
TENGGARA: “Kalau benar kawasan ini dijaga, kenapa jalan raya Kulai ke Kota Tinggi masih tidak selamat? Kenapa lampu jalan kadang ada, kadang hilang berbulan-bulan? Kenapa penduduk terpaksa bergerak jauh ke Kulai atau Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan kesihatan?
“Dan kenapa selepas sekian lama tidak kelihatan sebuah pusat khidmat aduan rakyat yang benar-benar berfungsi untuk semua?” demikian soal calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.35 Pasir Raja, Yuhanita Yunan.
Menurut bekas Ketua Muslimat PAS Kawasan Tenggara itu, keadaan tersebut berlaku kerana wakil rakyat tidak tinggal di kawasan berkenaan, sekali gus tidak benar-benar memahami kesukaran yang dihadapi penduduk setiap hari.
Menurut beliau, Pasir Raja yang didiami masyarakat pelbagai kaum masih berdepan beberapa isu yang memerlukan perhatian walaupun mempunyai sejarah pembangunan yang panjang.
Bagi menggambarkan keadaan kawasan itu, beliau berkongsi pengalaman apabila seorang rakannya sukar mengenal pasti lokasi Pasir Raja.
“Pernah seorang sahabat yang mahu datang ke sini bertanya kepada saya, ‘Saya tak nampak stesen bas turun Pasir Raja?’
“Saya jawab, awak kena turun di Kulai atau di Kota Tinggi. Begitulah Pasir Raja. Untuk sampai ke sini pun, orang luar terpaksa melalui tempat lain dahulu,” katanya.
Beliau berkata, Pasir Raja dihuni penduduk kampung, warga FELDA, masyarakat taman serta penduduk pelbagai kaum yang telah lama membina kehidupan bersama.
Namun, katanya, masih banyak perkara yang memerlukan perhatian termasuk aspek keselamatan jalan raya, lampu jalan, kemudahan kesihatan dan penyampaian bantuan kepada rakyat.
Beliau merayu pengundi supaya keluar mengundi pada esok, 11 Julai, dan melakukan perubahan dengan memilih wakil rakyat yang menetap di kawasan itu serta memahami sendiri realiti kehidupan penduduk.
Menerusi warkah terbuka kepada pengundi, beliau berkata peluang menentukan masa depan Pasir Raja kini berada di tangan rakyat yang bakal membuat pilihan pada hari pengundian.
“Esok, 11 Julai, peluang itu ada di tangan tuan-tuan dan puan-puan. Bukan di tangan saya, bukan di tangan mana-mana parti, tetapi di tangan orang Pasir Raja sendiri.
“Turunlah mengundi. Pilihlah perubahan. Pilihlah wakil yang duduk di sini, yang merasa apa yang tuan-tuan rasa. Undilah PERIKATAN NASIONAL, nombor dua pada kertas undi,” serunya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan warkah tersebut bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya mengajak rakyat menggunakan hak mereka untuk membawa perubahan melalui peti undi.
Katanya, sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat, setiap isu dan keluhan penduduk Pasir Raja akan dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri Johor sehingga mendapat perhatian pihak berkaitan.
“Setiap kesusahan yang saya sendiri alami sebagai penduduk di sini, setiap keluhan atok dan nenek, pakcik dan makcik serta setiap rintihan orang Pasir Raja akan saya bawa ke Sidang DUN Johor.
“Saya akan suarakan dan bangkitkan berulang kali sehingga didengar. Setiap ucapan mengenai Pasir Raja dalam dewan juga akan saya laporkan kepada rakyat kerana mereka berhak mengetahui sama ada wakil mereka benar-benar bersuara atau hanya duduk diam,” ujarnya.
Yuhanita merupakan calon PERIKATAN NASIONAL bagi DUN Pasir Raja pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dan berdepan saingan empat penjuru menentang calon BN, PH dan PSM. – HARAKAHDAILY 10/7/2026











