‘PN milik rakyat, PAS masih dalam PN!’ – Pemuda PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan, PAS kekal bersama Perikatan Nasional (PN) dan akan terus memperkasa gabungan berkenaan bersama rakan yang mempunyai keikhlasan serta integriti.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, PN adalah milik rakyat dan PAS masih berada dalam gabungan itu.

- Advertisement -

“PN milik rakyat. PAS masih dalam PN. PAS akan terus memperkasa PN bersama rakan yang ikhlas, jujur, hormat, ada integriti, dan tiada isu moral. Simple!” katanya menerusi kenyataan ringkas.

Beliau berkata demikian dipercayai susulan kenyataan seorang pemimpin BERSATU yang mempersoalkan, mengapa PAS dilihat bersungguh-sungguh mahu menguasai PN.

Sedangkan dakwa pemimpin itu, BERSATU merupakan pihak yang mencetuskan idea, mendaftarkan serta mengurus gabungan itu sejak awal.

Pemimpin BERSATU itu berhujah bahawa, jika PAS benar-benar yakin dengan kekuatan sendiri, parti itu boleh bertanding menggunakan logo bulan, membentuk gabungan baharu, atau memilih kerjasama lain tanpa perlu bertelagah dengan BERSATU.

Walau bagaimanapun, Pengerusi PN, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut menegaskan bahawa, Perikatan Nasional bukan milik mutlak mana-mana parti, sebaliknya diurus berdasarkan perlembagaan dan keputusan rasmi gabungan.

Naib Presiden PAS itu berkata, PAS merupakan antara parti pengasas PN dan sebarang penentuan mengenai hala tuju gabungan itu tidak boleh diputuskan secara sebelah pihak.

“PN bukan milik mana-mana parti secara mutlak. Justeru, sebarang tafsiran mengenai status, kedudukan dan hala tuju PN tidak boleh dibuat secara sepihak.

“Ia hendaklah dirujuk kepada perlembagaan PN dan diputuskan melalui saluran rasmi gabungan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, PAS telah memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang turut memperakukan keputusan Majlis Syura Ulamak berkaitan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik atas prinsip penyatuan ummah.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan, kajian dan penilaian semasa mengenai kedudukan serta hala tuju kerjasama PAS-BERSATU.

Pada masa sama, menurut Tuan Guru, PAS akan meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya baharu demi penyatuan ummah menjelang pilihan raya akan datang, selain menerima hasrat tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk menyertai parti itu. – HARAKAHDAILY 11/6/2026

- Advertisement -