Anwar sendiri akui ditolak rakyat, tiada legitimasi sokongan?

Berani Anwar buktikan semula di peti undi?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gaya kepimpinan Perdana Menteri ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kini mula menjadi perbandingan dalam kalangan rakyat sehingga mencetuskan persoalan mengenai legitimasi sokongan sebenar yang diterimanya, berbanding barisan mantan terdahulu.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menyifatkan kenyataan terbaharu Anwar berhubung kedudukannya pasca PRN Johor seolah-olah memberi petanda bahawa beliau sendiri mengakui sedang berdepan dengan gelombang penolakan daripada rakyat.

“Maka tidak hairan timbul cakap-cakap ‘Rindu zaman Tun’ dan ‘Ini jasa Najib’, sedangkan legasi pentadbiran Anwar masih belum kelihatan. Tambahan pula, legitimasi Anwar sebagai PM terbentuk melalui sokongan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, bukan melalui mandat rakyat.

“Barangkali atas sebab itulah Anwar berkata, ‘Kalah atau menang PRN Johor, saya tetap Perdana Menteri’. Adakah ini petanda Anwar sendiri mengakui beliau sedang berdepan gelombang penolakan rakyat?” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pembentukan kerajaan hari ini, Mohd Syahir menjelaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) sekadar memperoleh 82 kerusi atau 37 peratus daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen.

Manakala Barisan Nasional (BN) pula mencatatkan rekod tercorot dalam sejarah apabila sekadar mempertahankan 30 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, melalui gabungan pasca-pilihan raya antara kedua-dua blok tersebut, Anwar berjaya memperoleh sokongan 112 Ahli Parlimen bagi membentuk majoriti mudah.

Ia sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan diperkuatkan lagi dengan penyertaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau menambah, formula politik sedemikian akhirnya menoktahkan naratif kempen sebelum ini termasuk laungan ‘No Anwar, No DAP’ serta dendangan lagu ‘Hoi Hoi Ya Hoi’ demi mematuhi prinsip Demokrasi Berparlimen yang dihormati oleh segenap lapisan rakyat.

Berdepan defisit keyakinan rakyat

Menurut Syahir, walaupun rakyat memberikan tempoh sewajarnya untuk Anwar membuktikan kemampuan meyakinkan negara, situasi semasa menunjukkan sebaliknya apabila sokongan terhadap pentadbiran beliau terus dipersoalkan.

“Tidak cukup dengan defisit kewangan dan hutang kerajaan yang terus meningkat, Anwar kini turut berdepan defisit keyakinan. Penolakan terhadap Anwar bukan hanya datang daripada pembangkang, malah turut kelihatan dalam kalangan masyarakat sivil.

“Malah ada dari kalangan yang sebelum ini mendukung agenda reformasi. Kini, rakyat sedang menilai Perdana Menteri ke-10,” tegas syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS.

Menjadikan PRN Sabah sebagai isyarat awal sebelum ini, beliau menegaskan PRN Johor kali ini akan menjadi kayu ukur sebenar bagi menilai tahap sokongan masyarakat di Semenanjung Malaysia terhadap kepimpinan Anwar.

Sehubungan itu, beliau mencabar Perdana Menteri untuk menguji keabsahan sokongan majoriti rakyat secara telus sekiranya benar-benar yakin dengan kedudukannya ketika ini.

“Menang atau kalah, Anwar tetap Perdana Menteri. Persoalannya, jika Anwar benar-benar yakin masih mendapat sokongan majoriti rakyat, adakah beliau berani membuktikannya semula di peti undi? Demokrasi, mandat rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -