
KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sedang mengenal pasti tapak dan kawasan sesuai bagi menempatkan semula mangsa kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur yang kehilangan tempat tinggal dalam kejadian Isnin lalu.
Yang Dipertuanya, Dato’ Zulkifle Ab Rahman berkata, tapak kebakaran itu difahamkan dimiliki seorang individu dan disewa oleh semua mangsa, malah ada yang telah mendirikan kediaman di kawasan tersebut sejak empat generasi lalu.
Katanya, usaha mencari lokasi penempatan baharu masih di peringkat perancangan dan akan dibincangkan bersama kerajaan negeri sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Perkara ini memerlukan kebenaran kerajaan negeri selain melihat aspek peruntukan yang diperlukan bagi membina rumah baharu sekiranya cadangan itu dipersetujui,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyampaian Sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Gok Kapur di tapak kejadian, di sini, semalam.
Terdahulu, seramai 27 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas daripada MPKB-BRI serta Datuk Bandar Petaling Jaya bagi meringankan beban mereka.
Mengulas lanjut, Zulkifle berkata pihaknya turut akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi membantu mangsa yang layak menerima bantuan.
Menurutnya, perbincangan itu bagi mengenal pasti sama ada terdapat mangsa dalam kalangan asnaf yang boleh menerima bantuan menggunakan dana zakat.
“Bancian akan dibuat terlebih dahulu terhadap semua mangsa bagi mengenal pasti status dan keperluan setiap keluarga supaya bantuan yang disalurkan benar-benar sampai kepada golongan yang layak,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur pada Isnin lalu memusnahkan 27 rumah kediaman dan menjejaskan 130 mangsa.
Turut hadir dalam program berkenaan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon. – HARAKAHDAILY 11/6/2026











