
KOTA BHARU: Orang ramai berusia 18 tahun ke atas dipelawa menyertai pertandingan mencipta lagu, logo dan maskot sempena Sukan Malaysia (SUKMA) XXIII Kelantan 2028 yang kini dibuka secara rasmi.
Penyertaan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dengan tiga kategori dipertandingkan iaitu lagu, logo dan maskot, menawarkan hadiah wang tunai serta peluang karya dijadikan karya rasmi SUKMA XXIII 2028.
Bagi kategori lagu, pemenang tempat pertama bakal menerima RM8,000 berserta sijil dan pengiktirafan sebagai karya rasmi temasya, manakala naib johan membawa pulangan RM5,000 dan tempat ketiga RM3,000, kedua-duanya bersama sijil.
Untuk kategori logo dan maskot, johan masing-masing akan menerima RM5,000 berserta sijil dan pengiktirafan karya rasmi, manakala naib johan memperoleh RM3,000 dan tempat ketiga RM1,500, turut disertakan sijil.
Menurut penganjur, pertandingan ini bertujuan memberi peluang kepada rakyat Malaysia menzahirkan kreativiti serta menyumbang idea dalam memeriahkan penganjuran SUKMA Kelantan 2028.
“Penyertaan ini diharap dapat mencungkil bakat baharu serta menghasilkan identiti rasmi yang mencerminkan semangat kesukanan dan jati diri negeri Kelantan,” menurut kenyataan penganjur.
Tarikh penyertaan bagi kategori lagu dibuka bermula 5 April hingga 5 Julai 2026, manakala kategori logo dan maskot berlangsung dari 5 April hingga 5 Jun 2026.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut termasuk terma dan syarat melalui kod QR yang disediakan atau menghubungi Sekretariat SUKMA Kelantan menerusi e-mel. -HARAKAHDAILY 16/4/2026
















