Belia tani Kelantan: 3D profesion bermaruah

- Advertisement -

SUDAH mendarah daging dalam masyarakat Melayu pepatah ‘berbudi kepada tanah’ dan ‘budi disemai, bakti dituai’ yang mengingatkan kita pertanian adalah hubungan antara manusia, ilmu, cuaca, air dan keberkatan rezeki.

Rezeki pula perlu disambut dengan usaha umpama tanah menunggu hujan, benih menunggu tangan.
Justeru tanah bukan sekadar ruang dipijak tetapi amanah yang perlu dihidupkan. Di Kelantan, sawah, kebun, dusun, ternakan dan kolam ikan ialah nadi ekonomi desa yang boleh dipacu semula melalui teknologi moden.

Anak muda Kelantan wajar sedar pertanian ialah profesion bermaruah, dihormati dan bernilai tinggi dalam masyarakat.

- Advertisement -

Kerjaya sebagai petani bukan pekerjaan kelas kedua kerana petani memainkan peranan penting dalam memastikan keterjaminan makanan negara.

Seseorang usahawantani menjana pendapatan untuk diri dan keluarga bahkan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, kestabilan harga makanan dan keselamatan makanan negara.

Panduan al-Quran tentang pertanian

Al-Quran banyak mengajak manusia berfikir melalui tanda pertanian. Dalam Surah al-An’am ayat 99, Allah SWT menyebut, “Dia menurunkan air dari langit lalu menumbuhkan pelbagai tumbuhan, biji-bijian dan buah-buahan.”

Surah Yasin ayat 33 hingga 35 pula menjelaskan bumi yang mati dihidupkan, lalu daripadanya keluar bijian yang menjadi makanan manusia.

Surah al-Waqi’ah ayat 63 hingga 64 mengemukakan pertanyaan yang sangat tajam adakah manusia yang menumbuhkan tanaman itu atau Allah yang menumbuhkannya?

Ayat-ayat ini mendidik petani supaya bekerja dengan ilmu dan tawakal. Benih ditanam oleh tangan tetapi kehidupan tumbuh dengan izin Tuhan kerana musim tidak boleh dimarah tetapi ladang boleh disiapkan.

Makna al-falah dan martabat petani

Dalam bahasa Arab, al-falah membawa makna kejayaan manakala al-fallah ialah petani. Kedua-duanya mempunyai akar makna yang saling berkait.

Petani berjaya kerana dia tekun melalui dua proses besar – takhalli dan tahalli. Takhalli ialah membuang rumput, lalang dan unsur yang merosakkan tanaman.

Tahalli ialah memasukkan air, baja, cahaya dan penjagaan yang menyuburkan. Al-Quran menggunakan kerangka jiwa melalui tazkiyah dan tadsiyah sebagaimana mafhum Surah al-Syams ayat 9 hingga 10, “Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwa itu dan rugilah orang yang mengotorinya.”

Cabaran ABC dan 3D di Kelantan

Realitinya, penyertaan belia dalam sektor pertanian masih belum mencapai tahap yang diharapkan. Cabaran ABC sering menghimpit usahawan tani muda.

A ialah air, iaitu ketidaktentuan bekalan, musim kemarau dan kelemahan pengairan yang menjejaskan hasil. B ialah baja, termasuk kos input, racun dan bahan pengeluaran yang semakin meningkat. C ialah cuaca, khususnya perubahan iklim yang menyebabkan jadual tanaman sukar diramal.

Selain itu, persepsi 3D juga masih membelenggu iaitu dirty (kotor), difficult (sukar) dan dangerous (berbahaya).

Persepsi ini umpama pagar reput di tengah bendang yang tidak menahan kerbau pun tetapi cukup menghalang anak muda daripada melangkah.

Jenama 3D baharu

Pertanian moden perlu dijenamakan semula sebagai 3D yang baharu Digital, Dynamic dan Dignified. Digital kerana sektor ini kini menggunakan dron, Internet of Things (IoT), sensor ladang, sistem fertigasi pintar, automasi, analitik data, pemasaran e-dagang dan kecerdasan buatan.

Dynamic kerana pertanian tidak lagi terhad kepada menanam dan menuai, malah merangkumi agro pelancongan, pertanian bandar, pemprosesan makanan, bioekonomi, logistik sejuk, jenama produk dan pemasaran digital.

Dignified (bermaruah) kerana petani dan usahawan tani merupakan penjaga keterjaminan makanan negara. Mereka menyumbang kepada ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Oleh itu, kerjaya dalam sektor pertanian wajar dihormati sebagai satu profesion yang moden, profesional dan mempunyai nilai yang tinggi.

Apabila beras, sayur, ikan, telur dan daging cukup, masyarakat lebih tenang. Negara dipertahankan di sempadan juga di batas sawah, di kandang, di kolam dan di pusat pemprosesan makanan.

Belia tani pada era Rasulullah SAW

Ibarat pesanan leluhur, ‘jagung muda jangan malu belajar daripada padi tua’ oleh itu anak muda Kelantan wajar menyorot sejarah Islam yang dekat dengan jiwa belia.

Jabir bin Abdullah RA, sahabat muda Ansar wajar diteladani. Selepas ayahnya syahid dalam Perang Uhud dan meninggalkan hutang, Jabir mengurus kebun tamar keluarganya.

Dalam riwayat Sahih al-Bukhari, Rasulullah SAW kunjungi kebunnya dan berjalan antara pokok tamar seraya mendoakan keberkatan hasil. Hasil tamar itu cukup untuk membayar hutang bahkan masih berbaki.

Kisah ini adalah pelajaran agro-niaga belia mesti berani memikul tanggungjawab keluarga, mengurus aset pertanian, berunding dengan pemiutang dan percaya keberkatan hadir bersama usaha yang tersusun bak peribahasa ‘asal ditugal, adalah benih’.

Hadis lain turut menegaskan, apabila seorang Muslim menanam tanaman lalu dimakan manusia dan haiwan, hal itu menjadi sedekah baginya.

Maka, pertanian secara langsung menghubungkan ekonomi dengan pahala sosial.

Keyakinan diri sebagai modal pertama

Cabaran terbesar belia kadangkala bukan tanah, modal atau teknologi sebaliknya rasa rendah diri. Ilmu boleh dipelajari, kemahiran boleh dilatih, modal boleh dicari tetapi tanpa keyakinan diri, langkah pertama tidak akan bermula.

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 139 agar orang beriman tidak berasa lemah dan tidak bersedih hati sebagaimana doa Nabi Musa AS, “Rabbi syrah li sadri, wa yassir li amri”, yang mengajar keyakinan bukan kesombongan kerana setiap perkara perlu ada batas dan peraturan bak pepatah sawah berpermatang, ladang berbintalak.

Keyakinan adalah keberanian memohon pertolongan Allah, belajar daripada guru, mencuba, gagal, bangun dan mencuba lagi. Nah! Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya?

Pendekatan 3M untuk Agroniaga Muda Kelantan

Pemerkasaan belia tani boleh digerakkan melalui pendekatan 3M. Pertama, man atau modal insan. Belia tani perlu dibina dengan ilmu, kemahiran, akhlak dan jati diri.

Latihan TVET pertanian, mentor-mentee, literasi kewangan dan kepimpinan lapangan mesti diperkasakan selaras dengan gagasan ‘Bertani Satu Ibadah’.

Kedua, machinery atau mekanisasi. Dron, IoT, automasi, fertigasi pintar, precision farming dan aplikasi digital dapat mengurangkan kebergantungan kepada kudrat semata-mata.

Ketiga, method atau kaedah perniagaan. Belia mesti memahami bahawa pertanian ialah perniagaan berasaskan rantaian nilai, meliputi pengeluaran, penggredan, pembungkusan, pensijilan, pemasaran, logistik dan penjenamaan.

Seruan kepada anak muda Kelantan

Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pejabat Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi yang diterajui exconya Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail bersama. jabatan, agensi dan GLC menyediakan ruang sokongan seperti latihan, bimbingan teknikal, bantuan input, khidmat nasihat, pemindahan teknologi dan pemasaran.

Tuan Mohd Saripudin

Baginya, semangat anak muda perlu disokong.

Bidang tanaman boleh dirujuk kepada Jabatan Pertanian, penternakan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar, perikanan dan akuakultur kepada Jabatan Perikanan manakala aspek usahawan, pembiayaan, pemasaran dan pengembangan perniagaan boleh diteroka bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK), Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), Kelantan Biotech Corporation (KBC), Darulnaim Agro Management Industries Sdn. Bhd. (DAMAI) dan agensi berkaitan.

Kesimpulannya, belia Kelantan mesti kembali memuliakan tanah dengan ilmu, teknologi dan akhlak barulah tanah akan membalas dengan makanan, maruah dan kedaulatan.

Paling utama, belia wajar yakin petani ialah kerjaya strategik, berstatus ibadah sosial dan mampu mencorak profesion masa depan justeru petani adalah kerjaya kelas pertama. -HARAKAHDAILY 10/7/2026

Ts. Nasir Ab Rahaman ialah Pegawai Khas Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan dan Norzana Razały ialah Pengarang di Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan.

- Advertisement -