
“ATAU adakah perjalanan kami ke Chad dan Cameroon akan berakhir sebelum ia benar-benar bermula?”
Itulah persoalan yang aku tinggalkan pada penghujung siri yang lalu. Ketika itu kami baru sahaja terkandas di KLIA akibat kekeliruan berhubung keperluan e-visa ke Chad. Tiket asal hangus begitu sahaja. Perancangan berbulan-bulan tergendala dalam sekelip mata.
Namun tiada siapa yang sanggup menerima bahawa misi ini akan berakhir di situ. Malam itu juga, sebaik pulang ke Labohan Dagang, kami bermesyuarat secara tergempar. Masing-masing mengeluarkan baki wang yang ada, menghubungi kenalan dan mencari penerbangan alternatif. Keputusan akhirnya dibuat dengan satu tekad yang sama iaitu kami akan cuba sekali lagi.
Beberapa puluh jam kemudian, selepas melalui perjalanan yang panjang dan meletihkan, kami akhirnya mendarat di Lapangan Terbang N’Djamena, Chad. Namun sebaik sahaja melangkah ke balai ketibaan, debaran yang lama hilang kembali menghantui fikiran.
Di hadapan kami berdiri pegawai-pegawai yang memakai uniform bertulis ‘Police Nationale‘. Wajah mereka serius, tanpa senyuman dan cukup menggerunkan. Aku dapat melihat kegusaran yang sama pada wajah rakan-rakan seperjuangan. Kami tahu ujian sebenar mungkin masih belum berakhir.

Kami beratur bersama ratusan penumpang lain yang baru tiba. Ada pelancong asing, ada pekerja antarabangsa dan ramai juga rakyat Chad yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidiladha. Menariknya, tahun ini Hari Raya Aidiladha di Chad jatuh pada hari yang sama dengan Malaysia. Situasi yang agak jarang berlaku kerana kebiasaannya negara-negara Afrika menyambut Aidiladha lebih awal sehari berbanding kita.
Semakin hampir ke kaunter imigresen, semakin kuat degupan jantung kami. Bayangan peristiwa di KLIA masih segar dalam ingatan. Ketika pasport diserahkan kepada pegawai bertugas, soalan yang keluar daripada mulut mereka membuatkan kami saling berpandangan.
“Where is your e-visa?” seorang demi seorang menerima pertanyaan yang sama. Di tiga kaunter berbeza, tiga pegawai berbeza mengulang soalan yang serupa. Kami segera mengemukakan dokumen rasmi daripada Kementerian Luar Negeri Chad yang menyatakan rakyat Malaysia tidak lagi memerlukan visa untuk memasuki negara tersebut.
Namun pegawai-pegawai itu kelihatan keliru. Mereka mula berbincang sesama sendiri dalam bahasa yang kami tidak fahami. Nada suara semakin tinggi. Ada yang menunjuk ke arah dokumen, ada yang merujuk komputer dan ada yang menggelengkan kepala.
Dalam hati kecilku hanya ada satu kesimpulan, “Ah, sudah. Kena hantar balik ke Malaysia nampaknya.”
Tiada siapa yang bersuara, tetapi wajah masing-masing jelas menunjukkan kebimbangan yang sama. Kami baru sahaja membelanjakan wang untuk membeli tiket baharu selepas kegagalan pertama. Jika kali ini kami ditolak masuk pula oleh pihak Imigresen Chad sendiri, entah bagaimana lagi kami hendak menjelaskan keadaan kepada para peserta qurban dan penyumbang di Malaysia.
Ketika suasana semakin tegang, muncul seorang lelaki yang sehingga hari ini masih menjadi misteri kepada kami. Tubuhnya tinggi lampai. Kepalanya botak licin. Wajahnya serius dan agak garang.
Yang menarik perhatian kami ialah pakaiannya. Beliau mengenakan pakaian kebesaran tradisional Afrika yang berkilau sedikit di bawah cahaya lampu lapangan terbang, seakan-akan kurta tetapi dengan identiti Afrika yang sangat jelas. Dari riak wajahnya sahaja sudah cukup membuatkan orang lain menghormatinya.

Tanpa banyak bicara, beliau menghampiri tiga pegawai imigresen yang sedang berbahas mengenai dokumen kami. Dalam bahasa Perancis yang pantas dan tegas, beliau mula bercakap dengan mereka. Chad merupakan bekas jajahan Perancis dan bahasa itu masih digunakan secara meluas dalam urusan rasmi negara.
Kami tidak memahami walau sepatah perkataan yang diucapkannya, tetapi daripada nada suaranya jelas beliau sedang menerangkan sesuatu dengan penuh keyakinan.
Beberapa minit kemudian, sesuatu yang tidak dijangka berlaku. Pasport kami mula dicop. Seorang demi seorang anggota rombongan dipanggil ke hadapan. Seorang demi seorang melepasi pemeriksaan imigresen.
Tidak lama kemudian, kesemua sebelas anggota misi yang berjaya berangkat kali ini telah berada di sebelah pintu masuk negara Chad. Kami saling berpandangan dan tersenyum lega. Alhamdulillah. Pintu Chad akhirnya terbuka untuk kami.
Peristiwa itu membuka mata kami tentang punca sebenar kekecohan yang berlaku sejak di KLIA lagi. Kerajaan Chad sememangnya telah mengumumkan bahawa rakyat Malaysia tidak lagi memerlukan visa untuk memasuki negara mereka. Namun maklumat tersebut nampaknya belum dikemas kini dengan sempurna dalam sistem syarikat penerbangan antarabangsa.
Lebih mengejutkan, sebahagian pegawai imigresen di pintu masuk negara itu sendiri juga kelihatan tidak dimaklumkan mengenai perubahan tersebut. Dalam erti kata lain, kami menjadi mangsa kepada kelemahan penyelarasan maklumat.
Sebaik keluar dari balai ketibaan, kami terus menuju ke kawasan parkir. Rakan-rakan yang pernah datang ke Chad sebelum ini bercerita bagaimana suatu ketika dahulu para pengurup wang hanya duduk di bawah pokok menunggu pelanggan.
Kini keadaan sedikit berubah. Pokok-pokok tersebut sudah tiada dan mereka berkumpul di bawah sebuah astaka kecil yang turut berfungsi sebagai tempat berehat dan bersolat. Walaupun ada sedikit perubahan, suasana Chad masih mengekalkan wajah sebuah negara yang sedang berjuang membina dirinya.
Namun fikiran kami masih kembali kepada lelaki misteri tadi. Kami cuba bertanya kepada beberapa orang tentang identitinya. Yang kami peroleh hanyalah satu nama. Faizal!
Nama yang cukup biasa didengari di Malaysia, tetapi pemiliknya ialah seorang lelaki Afrika yang entah dari mana datangnya, muncul pada saat kami memerlukan bantuan dan kemudian menghilang begitu sahaja.
Siapakah Faizal? Apa kaitannya dengan Ustaz Salam? Apapun dalam hati kami percaya, Allah telah menghantar seseorang untuk membuka jalan ketika semua pintu kelihatan tertutup.
Setibanya di rumah penginapan, kami tidak mempunyai masa untuk berehat panjang. Bagasi hanya diletakkan di dalam bilik. Pakaian ditukar sepantas mungkin. Tidak sampai beberapa ketika kemudian, kami sudah kembali berada di dalam kenderaan menuju ke lokasi pertama program qurban.
Di sebuah kampung yang terletak jauh dari bandar N’Djamena, berdiri sebuah masjid berbumbung hijau yang dibina oleh Yayasan Amal Malaysia. Masjid itu bukan sekadar tempat ibadah, tetapi pusat pendidikan agama bagi ratusan anak-anak kampung.
Di situlah kami memulakan tugasan pertama pada Hari Raya Aidiladha. Di bawah cuaca yang mencecah hampir 45 darjah Celsius, ratusan ekor kambing dan sebanyak 42 ekor unta disembelih hasil sumbangan rakyat Malaysia serta rakan-rakan Muslim dari Singapura.

Ketika berada di sana, kami melihat sendiri bagaimana masyarakat Chad begitu menjaga solat walaupun hidup dalam serba kekurangan. Pada waktu Zuhur dan Asar, ramai yang memilih untuk bersolat di luar masjid di bawah khemah kerana bahang panas di dalam bangunan terlalu menyengat.

Rumah-rumah mereka juga kebanyakannya ditinggalkan kosong pada waktu tengah hari. Penduduk lebih selesa berteduh di bawah pokok sebelum kembali ke dalam rumah apabila cuaca mulai redup.
Menjelang petang, keletihan mula terasa. Namun segala penat lelah hilang apabila melihat kegembiraan penduduk kampung menerima daging qurban. Kami turut dijamu dengan hidangan khoruf, sejenis ternakan yang menyerupai kambing dan kibas yang dimasak mengikut cara tempatan.
Entah apa nama masakannya, tetapi pada ketika itu semuanya terasa cukup lazat. Mungkin kerana lapar, mungkin juga kerana rasa syukur yang tidak terungkap dengan kata-kata. Rasa lembut daging bercampur pasir jarang-jarang, kami telan sahaja. Biasalah, ‘African Style’.

Malam itu, ketika merebahkan badan di tempat penginapan, aku teringat kembali detik-detik kami terkandas di KLIA beberapa hari sebelumnya. Siapa sangka daripada sebuah kegagalan yang hampir mematahkan semangat, kami akhirnya berada di tengah-tengah bumi Afrika menyempurnakan hasrat besar rakyat Malaysia. Namun kami tahu perjalanan ini masih jauh daripada selesai.
Esok menanti tugasan yang lebih besar. Masih ada ratusan lagi qurban dan akikah yang perlu disempurnakan. Masih ada kampung-kampung yang perlu diziarahi. Masih ada tugasan yang perlu diselesaikan. Dan kami tahu, semua lokasi yang dijadualkan pada esok dan lusa cukup jauh dari penginapan kami.
Dan selepas berjaya melepasi dua ujian besar dalam masa yang singkat, semangat kami untuk meneruskan misi ini kekal bersemarak. Moga Allah permudahkan urusan kami esoknya.
NAZMAN CHE IBERAHIM
Yayasan Amal Malaysia – HARAKAHDAILY 11/6/2026











