PAS tidak pernah rugi dalam kerjasama politik

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PAS tidak pernah mengalami kerugian sama ada ketika menjalin kerjasama politik dengan parti lain mahupun bergerak secara bersendirian, sebaliknya terus mencatatkan pencapaian signifikan dalam landskap politik negara.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, sejarah membuktikan parti itu sentiasa mampu menyesuaikan strategi politik tanpa menjejaskan asas perjuangannya yang berteraskan Islam.

Menurutnya, PAS pernah melalui pelbagai bentuk kerjasama politik termasuk bersama Barisan Nasional (BN) pada era 1970-an, Angkatan Perpaduan Ummah bersama Semangat 46 pada tahun 1990, Barisan Alternatif pada 1999 serta Pakatan Rakyat pada 2008.

“Melalui kerjasama dengan Semangat 46, PAS berjaya mengambil alih pentadbiran Kelantan pada tahun 1990 dan mempertahankannya sehingga kini.

Siapa sangka sebuah negeri yang dirampas kembali lebih tiga dekad lalu masih kekal menjadi kubu kuat PAS?

“Pada tahun 1999 pula, PAS bersama Parti Keadilan Nasional (kini PKR) serta parti-parti pembangkang lain dalam Barisan Alternatif. Hasil gelombang kebangkitan rakyat ketika itu, PAS bukan sahaja mempertahankan Kelantan malah berjaya menawan Terengganu buat kali pertama dalam sejarah moden politik negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan bahawa kerjasama dalam Pakatan Rakyat pada 2008 turut menyaksikan pembangkang mencatat kejayaan besar apabila menguasai beberapa negeri termasuk Selangor dan Pulau Pinang.

“PAS menjadi antara tonggak utama kepada kebangkitan politik pembangkang pada ketika itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, PAS turut membuktikan keupayaannya apabila bergerak secara solo selepas perpecahan Pakatan Rakyat.

“Apabila PAS memilih haluan sendiri selepas perpecahan Pakatan Rakyat, ramai yang meramalkan PAS akan lemah dan tenggelam. Namun pada tahun 2018, PAS membuktikan sebaliknya.

“Bergerak secara solo, PAS berjaya merampas kembali Terengganu yang terlepas pada tahun 2004, di samping terus mempertahankan Kelantan dengan majoriti yang lebih kukuh,” katanya.

Fadhli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata, melalui kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN), PAS sekali lagi melakar kejayaan apabila membantu mengekalkan kemenangan besar di Kelantan, Terengganu dan Kedah pada Pilihan Raya Negeri 2023, selain menyaksikan PN menguasai Perlis sepenuhnya.

“PAS juga muncul sebagai parti yang memiliki jumlah kerusi Parlimen terbanyak dalam kalangan parti-parti Melayu-Islam.

“Jadi, di manakah ruginya PAS?

“Jika bergabung, PAS pernah mencipta kemenangan. Jika bergerak sendiri, PAS juga mampu mencipta kemenangan. Jika bercerai daripada rakan politik, PAS terus berkembang,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan kekuatan PAS tidak bergantung kepada mana-mana rakan politik, sebaliknya terletak pada istiqamah ahli, kejelasan dasar perjuangan dan keyakinan rakyat terhadap agenda yang dibawanya.

“Kadang-kadang strategi yang diatur untuk kita tidak menampakkan hasil dalam masa terdekat. Ada keputusan yang memerlukan masa bertahun-tahun untuk difahami hikmahnya. Apa yang kelihatan sebagai kerugian hari ini, mungkin sebenarnya sedang membuka jalan kepada kemenangan yang lebih besar pada masa hadapan.

“Percayalah, setiap keputusan yang diambil dalam perjuangan pasti ada asbabnya. Selagi PAS terus meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan, insya-Allah setiap langkah yang diambil akan membawa kebaikan kepada parti, jamaah dan umat.

“Yang penting, jangan cepat menghukum sesuatu keputusan hanya dengan melihat hari ini, kerana sejarah telah berkali-kali membuktikan bahawa PAS sentiasa mempunyai kemampuan untuk bangkit dan melangkah lebih jauh daripada apa yang dijangkakan oleh lawan mahupun kawan,” katanya.

Pada 8 Jun lepas, Harakahdaily melaporkan melaporkan PAS secara rasmi memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta, demikian umum Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ketetapan drastik itu dicapai setelah membincangkan kedudukan serta hala tuju parti dalam mendepani landskap politik semasa tanah air pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Pejabat Agung PAS.

Tuan Guru memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pertimbangan dasar, hukum dan maslahah, selain meneliti laporan serta kajian menyeluruh berhubung perkembangan mutakhir membabitkan parti sekutunya itu.

Dalam masa sama, PAS akan meneroka bentuk persefahaman politik serta kerjasama pilihan raya baharu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). – HARAKAHDAILY 11/6/2026

- Advertisement -