Kelantan kemudi ruang sosial, budaya dengan acuan tersendiri

Pemangku Raja Kelantan, Duli Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Fakhry ibni Almarhum Sultan Ismail Petra.
- Advertisement -

DALAM wacana sosial kontemporari, negeri yang berteraskan nilai sering disalah faham sebagai wilayah yang menyempitkan kebudayaan. Dalam banyak keadaan, Kelantan berdiri sebagai contoh yang lebih rumit dan lebih menarik daripada tanggapan simplistik tersebut.

Hakikatnya, Kelantan menata ruang sosial dan budaya melalui suatu kerangka yang berasaskan adab, identiti, disiplin masyarakat dan pertimbangan masa hadapan dan tidak pemah menutup ruang budaya.

Dalam erti kata lain, budaya tidak dibiarkan hanyut sebagai hiburan tanpa arah, tetapi diurus sebagai wahana pembinaan insan, kesejahteraan sosial dan citra negeri.

- Advertisement -

Kerangka ini dapat dilihat dengan jelas melalui Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2025 serta Garis Panduan Hiburan dan Sukan Negeri Kelantan 2025 yang menegaskan bahawa hiburan dan sukan diperlukan bagi menenteramkan jiwa serta menjaga kesihatan, namun kedua-duanya mesti berpandukan syariah agar tidak melampaui batas.

Dokumen itu juga menyatakan garis panduan baharu diwujudkan untuk memperincikan syarat dengan lebih jelas supaya program hiburan dan sukan dapat berjalan lancar dan selesa tanpa kekeliruan.

Kerangka sosial berasaskan nilai

Apabila dibaca secara cermat, enakmen dan garis panduan tersebut hadir sebagai instrumen pengurusan sosial bukannya alat penafian budaya.

Pada halaman awal dokumen, tujuan garis panduan ditegaskan sebagai rujukan pegawai pelesen, penggiat hiburan dan sukan serta pihak awam supaya pelaksanaan program berlaku secara lebih jelas, komprehensif dan praktikal.

Pada masa yang sama, hiburan yang dilarang ditakrifkan secara khusus sebagai hiburan yang melanggar hukum syarak serta mengandungi unsur khurafat, syirik dan perjudian, manakala sukan yang dilarang pula ialah sukan berisiko tinggi atau memudaratkan fizikal, mental dan spiritual.

Pendekatan ini sebagai usaha pihak berkuasa terbabit untuk membentuk tatakelola budaya yang selari dengan pandangan hidup masyarakat setempat.

Kelantan memilih untuk tidak menyerahkan ruang awam kepada logik pasaran semata-mata, sebaliknya meletakkan budaya dalam orbit tanggungjawab sosial.

Sebab itulah dokumen tersebut turut menekankan soal pakaian sopan, kandungan yang tidak menghina agama dan kaum, kawalan bunyi, keselamatan pengunjung, pemisahan ruang tertentu serta penghentian program 15 minit sebelum waktu solat.

Pada acara rasmi, kebudayaan dan pelancongan negeri pula, pengecualian boleh dipertimbangkan di bawah budi bicara pihak berkuasa negeri yang menunjukkan wujud ruang anjal dalam pengurusan.

Dalam masyarakat moden, kebebasan sering disamakan dengan ketiadaan batas.

Kelantan mengambil jalan yang berbeza melalui usaha mengekalkan prinsip bahawa ruang sosial perlu mendidik dan membina sahsiah komuniti.

Budaya diterjemahkan sebagai cerminan akhlak awam, cara masyarakat menyusun hiburan, cara negeri menghormati rumah ibadah, cara penganjur memikirkan keselamatan dan juga cara komuniti mempertahankan sensitiviti agama, keluarga dan keharmonian.

Inilah bentuk pemodenan berakar, iaitu kemajuan yang tidak memutuskan hubungan dengan nilai asal masyarakat.

Sukan patuh syariah: Tubuh sihat, maruah terpelihara

Dalam konteks inilah, penganjuran Sukan Patuh Syariah Mr. Awang Selamat menjadi penting sebagai manifestasi bahawa gaya hidup sihat boleh diraikan dalam bentuk yang beretika sejajar dengan aspirasi Dasar Anak Muda Kelantan (DAMAK).

Berdasarkan Garis Panduan Hiburan dan Sukan Negeri Kelantan 2025, atlet dan jurulatih Muslim hendaklah menutup aurat dengan sempurna, pakaian mesti sopan serta bersesuaian dengan jenis sukan dan aktiviti sukan tidak boleh melibatkan perjudian, alkohol, bahan terlarang atau perkara yang bercanggah dengan syarak.

Dokumen itu juga menggariskan bahawa aktiviti sukan tidak boleh menghalang ibadah wajib seperti solat dan puasa, selain mengesyorkan penyediaan ruang berasingan tertentu serta kemudahan asas seperti tandas dan tempat solat.

Dalam wacana budaya popular, bina badan sering dibayangkan melalui tubuh yang dipamerkan secara maksimum.

Sebaliknya, Kelantan menawarkan sukan patuh syariah yang menjadi bahasa sosial bahawa kecergasan tubuh, pembentukan disiplin, kekuatan mental dan penghormatan terhadap aurat boleh bergerak seiring.

Pendekatan ini juga relevan dengan perbahasan global tentang sukan inklusif dan kepelbagaian budaya.

Setiap masyarakat berhak merumuskan bentuk sukan yang sesuai dengan nilai serta sensitiviti mereka.

Nah, dalam hal ini, Kelantan sedang membentuk model lokal yang mampu menyumbang kepada wacana antarabangsa tentang etika sukan, kesopanan dan kesejahteraan komuniti.

Satu lagi bukti bahawa Kelantan tidak memusuhi budaya ialah usaha mengangkat Kota Bharu sebagai kota gastronomi.

Bidang makanan ialah medan budaya yang paling hidup kerana di situlah sejarah, memori, ekonomi keluarga, pelancongan dan identiti wilayah bergaul dalam periuk yang sama.

Usaha meletakkan Kota Bharu dalam jalur gastronomi antarabangsa menunjukkan budaya tempatan boleh diperkasa tanpa kehilangan akar.

Pemangku Raja Kelantan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra menegaskan kepentingan aspek halal, kebersihan, harga berpatutan serta layanan mesra dalam sektor gastronomi sebagai teras memperkasa identiti hospitaliti negeri dan menarik kehadiran pelancong.

Baginda bertitah bahawa gastronomi merupakan antara tarikan utama pelancongan Kelantan, justeru penyedia makanan perlu memastikan makanan yang dijual adalah halal, bersih dan dijual pada harga berpatutan.

“Penyedia makanan juga seharusnya memberikan layanan yang mesra sebagai salah satu identiti hospitaliti di negeri Kelantan,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Kelima Belas 2026 di Kompleks Kota Darulnaim pada 20 April 2026.

Dalam titah yang sama, baginda menegaskan sektor pelancongan kekal sebagai pemangkin penting pertumbuhan ekonomi negeri, di samping menyeru usaha menaik taraf kemudahan pelancongan, memperluas promosi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, memperkasa sektor pertanian sebagai sokongan bekaIan makanan dan mengukuhkan sistem pendidikan secara holistik untuk melahirkan modal insan berilmu, berakhlak dan berkemahiran.

Kelantan sebagai pelopor tatakelola budaya

Akhirnya, kekuatan Kelantan terletak pada keberaniannya memilih jalan sendiri.

Negeri ini tidak tunduk kepada tekanan untuk menjadikan budaya sebagai pesta tanpa sempadan.

Pada masa yang sama, Kelantan juga tidak menutup pintu kepada kreativiti, kesenian, sukan atau gastronomi.

Usaha yang dilakukan oleh pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan yang berpemikiran garda depan adalah menyusun semuanya dalam acuan tersendiri yang memelihara nilai sambil meraikan potensi semasa. -HARAKAHDAILY 23/4/2026

- Advertisement -