PAS parti pengasas PN, bukannya ‘penumpang’

- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS tidak harus dipersoalkan kedudukannya dalam Perikatan Nasional (PN) kerana parti itu merupakan antara pengasas utama gabungan tersebut, kata Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar.

Beliau berkata, kenyataan Dr Afif Bahardin bahawa kedudukan PAS dalam PN menjadi janggal sekiranya parti itu tidak lagi mempunyai kepercayaan terhadap BERSATU tidak menggambarkan realiti sebenar gabungan berkenaan.

- Advertisement -

“Persoalan yang lebih tepat bukanlah mengapa PAS berada dalam PN, tetapi mengapa BERSATU masih mahu berada dalam PN sekiranya mereka berterusan mempertikaikan keputusan, kepimpinan dan hala tuju gabungan yang dipersetujui bersama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamed Sukri berkata, PAS bukan sekadar rakan komponen biasa dalam PN, sebaliknya merupakan antara penandatangan rasmi yang membentuk gabungan itu sejak awal penubuhannya.

“PAS tidak bergantung kepada mana-mana individu atau parti untuk berada dalam PN kerana PAS adalah sebahagian daripada asas yang membina dan memperkukuhkan gabungan ini,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa PN bukan hanya terdiri daripada PAS dan BERSATU, malah turut dianggotai GERAKAN dan MIPP yang mempunyai peranan masing-masing dalam menentukan hala tuju gabungan.

“Masa depan PN tidak boleh ditentukan berdasarkan kepentingan, kehendak atau krisis dalaman satu parti sahaja. Tiada mana-mana parti mempunyai hak eksklusif ke atas PN,” katanya.

Menurut beliau, PAS kini merupakan parti terbesar dalam PN berdasarkan kekuatan keahlian, jentera organisasi, jumlah kerusi yang dimenangi serta sokongan akar umbi.

Malah, katanya, PAS juga memegang jawatan Pengerusi PN yang membuktikan peranan besar parti itu dalam memastikan kestabilan dan kesinambungan gabungan pembangkang tersebut.

“Adalah tidak munasabah untuk menggambarkan PAS sebagai pihak yang perlu mempersoalkan kedudukannya dalam gabungan yang turut diasaskannya sendiri,” katanya.

Mengulas keadaan semasa BERSATU, beliau berkata, parti itu berdepan beberapa cabaran dalaman sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk pertikaian kepimpinan, penghijrahan tokoh politik dan ketidaktentuan hala tuju yang berpanjangan.

Katanya, situasi itu bukan sahaja memberi kesan kepada BERSATU, malah berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap PN sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Mohamed Sukri selaku juga Yang Dipertua PAS Kawasan Shah Alam menegaskan, PAS tidak boleh terus dipaksa menanggung beban politik daripada krisis yang tidak berpunca daripadanya.

“Apabila sesebuah parti berdepan masalah dalaman berpanjangan, penyelesaiannya bukan dengan mengheret seluruh gabungan untuk menanggung kesannya, tetapi parti tersebut perlu melakukan pembetulan dan penstrukturan semula terhadap organisasinya sendiri,” jelasnya.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang tidak lagi menghormati keputusan bersama atau memilih untuk mempertikaikan kepimpinan gabungan secara terbuka perlu menilai semula komitmen mereka terhadap PN.

Tambahnya, kelangsungan PN tidak boleh bergantung kepada survival politik mana-mana satu parti kerana gabungan itu dibina atas prinsip kesepakatan, integriti dan kepentingan rakyat.

“Perikatan Nasional bukan milik BERSATU. Perikatan Nasional bukan milik PAS. Perikatan Nasional adalah milik semua parti komponen yang membinanya bersama.

“Jika ada pihak merasakan mereka tidak lagi mampu bergerak dalam kerangka tersebut, maka sewajarnya mereka menilai semula kedudukan mereka sendiri, bukannya mempersoalkan hak parti pengasas untuk terus memimpin dan memperkukuh gabungan ini,” tegasnya.

Beliau berkata, PAS akan terus komited mempertahankan semangat muafakat dalam kalangan parti pembangkang serta memperkukuhkan peranan PN sebagai alternatif kepada rakyat, namun tidak akan berkompromi dalam perkara yang melibatkan disiplin gabungan dan kestabilan organisasi. – HARAKAHDAILY 11/6/2026

- Advertisement -