
HULU LANGAT: Keputusan PAS menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU perlu dilihat sebagai langkah membuka lembaran baharu, bukannya pengakhiran kepada hubungan telah terjalin antara kedua-dua parti.
Ustaz Nushi Mahfodz berkata, beliau memahami perasaan penyokong yang berasa sedih dengan perkembangan itu memandangkan PAS dan BERSATU telah melalui pelbagai pengalaman perjuangan serta menghadapi pilihan raya bersama sejak beberapa tahun lalu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih itu, masyarakat perlu membezakan antara kerjasama politik dan hubungan persahabatan kerana kedua-duanya merupakan perkara yang berbeza.
“Politik ialah strategi yang berubah mengikut keperluan, keadaan dan maslahah semasa. Namun ukhuwah, persahabatan dan akhlak sesama manusia tidak sepatutnya berubah hanya kerana perbezaan platform politik.
“Kita boleh memilih jalan yang berbeza tanpa perlu bermusuhan. Kita boleh membawa haluan yang berbeza tanpa perlu saling mencerca dan berpisah dalam urusan politik tanpa memutuskan tali silaturahim,” katanya dalam satu ulasan hari ini.
Beliau berkata, perubahan hubungan antara parti bukan sesuatu yang asing dalam sejarah politik negara kerana politik sentiasa bersifat dinamik dan berkembang mengikut keadaan semasa.
Menurutnya, PAS sentiasa menilai setiap keputusan berdasarkan kepentingan yang lebih besar melibatkan penyatuan ummah, kestabilan masyarakat dan masa depan negara.
“Kadangkala memberi ruang kepada strategi baharu adalah langkah terbaik untuk membuka jalan yang lebih berkesan demi mencapai tujuan yang lebih besar.
“Kadangkala memberi ruang kepada semua pihak bergerak dengan lebih bebas juga mampu membuka pintu kepada bentuk kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan,” ujarnya.
Nushi berkata, keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui penelitian dan perbincangan yang panjang di peringkat kepimpinan tertinggi parti.
Sehubungan itu, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat tersebut menyeru semua pihak menghormati keputusan tersebut dan memberi tumpuan kepada cabaran sebenar yang sedang dihadapi rakyat.
Menurutnya, rakyat kini lebih memerlukan penyelesaian terhadap isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, perumahan dan masa depan negara berbanding pertelingkahan politik yang berpanjangan.
“Persoalan yang lebih besar bukan lagi siapa berkawan dengan siapa. Persoalan yang lebih penting ialah siapa yang mampu membawa penyelesaian kepada rakyat.
“(Juga) menyatukan kekuatan ummah tanpa mengorbankan prinsip serta menawarkan harapan yang lebih baik untuk masa depan Malaysia,” katanya yang juga Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Selangor.
Sehubungan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan dan ahli BERSATU atas kerjasama yang pernah terjalin sepanjang tempoh kedua-dua parti bersama.
Kata Ustaz Nushi yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS, perbezaan haluan politik tidak seharusnya memadamkan segala pengalaman dan kebaikan telah dibina sebelum ini.
“Apa yang terputus hari ini tidak semestinya kekal terputus selama-lamanya. Apabila sebab yang membawa kepada terhentinya kerjasama itu sudah tiada, maka pintu perbincangan dan kerjasama sentiasa boleh dibuka semula.
“Kerana yang lebih besar daripada mana-mana parti ialah tanggungjawab kita bersama terhadap agama dan negara,” tegasnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Langat.
Beliau turut mengajak ahli PAS terus melangkah dengan matang dan berlapang dada serta meyakini bahawa kematangan politik diukur melalui keupayaan memilih kebaikan yang lebih besar untuk ummah dan negara.
Pada lewat malam Isnin lalu, PAS mengumumkan keputusan menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, keputusan itu dipersetujui Majlis Syura Ulama PAS pada 2 Jun lalu selepas meneliti aspek dasar, pertimbangan syarak dan kepentingan umum berkaitan kerjasama politik berdasarkan prinsip Penyatuan Ummah.
Menurut beliau, mesyuarat tersebut turut menilai kedudukan semasa serta hala tuju hubungan PAS dan BERSATU menerusi laporan, kajian dan penilaian terhadap landskap politik semasa.
Kerjasama antara PAS dan BERSATU bermula secara rasmi menerusi penubuhan Perikatan Nasional pada Ogos 2020 sebelum berakhir selepas kira-kira enam tahun hubungan politik kedua-dua parti itu terjalin. – HARAKAHDAILY 11/6/2026











