
BAKRI: Sokongan daripada akar umbi terus menyuntik keyakinan calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Simpang Jeram, Arshed Yahya atau lebih dikenali sebagai Awang, menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Sepanjang tempoh berkempen, Awang aktif turun padang menyantuni masyarakat menerusi program ziarah, kunjungan ke premis perniagaan, aktiviti kemasyarakatan serta pertemuan bersama penduduk bagi mendengar sendiri permasalahan dan harapan mereka.
Pada masa sama, beliau turut menerima pelbagai reaksi positif daripada masyarakat sama ada secara bersemuka mahupun menerusi media sosial.
Rata-rata penyokong menitipkan doa agar beliau diberikan kekuatan untuk memikul amanah sebagai wakil rakyat sekiranya diberi mandat oleh pengundi.
Antara komen yang mendapat perhatian ialah ungkapan ‘Awang padu’, selain doa agar segala urusan kempen calon PERIKATAN NASIONAL itu dipermudahkan dan dikurniakan kemenangan.
Seorang pengguna media sosial, @Aminah Yusof berkata, Awang merupakan individu yang sudah lama dikenali dalam kalangan masyarakat Simpang Jeram.
“Orang Jeram kenal Abang Awang. Dia memang kesayangan ramai,” katanya.
Seorang lagi pengguna media sosial, @Mansor Yatim berkata, beliau mengenali keluarga Awang dan menyifatkan calon itu mempunyai hubungan yang rapat dengan masyarakat setempat.
Di ruangan komen yang sama, beberapa lagi pengguna turut menyatakan sokongan terhadap Awang.
Pengguna @Jangguttorpedo Janggut berharap segala usaha Awang dipermudahkan dan membuahkan kemenangan.
“Kali ini kasi ubah betul-betul. Moga dipermudahkan segala urusan dan diberikan kemenangan. Insya Allah,” katanya.
@Ahmad Halimi pula mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kemenangan kepada Awang.
Turut berkongsi harapan sama ialah @Zulkifli Dardak yang berharap kemenangan memihak kepada calon PERIKATAN NASIONAL itu pada PRN Johor kali ini.
@Ahmad Sani pula berharap Awang dikurniakan rezeki kemenangan selepas melalui tempoh kempen yang padat bersama rakyat.
Sementara itu, @Mamat Elin menyifatkan Awang sebagai calon yang layak diberi peluang mewakili rakyat Simpang Jeram.
“Terbaik Awang. Kemenangan untuk sahabat Awang, insya Allah,” katanya.
Pengguna @Ah Song turut menyifatkan Awang sebagai calon yang mendapat sokongan ramai dengan ungkapan ‘terbaik’ dan ‘padu’, manakala seorang lagi pengguna, @Aisyah, meninggalkan komen ringkas, ‘Terbaik!’
Sokongan dizahirkan itu dilihat selari dengan pendekatan kempen Awang yang memberi tumpuan kepada pertemuan secara langsung bersama penduduk, sekali gus mengukuhkan hubungan beliau dengan masyarakat sepanjang tempoh berkempen.
Sebelum ini, Awang menyatakan komitmennya untuk memperjuangkan kebajikan rakyat, pembangunan infrastruktur, peluang ekonomi, pendidikan serta penambahbaikan kemudahan asas sekiranya diberikan mandat di DUN Simpang Jeram.
Dalam masa sama, poster kempen yang tular di media sosial membawa mesej ‘Awang: Sokongan Padu Dari Rakyat!’, selain mengajak pengundi memilih calon PERIKATAN NASIONAL nombor empat dengan slogan ‘Calon Kita, Pemimpin Kita’ serta tanda pagar #AwangAnakJeram.
Menjelang hari pengundian, pelbagai reaksi yang dizahirkan penyokong di media sosial terus mencerminkan sokongan terhadap Awang. Bagaimanapun, keputusan muktamad akan ditentukan oleh pengundi pada hari pengundian. – HARAKAHDAILY 10/7/2026











