
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan gabungan itu bukan milik mutlak mana-mana parti, sebaliknya sebuah gabungan politik yang ditubuhkan berasaskan muafakat parti-parti pengasas serta tertakluk kepada perlembagaannya.
Beliau berkata, PAS merupakan antara parti pengasas PN dan beliau sendiri adalah salah seorang penandatangan rasmi penubuhan gabungan berkenaan.
Menurutnya, sebarang tafsiran mengenai status, kedudukan dan hala tuju PN tidak boleh dibuat secara sepihak oleh mana-mana pihak.
“PN bukan milik mana-mana parti secara mutlak.
“Justeru, sebarang tafsiran mengenai status, kedudukan dan hala tuju PN tidak boleh dibuat secara sepihak. Ia hendaklah dirujuk kepada perlembagaan PN dan diputuskan melalui saluran rasmi gabungan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu menegaskan bahawa keutamaan beliau sebagai Pengerusi PN adalah memastikan gabungan itu terus diurus secara tertib, berprinsip dan bertanggungjawab.
“Ia demi kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya.
Pada 8 Jun lalu, Harakahdaily melaporkan melaporkan PAS secara rasmi memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta, demikian umum Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Ketetapan drastik itu dicapai setelah membincangkan kedudukan serta hala tuju parti dalam mendepani landskap politik semasa tanah air pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Pejabat Agung PAS.
Tuan Guru memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pertimbangan dasar, hukum dan maslahah, selain meneliti laporan serta kajian menyeluruh berhubung perkembangan mutakhir membabitkan parti sekutunya itu.
Dalam masa sama, beliau menyatakan bahawa PAS akan meneroka bentuk persefahaman politik serta kerjasama pilihan raya baharu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). – HARAKAHDAILY 11/6/2026
















