

INDUSTRI halal kini berkembang daripada keperluan pematuhan syariah kepada ekosistem ekonomi global yang merangkumi makanan, farmaseutikal, kosmetik, fesyen sederhana, pelancongan, logistik, kewangan Islam serta perkhidmatan profesional.
Berdasarkan laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) 2023/2024, perbelanjaan pengguna Muslim dunia dalam sektor ekonomi Islam dianggarkan melebihi USD2.29 trilion pada tahun 2022 dan dijangka meningkat 2022 kepada sekitar USD3.1 trilion menjelang tahun 2030.
Pertumbuhan ini dipacu oleh populasi Muslim global yang melebihi 2 bilion orang, selain peningkatan kesedaran pengguna terhadap aspek keselamatan makanan, kebersihan, kualiti, integriti rantaian bekalan dan kelestarian.
Lebih penting, standard halal turut diterima oleh pengguna bukan Islam kerana dikaitkan dengan disiplin kawalan mutu, ketelusan sumber bahan, kebersihan pemprosesan dan keyakinan terhadap produk.
Justeru, halal wajar dilihat sebagai nilai ekonomi sejagat, bukan sekadar label keagamaan.
Dalam konteks ini, negeri yang memiliki identiti Islam, kekuatan budaya tempatan dan keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mempunyai ruang besar untuk menempatkan diri dalam rantaian nilai halal global.
Malaysia dan hala tuju HIMP 2030

Malaysia terus mengekalkan reputasi sebagai antara peneraju industri halal dunia melalui ekosistem pensijilan yang diiktiraf, dasar pembangunan industri yang tersusun serta keupayaan eksport dalam sektor makanan dan minuman, ramuan, kosmetik, produk berasaskan sawit dan bahan kimia industri.
Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) pula menetapkan hala tuju strategik untuk memperkukuh daya saing negara melalui pembangunan industri, pendigitalan, penyelidikan dan pembangunan, modal insan serta peluasan pasaran antarabangsa.
Antara sasaran utama HIMP 2030 termasuk meningkatkan sumbangan industri halal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), memperkukuh eksport halal negara sehingga melebihi RM80 bilion menjelang 2030, menarik pelaburan berkualiti serta melahirkan lebih ramai usahawan halal yang mampu bersaing pada peringkat global.
Bagi Kelantan, dokumen dasar ini ialah peta untuk menyelaraskan infrastruktur negeri, pembangunan usahawan dan agenda pemerkasaan rakyat dengan arus besar ekonomi halal dunia.
Kelantan mempunyai kelebihan tersendiri dalam landskap halal Malaysia kerana memiliki identiti Islam yang kukuh, budaya masyarakat yang akrab dengan prinsip Islam, jaringan PMKS yang aktif serta kekayaan produk makanan tradisional, hasil pertanian, herba dan produk berasaskan komuniti.
Kedudukan Kelantan dalam ekosistem halal negara
Kekuatannya memberi asas kepada pembentukan jenama halal Kelantan yang berakar pada keaslian, amanah dan kualiti.

Malaysia berkuat kuasa 1 April 2026 kepada pemilik syarikat SR Rezeki Venture, Noor Syahirah Roslan.
Kewujudan Taman Halal Pasir Mas (PMHP) di Mukim Bendang Pauh, Pasir Mas, berkeluasan 108 ekar dan berstatus HALMAS membuktikan komitmen kerajaan negeri menyediakan platform yang lebih tersusun untuk menarik pelaburan, memperkasa usahawan dan meningkatkan kapasiti pengeluaran produk halal.
Kawasan perindustrian ini menawarkan pelbagai kemudahan strategik untuk perniagaan seperti 50 lot industri dengan infrastruktur asas lengkap termasuk loji rawatan kumbahan (STP) serta Kompleks Perniagaan Usahawan (EBC) untuk PKS.
Hab ini direka untuk pengeluaran makanan bernilai tinggi, herba, rempah ratus, produk berasaskan daging, farmaseutikal dan logistik.
Kedudukannya yang berhampiran sempadan Thailand amat strategik untuk perdagangan rentas sempadan ke pasaran Indochina.
Nah, cabaran utama kini ialah keberkesanan mengoptimumkannya melalui strategi yang tepat agar boleh berfungsi sebagai pusat inkubasi, pengeluaran, pensijilan, penyelidikan, logistik dan pemasaran yang menyatukan kerajaan, institusi ilmu, agensi pembangunan, pelabur dan rakyat.
KIASHAC bukti komitmen skala global
Bukti penting kesungguhan Kelantan terhadap kemajuan industri halal pada skala global dapat dilihat melalui perkembangan Pusat Halal KIAS (KIASHAC).

Pengarahnya, Dr. Ahmad Syakir Mohd Nassuruddin memaklumkan, KIASHAC bermula sebagai sebuah sekretariat pada tahun 2022.
Namun, perkembangan institusi ini bergerak pantas apabila Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) secara rasmi didaftarkan sebagai Pusat Latihan Halal (PLH) oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 30 Mei 2024.
Pengiktirafan sebagai PLH oleh JAKIM memberi nilai strategik kerana Kelantan kini mempunyai pusat latihan yang dapat membangunkan modal insan halal secara lebih berstruktur.
Lebih signifikan, KIASHAC mulai melebar sayap ke peringkat antarabangsa.
Pusat ini telah dilantik sebagai perunding halal kepada sebuah syarikat di Singapura, sekali gus menunjukkan kepercayaan luar terhadap kepakaran halal dari Kelantan.
KIASHAC juga diundang oleh Nippon Asia Halal Association, sebuah badan pensijilan halal di Jepun, bagi memberikan input dan perkongsian berkaitan pensijilan halal serta isu-isu berkaitan.
Perkembangan ini memperlihatkan bahawa Kelantan berjaya membina ekosistem halal untuk keperluan domestik dan sedang memasuki ruang perundingan, latihan dan piawaian halal antarabangsa.
MPIHNK mekanisme tadbir urus negeri
Satu lagi bukti komitmen Kelantan ialah penubuhan Majlis Pembangunan Industri Halal Negeri Kelantan (MPI-HNK) yang dirasmikan pada 4 September 2025 sebagai badan strategik utama untuk menyelaras, memantau dan memperkasakan ekosistem halal di seluruh negeri.
Diurussetiakan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan, keahlian MPIHNK merangkumi pelbagai portfolio, termasuk pelaburan dan agensi kerajaan berkaitan.
Kewujudan MPIHNK penting kerana agenda halal memerlukan tadbir urus rentas sektor. Oleh itu, MPIHNK diselaraskan bersama Majlis Pembangunan Halal Persekutuan dan bergerak seiring dengan HIMP 2030.
Tujuan utamanya ialah menyelaras dasar halal negeri, membincangkan cabaran industri dan menggerakkan pembangunan berteraskan syariah.
Melalui mekanisme ini, hab halal sedia ada, termasuk di Pasir Mas, dapat dimajukan secara lebih terarah bagi menarik pelaburan dan penyertaan pemain industri.
Rakyat, usahawan dan kesedaran pensijilan
Tidak dikesampingkan, pembangunan industri halal memerlukan penglibatan rakyat sebagai pasaran pertama, penyokong awal dan duta sosial kepada produk halal tempatan.
Bagi memperluas penyertaan usahawan kecil, MPI-HNK memberi diskaun fi pensijilan kotej halal sebanyak 75 peratus, menjadikan pemohon hanya perlu membayar RM50 daripada keseluruhan fi RM200.
Sejumlah 66 pemohon mendapat manfaat diskaun ini bagi tahun 2026.
Kejayaan Syarikat SR Rezeki Venture milik Noor Syahirah Roslan dari Kampung Paya Bemban, Kota Bharu sebagai pemilik Sijil Halal Kategori Kotej pertama di Kelantan, membuktikan bahawa dasar mesra usahawan mampu membuka pintu pematuhan halal kepada perusahaan akar umbi.
Kesimpulan
Kelantan sudah memiliki asas fizikal melalui Kelantan Halal Hub, Taman Halal Kelantan dan Hab Halal Pasir Mas, asas tadbir urus melalui MPIHNK, asas ilmu melalui KIASHAC serta asas sosial melalui usahawan kecil dan sokongan pengguna.
Gabungan ini menjadikan agenda halal sebagai strategi pembangunan negeri yang boleh menyatukan syariah, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Tindakan seterusnya ialah Kelantan perlu memastikan penyelarasan dasar bergerak seiring dengan kemudahan pensijilan, latihan berterusan, pematuhan standard, inovasi produk, pendigitalan dan akses pasaran.
Jika kerajaan, institusi ilmu, pemain industri dan rakyat bergerak sebagai satu ekosistem, halal menjadi wasilah membina ekonomi negeri yang bersih, diyakini, berdaya saing dan membawa manfaat kepada ummah pada peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa.-HARAKAHDAILY 12/6/2026
Ahmad Mustafa Ab Azais ialah Penolong Pengarah (Pentadbiran Awam dan Kewangan), Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik (SPARK), Pejabat Menteri Besar Kelantan dan Norzana Razaly ialah Penolong Pengarah (Pengarang) Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan

















