
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dinasihatkan supaya tidak membuat tafsiran terhadap keputusan PAS menamatkan hubungan politik dengan BERSATU.
Ahli Jawatankuasa Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS, Dr Yusfarizal Yussoff menegaskan, PAS mempunyai pendirian tersendiri berhubung keputusan itu dan tidak memerlukan tafsiran daripada pihak lain.
“Nasihat saya kepada Saifuddin, tidak perlulah tafsir mentafsir ini. Biarlah PAS dengan pendiriannya.
“Kalau mahu tafsir juga, tafsirkan parti ‘kancil’ dan tuduhannya. Banyak perkara telah dibongkar tetapi tidak banyak tafsiran Saifuddin yang kita dengar,” tempelak beliau dalam media sosial miliknya.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Saifuddin yang dilaporkan mendakwa, PAS mentafsir konsep penyatuan ummah mengikut kepentingan politik semasa, termasuk ketika menjalin dan menamatkan kerjasama dengan parti lain.
Saifuddin berkata bahawa, prinsip politik Islam sepatutnya berteraskan keadilan, perpaduan dan menyeru kepada kebaikan, bukannya ditafsir mengikut keadaan.
Saifuddin turut menyifatkan keputusan PAS menamatkan kerjasama dengan BERSATU sebagai pengulangan corak lama, dengan mendakwa kebanyakan kerjasama politik PAS sebelum ini akhirnya berakhir dengan perpisahan.
“Siapa sahaja yang bergabung dengan dia (PAS) berakhir dengan perceraian. Isunya talak satu, talak dua atau talak tiga. Kita tengok dengan semangat Semangat 46 atau pun PH sendiri.
“Kemudian dengan Umno (Muafakat Nasional 1.0), kemudian dengan BERSATU. menerima nasib yang sama. Lepas ini siapa lagi,” dakwa Saifuddin.
Walau bagaimanapun, dalam respon beliau, Dr Yusfarizal menyifatkan Saifuddin sebagai seorang yang bijak mentafsirkan situasi, namun mempersoalkan ketepatan rumusan yang dibuat.
“Saifuddin Nasution memang pandai mentafsirkan situasi. Rumusannya padu dan tuntas. Betul tidak betul itu cerita kedua,” tempelak beliau.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan keputusan PAS menamatkan hubungan politik dengan BERSATU dibuat kerana parti itu dilihat menghalang usaha ke arah penyatuan ummah yang lebih besar.
Bagi menggambarkan situasi berkenaan, Dr Yusfarizal menggunakan analogi persahabatan antara dua individu yang dinamakan sebagai Ali dan Abu.
“Analoginya mudah. Ali dan Abu kawan baik. Tapi bila Abu kawan juga dengan Ahmad, Taufiq, Muhayyat dan Siva, Ali merentan dan merajuk.
“‘Aku tak boleh dengan Ahmad’. ‘Aku pernah bergaduh dengan Taufiq’. ‘Muhayyat pernah hina aku’. ‘Siva curi duit aku’” katanya, merujuk kepada alasan yang diberikan oleh watak Ali dalam analogi itu.
Beliau seterusnya menceritakan Abu mempertahankan keputusannya untuk berkawan dengan lebih ramai pihak.
“‘Jadi apa kaitan dengan aku? ‘Aku nak ramai kawan. Boleh main rumah-rumah, khemah-khemah. Lagi ramai kawan, macam-macam boleh buat’” ceritanya.
Dr Yusfarizal kemudian menggambarkan hubungan antara Ali dan Abu semakin renggang susulan perbezaan pendirian itu.
“Ali terus merajuk. Bahkan Ali mula tegang hubungannya dengan Abu. Pergi kedai tikam hadiah pun dah tak ajak. Main gasing ‘spinning’ pun seorang-seorang.
“Maka Abu pun tamatkanlah hubungan dengan Ali. Itu sahaja.
“Tapi Saifuddin ini tafsirannya berbeza. Dahulu masa dituduh Sanusi ‘curi REE (unsur nadir bumi)’ pun tafsirannya berbeza. Mahkamah kata itu fitnah,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2026











