Sultan Kelantan berkenan santuni mangsa kebakaran

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sultan Muhammad V berkenan berangkat mencemar duli ke tapak kebakaran di Kampung Gok Kapur, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), malam tadi bagi menyantuni mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.

- Advertisement -

Keberangkatan Baginda disambut oleh Speaker DUN Kelantan, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah, yang mewakili Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal serta ahli exco kerajaan negeri.

Sebelum meninjau lokasi kejadian, Baginda dipersembahkan taklimat ringkas mengenai insiden tersebut oleh Ketua Penyelia Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kota Bharu.

Dalam lawatan itu, Sultan Muhammad V turut berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai kepada 27 ketua keluarga yang terjejas akibat kebakaran berkenaan.

Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Jajahan Kota Bharu, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Masjid Sultan Ismail Petra bagi menempatkan mangsa terlibat.

Keberangkatan Baginda justeru mencerminkan keprihatinan institusi diraja serta memberi semangat kepada mangsa untuk terus tabah menghadapi ujian. – HARAKAHDAILY 11/6/2026

- Advertisement -