
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju menanggung kos sewaan rumah bagi tempoh tiga bulan pertama kepada 27 keluarga yang terjejas dalam insiden kebakaran di Kampung Gok Kapur di sini baru-baru ini.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, bantuan itu merupakan sebahagian komitmen kerajaan negeri bagi memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara khususnya dalam mendapatkan tempat tinggal sementara yang selesa dan selamat.
Menurutnya, pelaksanaan inisiatif tersebut akan diselaraskan dan diurus selia Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu dengan kerjasama agensi berkaitan supaya bantuan dapat disalurkan secara teratur dan berkesan.
“Kerajaan negeri memahami kesukaran yang sedang dihadapi mangsa dan keluarga susulan kehilangan tempat tinggal serta harta benda dalam kejadian tersebut.
“Justeru, pelbagai bentuk bantuan akan terus dipertimbangkan dan disalurkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan serta kemampuan yang ada,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Tambah beliau, kerajaan negeri turut merakam penghargaan kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan, badan beruniform, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan orang ramai yang tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa terlibat.
Sebelum ini media melaporkan kebakaran di Kampung Gok Kapur memusnahkan 27 rumah kediaman dan menjejaskan 130 mangsa. – HARAKAHDAILY 11/6/2026











