

SUDAH terlalu lama Kelantan dibaca dengan lensa stereotaip yang sempit. Negeri ini kerap diletakkan dalam kerangka lama tradisional, konservatif, lambat berubah, lalu mudah dilabel tidak berdaya saing dalam gelanggang ekonomi moden.
Namun tanggapan demikian semakin sukar dipertahankan apabila dasar dan orientasi semasa negeri menunjukkan gerak yang jauh lebih kompleks.
Perancangan menghantar pelajar aliran agama ke Korea dan Jerman untuk mengikuti latihan kemahiran berteknologi tinggi membuka suatu hakikat yang tidak boleh dipandang remeh, iaitu Kelantan sedang membina kemajuan menurut acuannya sendiri, tanpa menanggalkan jati diri Melayu-Islam yang menjadi teras masyarakatnya.
Dalam konteks ini, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Kelantan wajar dibaca bukan sekadar sebagai saluran latihan pekerjaan tetapi sebagai instrumen pembentukan modal insan yang menggabungkan kemahiran, akhlak dan disiplin.
Negeri ini tidak melihat pembangunan sebagai perlumbaan meniru model luar, sebaliknya sebagai proses menyesuaikan kemajuan dengan asas nilai yang diyakini.
TVET sebagai strategi mobiliti sosial
Apabila kerajaan negeri merancang menghantar 15 pelajar ke Korea bagi mengikuti latihan dalam bidang enjin, elektrik dan teknologi kenderaan elektrik (EV), mesej yang dibawa cukup jelas iaitu anak Kelantan, termasuk daripada aliran agama, tidak harus dihadkan kepada horizon kerjaya yang sempit.
Mereka sedang diposisikan untuk memasuki sektor industri masa depan yang menuntut kemahiran teknikal tinggi, kecekapan adaptif dan literasi teknologi.
Langkah merintis laluan ke Jerman pula lebih signifikan daripada sekadar simbol hubungan pendidikan antarabangsa.
Jerman mewakili tradisi latihan dual, disiplin industri dan penghargaan terhadap kemahiran sebagai asas daya saing negara. Apabila Kelantan memilih laluan ini, negeri tersebut sedang menghantar isyarat bahawa pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi bukan lagi agenda pinggiran tetapi sedang diletakkan pada paksi strategik.
Justeru, dakwaan bahawa Kelantan mundur kerana mengekalkan orientasi agama tidak lagi memadai untuk menjelaskan realiti yang sedang terbentuk.
Yang sedang muncul ialah satu model mobiliti sosial baharu: pelajar agama tidak dipinggirkan daripada arus teknologi, malah dibawa masuk ke dalamnya dengan kerangka nilai yang lebih utuh.
Antara kekuatan paling menarik dalam pendekatan Kelantan ialah penegasan bahawa pembangunan manusia tidak boleh direduksi kepada aspek fizikal dan pasaran semata-mata.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Mamat, merumuskan inti pati falsafah ini dengan jelas apabila menegaskan, “Pembangunan sebenar bukan sekadar pembangunan fizikal tetapi pembangunan manusia yang yang berilmu, beriman dan berakhlak.”
Kata-kata ini penting kerana bertindak memindahkan perbincangan TVET daripada wacana teknokratik yang kering kepada wacana pembangunan insan yang lebih seimbang
Dalam dunia yang semakin dikuasai logik produktiviti dan pasaran, Kelantan cuba mengekalkan dimensi etika sebagai teras. Ini bukan romantisme budaya tetapi usaha membetulkan kecenderungan pembangunan moden yang kadangkala melahirkan tenaga kerja cekap tetapi longgar nilai amanah.
Atas sebab itu, penekanan terhadap ‘Insan Rabbani yang mantap akidah, tinggi ilmu dan kemahiran, mulia akhlak serta ikhlas dalam amal harus difahami sebagai kerangka pembangunan negeri.
Pekerja mahir
TVET di Kelantan bukanlah pendidikan vokasional yang tercabut daripada akar sosialnya tetapi pendidikan kemahiran yang dirangka untuk berkhidmat kepada masyarakat, ekonomi dan juga tanggungjawab moral.
Lebih tajam lagi, Dato’ Wan Roslan menyebut, “Di Kelantan, kita mahu melahirkan pekerja mahir yang bukan sahaja cekap dalam bidang masing-masing tetapi juga amanah, berintegriti dan menjadikan pekerjaan sebagai ibadah.”
Dalam satu ayat, beliau memecahkan dikotomi palsu antara profesionalisme dan religiositi. Pekerjaan bukan lagi sekadar ruang mencari rezeki tetapi medan amanah.
Satu lagi dimensi yang harus diberikan perhatian ialah pentauliahan Akademi Dalam Industri (ADI) kepada sembilan pemain industri dan institusi di Kelantan, termasuk pusat latihan pertanian, maahad tahfiz, pondok pengajian dan pusat pembangunan kemahiran.
Di sinilah Kelantan melakukan sesuatu yang menarik dari sudut sosiologi pendidikan iaitu ia sedang meruntuhkan sempadan tegar antara institusi agama dan institusi kemahiran.
Pondok dan tahfiz sering dibayangkan sebagai ruang tradisional yang terasing daripada ekonomi kontemporari.
Namun melalui pendekatan ADI yang menekankan pembelajaran berasaskan industri dengan nisbah 70 hingga 80 peratus latihan di tempat kerja, institusi-institusi ini dibawa masuk ke dalam ekosistem kemahiran yang sah dan berkait langsung dengan keperluan pasaran.
Ilmu agama tidak lagi dibayangkan berada di luar pembangunan, sebaliknya boleh hidup seiring dengan latihan pengeluaran tanaman, pengendalian cendawan, pengoperasian masjid dan pengajaran tahfiz yang diperkukuh secara profesional. Dengan kata lain, Kelantan sedang memperkenalkan sintesis yang jarang berlaku yakni tradisi pondok tidak dibubarkan untuk memberi laluan kepada industri, sebaliknya dipertemukan dengan industri dalam bentuk yang lebih tersusun.
Hujah bahawa kemajuan menuntut penyingkiran tradisi sebenarnya lemah jika ditinjau secara perbandingan antarabangsa.
Beberapa negara Barat sendiri membuktikan bahawa pemodenan tidak semestinya lahir daripada pemutusan akar budaya.
Jerman, misalnya, membina kekuatan industrinya melalui sistem latihan dual dan sektor pertukangan mahir yang memiliki tradisi panjang, namun tetap sarat inovasi.
Switzerland pula dikenali dengan sistem pendidikan vokasional kukuh, sambil memelihara ‘living traditions’ sebagai sebahagian warisan kebangsaannya.
Kelantan sedang menapak logik yang sama, meskipun dalam medan dan skala yang berbeza.
Tanah ini tidak meniru Jerman atau Switzerland secara literal sebaliknya sedang bergerak atas prinsip yang sepadan iaitu kemahiran tinggi perlu dibina, namun identiti sosial dan nilai budaya tidak dibuang.
Inilah bentuk kemajuan yang lebih organik.

Menilai Kelantan dengan neraca yang adil
Masalah paling besar dalam membaca Kelantan ialah kecenderungan menilai negeri ini dengan satu ukuran tunggal, seolah-olah kemajuan hanya sah apabila menyerupai model metropolitan yang sekular dan homogen.
Padahal, pembangunan sentiasa berakar pada konteks. Sesebuah masyarakat bergerak bukan dalam vakum tetapi dalam sejarah, budaya, kepercayaan dan struktur sosialnya sendiri.
Atas dasar itu, usaha Kelantan memperkasa TVET berteras-an nilai Rabbani harus diiktiraf sebagai eksperimen pembangunan yang serius.
Walaupun mungkin tidak memenuhi cita rasa semua pihak tetapi tetap menawarkan jawapan yang lebih jujur terhadap persoalan zaman tentang bagaimana melahirkan tenaga mahir untuk industri berteknologi tinggi tanpa membina generasi yang kehilangan kompas moral dan identiti budaya?
Soalan itulah yang sedang dijawab oleh Kelantan. Dari Korea ke Jerman, dari pondok ke industri, dari sahsiah ke teknologi, negeri ini sedang menyusun satu naratif baharu tentang kemajuan.
Maksudnya, Kelantan sedang mengingatkan bahawa kemajuan bukan hanya tentang seberapa canggih mesin yang dibeli atau seberapa besar bangunan yang didirikan.
Kemajuan juga diukur pada keupayaan sesebuah negeri melahirkan manusia yang terampil, berintegriti dan sedar tujuan hidupnya.
Maka apabila TVET diangkat sebagai arus perdana pendidikan, maknanya tenaga kerja dan masa depan negeri sedang dibina.
Bagi Kelantan, masa hadapan itu lahir dengan menjadikan tradisi sebagai akar kepada cabang-cabang kemahiran, teknologi dan daya saing yang baharu.-HARAKAHDAILY 16/4/26















