Agenda besar tidak boleh tersekat oleh ego politik tertentu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU tidak seharusnya dianggap sebagai kegagalan, sebaliknya membuka peluang memperkukuhkan agenda Penyatuan Ummah dalam skop lebih luas.

Dr Rosni Adam berkata, tanggapan bahawa keputusan menghentikan kerjasama politik itu menandakan perpecahan politik adalah tidak tepat kerana tidak semua perpisahan membawa kesan negatif.

- Advertisement -

Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu, ada kalanya sesuatu langkah diambil bagi membuka ruang kepada penyatuan yang lebih menyeluruh demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Agenda Penyatuan Ummah tidak boleh dilihat secara sempit. Ia bukan sekadar soal dua parti, kerusi atau jawatan. Ia adalah usaha menghimpunkan semua kekuatan.

“Yang mahu melihat negara ini dibina atas asas Islam, kestabilan, keadilan, keharmonian kaum dan kepentingan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan di media sosial.

Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan berkata, usaha penyatuan perlu melibatkan lebih ramai pihak yang berkongsi matlamat sama untuk membangunkan negara.

Menurutnya, penyatuan itu bukan sahaja membabitkan parti politik, malah tokoh masyarakat, golongan profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), anak muda, bekas pemimpin politik serta golongan bukan Islam yang sederhana.

“Jika ada pihak yang mahu menyumbang tenaga, pengalaman dan pengaruh, mereka wajar diraikan. Jangan sampai agenda besar tersekat hanya kerana kepentingan dalaman atau ego politik tertentu,” katanya.

Beliau berkata, PAS berpandangan agenda Penyatuan Ummah perlu bergerak secara lebih inklusif bagi membolehkan pelbagai pihak bersama menjayakannya.

“Jika mahu membina kekuatan besar, pintu rundingan dan kerjasama juga mesti dibuka lebih besar,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, perpisahan PAS dan BERSATU boleh menjadi peluang untuk menyusun semula kekuatan politik, merapatkan perbezaan yang wujud serta membentuk kerjasama yang lebih matang pada masa depan.

Katanya, negara kini berdepan pelbagai cabaran termasuk kestabilan politik, ekonomi rakyat, masa depan Islam, kedudukan Melayu dan Bumiputera serta keharmonian masyarakat majmuk.

“Dalam keadaan ini, politik kelompok perlu dikurangkan. Politik penyatuan perlu dibesarkan,” katanya yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Beliau turut mengakui PAS dan BERSATU mempunyai sejarah kerjasama yang panjang serta pernah mencatat pelbagai kejayaan bersama.

“PAS dan BERSATU pernah bekerjasama. Ada sejarah, jasa dan kemenangan. Itu tidak perlu dinafikan. Namun apabila kerjasama lama mula membataskan ruang penyatuan yang lebih luas, maka langkah baharu perlu disusun,” katanya.

Dr Rosni menegaskan perpisahan yang berlaku bukan bertujuan memecah-belahkan mana-mana pihak, sebaliknya membuka peluang menghimpunkan lebih ramai pihak dalam satu wadah lebih besar.

“Perpisahan ini bukan untuk berpecah, tetapi untuk membuka ruang menyatukan lebih ramai. Bukan untuk menutup pintu, tetapi untuk membina medan yang lebih besar.

“PAS dan BERSATU berpisah bukan kerana Penyatuan Ummah sudah gagal, tetapi kerana Penyatuan Ummah perlu dibina dalam ruang yang lebih luas, terbuka dan matang,” katanya.

Pada lewat malam Isnin lalu, PAS mengumumkan keputusan menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, keputusan itu dipersetujui Majlis Syura Ulama PAS pada 2 Jun lalu selepas meneliti aspek dasar, pertimbangan syarak dan kepentingan umum berkaitan kerjasama politik berdasarkan prinsip Penyatuan Ummah.

Menurut beliau, mesyuarat tersebut turut menilai kedudukan semasa serta hala tuju hubungan PAS dan BERSATU menerusi laporan, kajian dan penilaian terhadap landskap politik semasa.

Kerjasama antara PAS dan BERSATU bermula secara rasmi menerusi penubuhan Perikatan Nasional pada Ogos 2020 sebelum berakhir selepas kira-kira enam tahun hubungan politik kedua-dua parti itu terjalin. – HARAKAHDAILY 11/6/2026

- Advertisement -