
BEKAS Presiden MCA dan juga Menteri Kesihatan, Tan Sri Dr Chua Soi Lek berpendapat, PAS berpotensi tinggi untuk menang PRU nanti jika orang-orang Cina memboikot PRU dengan tidak mengundi atau merosakkan undi.
Katanya lagi, isu itu sedang merebak dalam diam yang mana kaum Cina kelihatannya kecewa dengan janji-janji pelaksanaan pentadbiran yang bersih.
Saya memahami kenyataan beliau itu sebagai ugutan kepada kaum Cina kerana PAS sentiasa menjadi simbol ketakutan kepada kaum Cina dengan berbagai gambaran negatif dan jahat yang bakal dihadapi oleh kaum Cina, sekiranya PAS memerintah.
Tambah Chua lagi, Dr Sam tidak menjanjikan apa-apa karena masih baharu dan belum diuji. Malah beliau sendiri tidak mengenali Dr Sam. Namun apa yang Chua gagal memberikan kepastian secara tuntas ialah, sejauh manakah negara akan selamat di bawah kerajaan selain dari PAS?
Kedua-duanya sudah terbukti. PAS tiada isu salah laku pentadbiran di negeri-negeri yang mereka kuasai semenjak 36 tahun lalu. Dan parti-parti lain telah ditunjukkan satu persatu skandal-skandal besar yang melibatkan wang rakyat.
Tidak perlu pergi jauh dan mendalam untuk melihatnya. Dalam MCA sendiri kita boleh mengambil iktibar yang banyak, jelas dan nyata mengenai kegagalan MCA sendiri yang diketahui oleh rakyat.
Skandal-skandal Port Klang Free Zone (PKFZ) yang melibatkan wang rakyat berbilion ringgit. Tan Sri Chan Kong Choy, timbalannya yang mengambil alih pentadbiran ketika itu turut mempunyai skandal penipuan. Skandal Pan-Electric pada pertengahan 80-an yang melibatkan Presiden MCA ketika itu, Tan Koon Swan.
Lee San Choon yang menerajui MCA pada awal 80-an juga tidak ketinggalan menempatkan diri dalam skandal Koperasi Serbaguna Malaysia (KSM). Dan pastinya skandal yang menjadi ingatan seluruh rakyat Malaysia ialah skandal seks Tan Sri Chua sendiri.
Jadi apa yang masyarakat Cina perlu lihat jika mahukan perubahan yang lebih baik dalam pentadbiran negara ialah dengan memberikan kepercayaan penuh kepada PAS.
Ya betul, jangan dirosakkan undi itu, tetapi berilah undi itu kepada PAS yang mana PAS ibarat nangka yang berbungkus kain putih, apabila dilihat dalam kegelapan malam, ia kelihatan seperti hantu bungkus. Tetapi jika dilihat pada siang hati dengan cahaya, ia adalah makanan yang memberikan kebaikan kepada banyak pihak.
Bayangkan tiba-tiba undi kaum Cina berubah kepada PAS, kerana sudah melihat nangka berbungkus itu sebenarnya bukan hantu? Boleh kita bayangkan betapa ketakutan mereka semua yang mempunyai skandal itu?
MOHD NASIR ABDULLAH
11 Jun 2026 – HARAKAHDAILY 11/6/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











