Zubir, Mansor, Afnan antara penerima darjah Sultan Kedah

Sempena Hari Keputeraan Ke-84

Zubir menerima bintang D.S.S.S yang membawa gelaran Dato' pada majlis di Istana Anak Bukit, hari ini.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Zubir Ahmad, antara penerima darjah kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah ke-84, hari ini.

- Advertisement -

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Langkawi, menerima Darjah Dato’ Setia Sultan Sallehuddin Kedah (D.S.S.S) yang membawa gelaran Dato’.

Sementara, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria dan Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden, masing-masing diperkenan menerima Darjah Setia Sultan Sallehuddin (S.S.S).

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail menerima Darjah Dato’ Seri Pahlawan Yang Amat DiHotmati (S.S.P.K) yang membawa gelaran Dato’ Seri Pahlawan.

Dalam pada itu, Orang Besar Enam Belas yang membawa gelaran Dato’ Jaya Perkasa dianugerahkan kepada Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin, manakala Orang Besar Enam Belas yang membawa gelaran Dato’ Jaya Dermawan pula dianugerahkan kepada Dato’ Wira Tan Hong Eng.

Selain itu, dua penerima Orang Besar Tiga Puluh Dua yang membawa gelaran Dato’ Johan Bakti dan Dato’ Biram Jaya dianugerahkan kepada Dato’ Mohamad Che Nai dan Datuk Seri Boon Som Inong.

Penerima Darjah Dato’ Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K) yang juga membawa gelaran Dato’ dianugerahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA), Radzuan Osman dan Datuk Bandar Alor Setar Majlis Bandaraya Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya.

Juga Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Dato’ Zakaria Shaaban dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Abdul Salim Tajudin,

Dalam perkembangan yang sama, Darjah Dato’ Setia Pahlawan (D.D.S.P) membawa gelaran Dato’ dianugerahkan kepada Ketua Polis Negeri Kedah, Datuk Aszli Abu Shah, sementara Pengarah Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Kedah, Syeikh Mohamad Subhi Abdullah menerima anugerah Setia DiRaja Kedah (S.D.K).

Lapan individu lain menerima S.D.K iaitu Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Maznim Ismail dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah, Ir Mohd Fisal Ismail.

Serta Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Zulkifli Romli dan Timbalan Pengarah Program Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Jamaliah Omar.

Juga, Ketua Jabatan Pembedahan Saraf (Neurosurgeri) Hospital Sultanah Bahiyah, Dr Adam Mohd Zakaria dan Pakar Perunding Kanan Bedah Umum Hospital Sultanah Bahiyah, Dr S Manisekar.

Selain Pengerusi Real Estate & Housing Developers Association (REHDA) Kedah/Perlis, Yeoh Su Guan dan Presiden Bismi Empire Sdn. Bhd, Jaffri Ahmad.

Baginda Tuanku turut memperkenankan Penganugerahan Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Kebesaran sempena sambutan keputeraan tahun ini pada majlis di Istana Anak Bukit, di sini.

Seramai 31 penerima Ahli Mahkota Kedah (A.M.K.),  lima penerima Ahli Setia Pahlawan (A.S.P.), 31 penerima Bintang Perkhidmatan Cemerlang Kedah (B.C.K.), 43 penerima Bintang Kebaktian Masyarakat (B.K.M.) dan lima penerima Ahli Cemerlang Semangat Jerai Kedah (A.S.K.).

Termasuk juga kepada 55 penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang Kedah (P.C.K.), 45 penerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) dan 15 penerima Pingat Perkhidmatan Lama (P.P.L.). – HARAKAHDAILY 5/7/2026

- Advertisement -