
DAP ada banyak deklarasi – Deklarasi Setapak, Deklarasi Shah Alam, Deklarasi DAP@50, Deklarasi Malaysia Baharu dan sebagainya.
Dalam Deklarasi Setapak, DAP ingin hapuskan perbezaan bumiputera dan bukan bumiputera. Ia menyebut dengan jelas:
“Deklarasi Setapak memperkukuh pandangan DAP bahawa dalam proses membina negara, kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting, dan di atas prinsip ini lah pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok ‘Bumiputera’ dan ‘bukan Bumiputera’ ditentang”.
Deklarasi Shah Alam (2012) dan Deklarasi DAP@50 (2016) memasukkan pengiktirafan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera dan hak-hak kaum lain selaras Perkara 153, sebagai salah satu prinsip.
Deklarasi Malaysia Baharu (2019) masih merujuk kepada deklarasi-deklarasi sebelumnya. Ia adalah deklarasi terkini yang diketahui. Tidak dinyatakan dengan jelas sama ada Deklarasi Setapak sudah tidak terpakai.
Apapun, sefaham saya, deklarasi-deklarasi ini hanyalah dokumen polisi. Ia bukanlah Perlembagaan yang membentuk asas ideologi dan perjuangan sesebuah parti.
Bagi menjawab kenyataan MP Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mengenai Deklarasi Setapak, seorang MP DAP menyatakan dalam Parlimen baru-baru ini bahawa Perlembagaan DAP mengiktiraf keistimewaan orang Melayu.
Hakikatnya, tidak.
Perlembagaan DAP menggariskan 18 matlamat DAP (dipetik sepenuhnya di bawah), dan pengiktirafan keistimewaan orang Melayu bukan salah satu daripadanya.
Bahkan, Perlembagaan DAP kekal memperjuangkan kesamarataan.
Jadi untuk menyatakan bahawa Perlembagaan DAP yang merupakan asas ideologi DAP mengiktiraf keistimewaan orang Melayu adalah tidak benar sama sekali.
Saya nasihatkan agar Ahli-ahli Parlimen DAP membaca dan berhujah dengan lebih cermat, supaya kita tidak terkeliru.
Jika benar DAP mengiktiraf keistimewaan orang Melayu dan bumiputera, saya cabar DAP untuk meminda Perlembagaan mereka memasukkan perkara itu.
Dan DAP segera membuat kenyataan yang jelas bahawa Deklarasi Setapak sudah tidak terpakai.
Fasal II Perlembagaan DAP
Fasal II
Matlamat-matlamat
Mukadimah
Perlembagaan Merdeka merupakan satu dokumen sekular yang mendukung prinsip-prinsip demokrasi, kebebasan, kedaulatan undang-undang, dan penghormatan kepada hak-hak asasi manusia serta merangkumi ideal-ideal kebertanggungjawaban, kesaksamaan, keadilan dan pemeliharaan martabat manusia.
Prinsip-prinsip tersebut boleh memacu daya perpaduan dan penyatuan dalam masyarakat majmuk dari segi kebudayaan, kaum, agama dan budaya di tanah air kita dan juga di antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Berpandukan ideal-ideal tersebut, rakyat Malaysia boleh mengorak langkah ke arah pembangunan demokrasi dan ekonomi yang seiring; kebebasan tanpa penindasan; kesaksamaan peluang diutamakan berbanding kesaksamaan hasil; kedaulatan undang-undang demi keadilan sosial; penjanaan kekayaan diiringi pengagihan secara saksama serta kemakmuran ekonomi tanpa gejala rasuah.
Matlamat-matlamat
1. Menubuhkan konsep demokrasi yang berlandaskan nilai demokrasi sosial di Malaysia menerusi perjuangan sistem parlimen berperlembagaan;
2. Mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal, iaitu sebagai sistem undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia;
3. Memupuk integrasi kebangsaan dengan Sabah dan Sarawak, mengiktiraf hak-hak istimewa kedua-dua negeri tersebut serta memupuk semangat kebangsaan dan perpaduan di antara semua kaum bagi melahirkan identiti bersama rakyat Malaysia yang bersatupadu;
4. Mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama daripada diancam oleh undang-undang yang bersifat menindas dan akta-akta yang berunsur diskriminasi;
5. Mempertahankan dan menjunjung kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan menjamin kewajipan dan hak untuk mempertingkatkan status, memperkembangkan, mempelajari dan menggunakan bahasa-bahasa ibunda yang lain, termasuk Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asal;
6. Menjadikan integriti, etika dan keprihatinan sebagai nilai-nilai moral yang utama bagi mewujudkan ketelusan serta pendekatan yang liberal, saling menghormati dan persefahaman di antara tradisi kebudayaan dan kepercayaan agama yang berbeza;
7. Memperkembangkan, mempertahankan dan melindungi kedaulatan serta integriti Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka;
8. Menjadikan ASEAN sebagai komuniti yang berlandaskan pemerintahan baik, demokrasi dan penghormatan terhadap hak asasi manusia, serta sebagai rantau yang bebas daripada senjata nuklear, aman, bebas dan berkecuali;
9. Memupuk, memperkembangkan serta memperluaskan demokrasi pada semua peringkat, terutamanya memulihkan pilihan raya tempatan, memperkasakan kuasa rakyat dari segi bentuk dan isi kandungannya, serta mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan berlandaskan prinsip kesaksamaan, kebebasan, keadilan, proses pilihan raya yang bebas dan kebebasan akhbar;
10. Memberi peluang yang saksama dan mengagihkan kekayaan ekonomi kepada semua rakyat berdasarkan penciptaan nilai-nilai dalam pasaran yang bersaing serta tata ekonomi yang menegaskan penciptaan dan pengagihan kekayaan secara saksama;
11. Berjanji untuk mempertingkatkan taraf pendidikan berdasarkan hanya kepada merit dan keperluan, serta memberikan akses penuh dan peluang yang sama kepada pendidikan peringkat awal, menengah dan tinggi, terutamanya sektor-sektor teknologi maklumat yang mengutamakan ilmu;
12. Melindungi hak-hak pekerja dan kesatuan sekerja di bawah kerangka hak untuk bekerja, pembayaran gaji yang adil dan berpatutan, serta mempertahankan gaji sebenar mereka demi menjamin kesejahteraan hidup dan taraf kehidupan yang berpatutan kepada semua;
13. Menghapuskan segala bentuk diskriminasi jantina terhadap wanita dalam bidang pekerjaan, pendidikan dan kesihatan;
14. Memperkasakan remaja dengan memberikan mereka pilihan dan peluang untuk berkuasa sambil mempertingkatkan kesedaran mereka terhadap kewajipan dan tanggungjawab;
15. Menegakkan keadilan dan menjaga keamanan semua rakyat dengan menghormati kedaulatan undang-undang, mewujudkan serta menjamin kejiranan dan komuniti yang selamat dan terjamin;
16. Menginstitusikan akauntabiliti dan ketelusan yang bertujuan memerangi rasuah dan penyelewengan dalam pengurusan kewangan, serta mewujudkan nilai-nilai integriti dan amanah dalam pentadbiran kerajaan;
17. Mewujudkan perkhidmatan kesihatan awam yang mampu dibiayai oleh semua, mudah dinikmati dan bertanggungjawab, yang menjamin keperluan golongan yang sakit, kurang berupaya dan berusia; dan
18. Menghalang kemerosotan dan pemusnahan alam sekitar demi memelihara pusaka warisan semula jadi yang bersih, sihat dan selamat.
DR YUSFARIZAL YUSOFF – HARAKAHDAILY 10/7/2026
Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/1AfWe5ULPk/
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











