuan sekalian, gelombang perubahan ini bukan merosakkan negara. Tuan Guru Presiden jelaskan tak perlu takut dengan kemenangan pemerintahan pentadbiran PAS, orang Islam dan bukan Islam.
“Kita mentadbir dengan panduan wahyu Allah SWT,” ujar beliau ketika menyampaikan ceramah di Ceramah Mega N.32 Endau di Dataran Mersing Kanan, di sini malam tadi.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menjelaskan, pentadbiran berpandukan wahyu lebih baik berbanding pemerintahan yang hanya menggunakan kemampuan akal manusia.
Beliau turut mengingatkan bahawa manusia sentiasa memohon petunjuk Allah SWT menerusi doa ‘ihdinasiratal mustaqim’ dalam setiap solat kerana akal manusia mempunyai batas tertentu.
“ ‘Ya Allah tunjukkanlah pada kami jalan yang betul. Kenapa perlu minta doa pada Allah? Apakah akal kita tak boleh fikir mana yang betul, mana yang salah?
“Jawapannya kerana akal kita tak boleh fikir semua benda. Ada perkara yang akal boleh fikir dan ada perkara yang akal tak mampu nak fikir,” jelasnya.
Beliau mengulas, atas sebab itu Allah SWT mengutuskan Nabi dan Rasul bagi menyampaikan perkara yang tidak diketahui manusia tanpa petunjuk daripada-Nya.
“‘Alamal insan ma lam ya’lam’. Untuk mengajar manusia apa yang tidak diketahui,” katanya memetik ayat 5 daripada Surah Al-ʿAlaq.
Dalam soal pemilihan pemimpin, Tuan Ibrahim menegaskan, Allah SWT turut memberi panduan kepada manusia mengenai ciri pemimpin yang perlu dipilih.
Beliau memaklumkan, berdasarkan pengalaman bertemu rakan-rakan bukan-Melayu, beliau pernah meminta mereka menyenaraikan ciri pemimpin yang diinginkan.
“Saya kata, ‘cuba kamu senaraikan 20 sifat pemimpin yang kamu hendak’. Disenaraikan. ‘Saya nak pemimpin adil, yang bagus, tidak rasuah, tidak menyeleweng, tidak salah guna kuasa, bertanggungjawab’.
“Saya beritahu, ‘semua senarai itu, inilah yang PAS perjuangkan daripada mula sampai ke hari ini sampai akan datang insya-Allah’” ceritanya.
Beliau berkata, rakyat sememangnya mahukan pemimpin yang mempunyai integriti, namun kehendak itu perlu diterjemahkan melalui pilihan dibuat dalam pilihan raya.
“Semua rakyat hendak pemimpin integriti. Tapi jangan cakap saja, kita kena pilih pemimpin yang berintegriti baru kita boleh terjemahkan hasrat kita dalam tindakan.
“Kalau kita pilih, hati kita kata nak pemimpin yang adil tetapi kita pilih pemimpin yang zalim, kita tidak akan dapat keadilan,” jelas beliau.
Sehubungan itu, Tuan Ibrahim menyeru rakyat memilih pemimpin yang adil, bertanggungjawab, tidak rasuah serta mempunyai integriti tinggi.
“Terjemahkan kehendak rakyat. Pemimpin yang adil, yang bertanggungjawab, yang tidak rasuah, yang tidak merosakkan, yang punya integriti yang tinggi dengan memilih calon PAS dalam pilihan raya pada kali ini. Dan ini yang sedang berlaku,” tambah beliau.
Mengulas mengenai perjuangan Islam, Tuan Ibrahim mengambil contoh cabaran yang dihadapi Nabi Muhammad SAW ketika mula menyampaikan dakwah.
“Nabi SAW waktu mula mengajak manusia kepada Islam, semua orang tuduh bagai-bagai. Dituduh Nabi Muhammad tukang sihir. Nabi Muhammad sebagai penyair. Dituduh gila. Macam-macam tuduhan.
“Tetapi kebenaran tetap kebenaran. Islam terus berkembang makin berkembang. Demikian juga perjuangan yang kita bawa,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 10/7/2026
















