‘Lihat realiti negeri ditadbir, PAS bukan ancaman sesiapa’

PAS perlu dinilai berdasarkan dasar, lihat Kelantan, Terengganu, Kedah

- Advertisement -

AYER KEROH: Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Bakri Jamaluddin menegaskan, mereka yang masih cuba menggambarkan PAS sebagai ancaman kepada masyarakat bukan Islam perlu melihat realiti di negeri-negeri ditadbir parti itu sejak sekian lama.

Menurutnya, masyarakat bukan Islam di Kelantan, Terengganu dan Kedah hidup dalam suasana aman dan harmoni, selain bebas menjalankan perniagaan, mengamalkan agama masing-masing serta mengekalkan budaya dan tradisi hidup tanpa gangguan.

- Advertisement -

“Persoalan sebenar bukanlah sama ada PAS mampu membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU16.

“Tetapi sama ada PAS mampu menawarkan dasar dan kepimpinan yang dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan bekas Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek yang memberi amaran dengan mendakwa bahawa PAS berpotensi ke Putrajaya secara ‘tidak langsung’ jika berlaku sikap tidak keluar mengundi atau undi rosak dalam kalangan pengundi Cina, khususnya di kawasan marginal.

Chua juga dilaporkan mendakwa, landskap kerusi Parlimen menunjukkan PAS sukar menembusi Sabah dan Sarawak serta kawasan majoriti Cina, namun keadaan itu boleh berubah jika peratusan keluar mengundi rendah.

Beliau turut mendakwa, keputusan pilihan raya bergantung kepada jumlah kerusi dimenangi dan kegagalan pengundi Cina keluar mengundi boleh memberi kelebihan kepada PAS walaupun tanpa sokongan nasional yang besar.

Walau bagaimanapun, mengulas kenyataan bekas Presiden MCA itu, Bakri yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu berpandangan, perkara tersebut menimbulkan persoalan yang wajar dibincangkan.

“Adakah kenyataan tersebut berdasarkan fakta dan realiti politik semasa, atau sekadar mengulangi persepsi lama yang tidak lagi mencerminkan keadaan sebenar masyarakat Malaysia?” soalnya.

Rakyat kini lebih bijak menilai

Bakri menegaskan bahawa landskap politik negara telah banyak berubah dengan rakyat kini lebih menilai soal integriti, kecekapan pentadbiran dan kos sara hidup.

Selain itu menurut beliau, rakyat kini juga lebih menilai peluang ekonomi dan kestabilan negara berbanding sentimen perkauman yang sering dimainkan pihak tertentu.

“Oleh itu, perbahasan politik seharusnya tertumpu kepada dasar, prestasi dan keupayaan mentadbir, bukannya andaian terhadap kecenderungan sesuatu kaum,” bidas beliau.

Bakri turut menekankan bahawa, dalam sebuah negara demokrasi yang matang, sesebuah parti politik sewajarnya dinilai berdasarkan idea, kemampuan dan rekod pentadbirannya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Negeri Melaka menjelaskan, PAS hari ini bukan lagi sebuah parti yang hanya diwakili golongan agamawan.

Sebaliknya terang beliau, PAS hari ini telah berkembang dengan penyertaan ramai golongan profesional seperti jurutera, ahli ekonomi, akademik, peguam, pakar korporat dan teknokrat.

Tambahnya, kepelbagaian kepakaran itu memberi nilai tambah yang besar dalam proses merangka dasar serta mentadbir negara secara lebih berkesan.

“Kehadiran golongan profesional ini mencerminkan perubahan yang sedang berlaku dalam politik Malaysia. Masa depan negara memerlukan kepimpinan yang memahami.

“(Iaitu) ekonomi moden, teknologi, inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), kelestarian serta daya saing global. Semua ini memerlukan gabungan kepakaran dan pengalaman yang luas,” jelasnya.

Imej dan reputasi PAS

Bakri berpandangan, satu lagi faktor menjadi kekuatan PAS ialah imej dan reputasinya yang sering dikaitkan dengan integriti serta tadbir urus bersih.

Dalam keadaan rakyat semakin muak dengan pelbagai skandal salah guna kuasa dan rasuah, beliau menyifatkan PAS dilihat oleh ramai sebagai parti konsisten membawa agenda pemerintahan bersih, beramanah dan bertanggungjawab.

Pada masa sama, beliau mengakui tiada parti politik yang wajar dikecualikan daripada semakan dan kritikan, namun PAS secara umumnya berjaya mengekalkan reputasi bebas daripada skandal rasuah besar membabitkan kepimpinan tertingginya.

Menurut beliau lagi, persepsi itu telah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap komitmen parti berkenaan dalam mempertahankan prinsip integriti dan akauntabiliti.

“Hakikatnya, rasuah merupakan musuh utama pembangunan negara. Setiap ringgit yang hilang akibat rasuah adalah kerugian kepada sektor pendidikan, kesihatan, pembangunan infrastruktur, penyelidikan dan pelbagai program kebajikan rakyat.

“Kerajaan yang berintegriti mampu meningkatkan keyakinan pelabur, memperkukuhkan perkhidmatan awam serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negara,” tegasnya.

Aspirasi generasi muda

Bakri turut menyentuh aspirasi generasi muda yang mendambakan budaya politik baharu berasaskan prestasi dan penyelesaian, bukannya retorik serta perpecahan.

Beliau berkata, golongan itu mahu melihat sebuah kerajaan yang mampu membuka ruang ekonomi baharu, memperkukuh penyelidikan dan pembangunan, meningkatkan produktiviti serta membentuk budaya kerja cemerlang.

“Formula kejayaan sesebuah negara sebenarnya mudah, iaitu bekerja dengan lebih keras, bekerja dengan lebih bijak dan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah.

“Politik yang matang menuntut semua pihak bersaing secara sihat berdasarkan idea, keupayaan dan prestasi, bukannya melalui politik ketakutan atau sentimen perkauman,” katanya.

Menjelang PRU16, Bakri mengingatkan rakyat supaya menilai setiap parti politik secara adil dan objektif agar masa depan Malaysia ditentukan oleh integriti, kecekapan, wawasan dan kemampuan untuk menyatukan rakyat ke arah matlamat yang sama.

“Hanya dengan pendekatan sedemikian, Malaysia mampu muncul sebagai sebuah negara yang lebih makmur, harmoni dan dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2026

- Advertisement -