
HULU SELANGOR: Keputusan PAS menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU dibuat mengikut saluran parti yang sah serta melalui proses perbincangan di semua peringkat sebelum dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi parti.
Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun berkata, setiap keputusan besar dalam PAS perlu melalui penelitian Majlis Syura Ulama sebelum dibincangkan di peringkat harian dan seterusnya dibawa ke Jawatankuasa PAS Pusat untuk diputuskan.
Menurut beliau, struktur PAS menetapkan bahawa sebarang perkara penting mesti melalui proses syura dan dibawa ke peringkat tertinggi parti sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan.
“Seperti yang dimaklumkan, keputusan itu telah diputuskan dan sebagai ahli PAS, kami akur dan wala’ terhadap apa juga keputusan yang dibuat oleh pimpinan PAS Pusat,” katanya menerusi rakaman video ymengulas perkembangan itu.
Beliau berkata, beberapa peristiwa yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah memberi kesan besar kepada hubungan antara PAS dan BERSATU.
Menurutnya, antara perkembangan menimbulkan keresahan dalam PAS ialah tindakan beberapa Ahli Parlimen BERSATU menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, Hasnizan berkata, ahli PAS turut berasa terguris dengan beberapa perkembangan politik yang berlaku selepas pembentukan kerajaan pasca PRU15.
Namun katanya, mereka memilih untuk terus bersabar dan meneruskan perjuangan berdasarkan keputusan serta nasihat pimpinan parti.
Beliau turut membangkitkan isu berkaitan krisis politik di Perlis yang melibatkan penggunaan Akuan Bersumpah (SD), selain terdapat beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS turut terpalit dalam perkembangan tersebut.
Katanya, tindakan disiplin telah diambil terhadap individu yang terlibat sehingga menyebabkan mereka terkeluar daripada parti.
“Walaupun mereka tidak lagi berada dalam PAS, mereka masih bersama perjuangan parti dan telah memohon untuk menjadi ahli semula sementara menunggu keputusan kepimpinan PAS Pusat,” katanya.
Menurut beliau, PAS telah mengambil tindakan terhadap ahlinya yang terlibat dalam isu berkenaan, namun mempersoalkan mengapa tindakan sama tidak dikenakan terhadap pihak turut terlibat.
Hasnizan turut menyentuh perkembangan politik di Negeri Sembilan melibatkan perbincangan mengenai SD bagi menyokong ADUN Barisan Nasional yang dikatakan tidak lagi menyokong Menteri Besar ketika itu.
Katanya, perkara tersebut tidak dibincangkan bersama PAS walaupun melibatkan isu besar yang sepatutnya diputuskan di peringkat Perikatan Nasional (PN).
Selain itu beliau berkata, BERSATU juga berdepan masalah dalaman yang menyaksikan pemecatan beberapa pimpinan kanan termasuk Timbalan Presidennya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin.
“Keadaan ini menyebabkan imej Perikatan Nasional dilihat semakin lemah sedangkan gabungan tersebut sepatutnya memanfaatkan peluang untuk memperkukuhkan kedudukan politik pembangkang,” katanya.
Dalam pada itu, Hasnizan mempertahankan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang sebelum ini menggesa supaya hubungan politik dikaji semula serta menyebut keperluan menambah jumlah calon daripada PAS.
Menurut beliau, kenyataan tersebut perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas berdasarkan pengalaman PAS membantu gerak kerja pilihan raya di kawasan yang ditandingi BERSATU, termasuk ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Katanya, PAS telah menggerakkan jentera bagi membantu calon-calon BERSATU di beberapa kawasan dan menyifatkan kenyataan Presiden PAS itu mempunyai asas berdasarkan pengalaman kerjasama yang telah dilalui sebelum ini.
Pada masa sama, Hasnizan menegaskan bahawa keputusan menghentikan kerjasama politik tidak bermaksud BERSATU dianggap sebagai musuh.
“Saya yang terlalu lama berkawan dengan BERSATU ini, saya tidak menganggap mereka sebagai musuh. Mereka boleh bersahabat, tiada masalah.
“Tetapi mungkin dari sudut politik, kita telah berbeza haluan dan saya akan terus bersama PAS untuk memastikan kemenangan parti di mana sahaja kerusi yang ditandingi,” katanya.
Beliau menambah, walau apapun keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti, ahli-ahli PAS akan terus menghormati dan melaksanakannya demi kepentingan perjuangan parti.
Terdahulu, pada lewat malam Isnin lalu, PAS mengumumkan keputusan menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU menerusi kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, keputusan itu dipersetujui Majlis Syura Ulama PAS pada 2 Jun lalu selepas meneliti aspek dasar, pertimbangan syarak dan kepentingan umum berkaitan kerjasama politik berdasarkan prinsip Penyatuan Ummah.
Menurutnya, mesyuarat tersebut turut menilai kedudukan semasa serta hala tuju hubungan PAS dan BERSATU menerusi laporan, kajian dan penilaian terhadap landskap politik semasa.
Kerjasama antara PAS dan BERSATU bermula secara rasmi menerusi penubuhan Perikatan Nasional pada Ogos 2020 sebelum berakhir selepas kira-kira enam tahun hubungan politik antara kedua-dua parti itu terjalin. – HARAKAHDAILY 11/6/2026











