
PEMBUKAAN penerbangan terus Kota Bharu-Jakarta bermula 16 Jun depan dengan kekerapan empat kali seminggu adalah kejayaan diplomatik yang dirintis Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
Sekali gus menandakan lahirnya satu laluan udara strategik yang berfungsi sebagai jambatan tamadun serumpun dan pemangkin ekonomi rakyat di rantau ini.
Dalam konteks geopolitik dan ekonomi serantau semasa, langkah yang berjaya direalisasikan hasil lawatan rasmi Dato’ Mohd Nassuruddin bersama delegasinya ke Indonesia pada 13 Mei lalu membuka dimensi baharu terhadap kedudukan Kelantan sebagai negeri pelopor perubahan dan pencetus inovasi berteraskan peradaban Melayu-Islam.
Kongsi akar sejarah
Hubungan Kelantan-Indonesia khususnya Jakarta, bukannya ikatan yang tersimpul secara kebetulan.
Kedua-duanya berkongsi akar sejarah yang panjang melalui jalur perdagangan Nusantara, jaringan ulama, pendidikan pondok, bahasa dan budaya yang hampir serupa.

Ketika Menteri Besar Kelantan menegaskan bahawa hubungan Kelantan-Jakarta ibarat adik-beradik yang diikat dengan persamaan agama, bangsa, bahasa dan budaya, kenyataan tersebut sebenarnya menggambarkan hakikat sejarah yang telah lama terbina merentas sempadan politik moden.
“Ketika merasmikan program Kelantan Day di Jakarta pagi tadi (14 Mei) saya tegaskan bahawa hubungan Kelantan-Jakarta ibarat adik-beradik yang diikat dengan banyak persamaan, antaranya agama, bangsa, bahasa dan budaya.
“Hubungan ini diharapkan tidak terikat kepada agenda diplomatik semata-mata, sebaliknya lahir daripada keikhlasan dan persaudaraan yang mendalam demi manfaat bersama,” katanya menerusi media sosial, pada Jumaat.
Atas sebab itu, pembukaan laluan udara ini membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar hubungan pelancongan.
Bahkan menjadi simbol penyatuan semula jaringan tamadun serumpun yang pernah berkembang aktif di rantau Alam Melayu.
Kota Bharu dan Jakarta kini dihubungkan bukan sahaja oleh pesawat Airbus A320 AirAsia tetapi juga oleh sejarah peradaban, ukhuwah budaya dan aspirasi ekonomi bersama.
Kejayaan tersebut turut memperlihatkan kematangan diplomasi negeri yang digerakkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.
Dalam suasana dunia yang semakin bergantung kepada jaringan ekonomi rentas sempadan, pendekatan diplomasi ekonomi yang dijalankan secara berhemah membuka ruang kepada Kelantan untuk tampil sebagai pemain strategik serantau.
Kehadiran delegasi Kerajaan Negeri Kelantan diketuai Menteri Besar Kelantan dalam program Kelantan Day di Jakarta berpeluang memperkenalkan destinasi pelancongan dan mempersembahkan identiti negeri sebagai pusat budaya Melayu-Islam yang dinamik dan progresif.

Pendekatan ini selari dengan kedudukan Kelantan yang semakin dikenali sebagai negeri yang menggabungkan warisan tradisi dengan agenda pembangunan masa hadapan.
Kekuatan tersendiri
Kelantan memiliki kekuatan tersendiri dalam sektor pelancongan berasaskan budaya dan gastronomi.
Seni dikir barat, silat, makanan tradisional, institusi pondok, landskap semula jadi dan budaya masyarakat yang masih kuat berakar pada nilai Melayu-Islam menjadi aset penting yang semakin mendapat perhatian pelancong serantau.
Persembahan kumpulan Suara Muzium di Jakarta misalnya membuktikan seni tradisi Kelantan masih mempunyai daya tarikan besar di pentas antarabangsa.
Selain itu, sektor pelancongan kesihatan dan pendidikan juga berpotensi berkembang pesat hasil keterhubungan terus antara kedua-dua wilayah.
Kota Bharu kini semakin dikenali sebagai destinasi rawatan kesihatan berkualiti dengan kos kompetitif, manakala institusi pendidikan agama di Kelantan terus menarik minat masyarakat Nusantara.
Kelantan sebagai hub transit serantau
Dalam masa yang sama, kedudukan strategik Kelantan yang bersempadan dengan Selatan Thailand memberi kelebihan besar kepada negeri ini untuk muncul sebagai hab transit serantau.

Hal ini selari dengan pandangan Wakil Menteri Luar Negeri Republik Indonesia Arif Havas Oegroseno yang mengakui bahawa Kelantan berpotensi menjadi pusat regional yang menghubungkan Malaysia, Thailand dan Indonesia.
Menurut laporan portal berita Indonesia Rmol.id, Havas berkata, kedudukan geografi Kelantan yang bersempadan dengan Thailand Selatan menjadikan negeri ini sangat berpotensi berkembang sebagai pusat transit serantau yang baharu.
Menurutnya, penerbangan langsung Kelantan-Jakarta diyakini mampu mengubah landskap hubungan ekonomi dan pelancongan di rantau ini apabila Kelantan berperanan sebagai gerbang strategik yang menghubungkan pergerakan masyarakat tiga negara.
“Kelantan berpotensi menjadi pusat regional di bahagian Thailand dan Malaysia, sekali gus menjadi magnet kepada masyarakat di wilayah berkenaan untuk ke Jakarta dan sebaliknya.
“Saya percaya inisiatif ini mempunyai makna strategik yang sangat besar pada masa depan,” katanya ketika menghadiri program Kelantan Day di Hotel Four Points by Sheraton.
Laluan udara Kota Bharu-Jakarta membuka peluang kepada pergerakan lebih dinamik melibatkan pelancong, pelabur serta komuniti perniagaan antara tiga wilayah tersebut.
Jika dimanfaatkan secara menyeluruh, Kelantan mampu berkembang sebagai pintu masuk baharu rantau ini, khususnya bagi sektor industri halal, perdagangan sempadan dan pelancongangan Islam.
Kebangkitan ukhwah Nusantara
Lebih menarik, kejayaan diplomasi serantau ini berlaku dalam suasana kebangkitan semula kesedaran ukhwah Nusantara.

Ketentuan Allah amat indah apabila mentakdirkan pada tarikh yang sama, Program Pidato Perdana Da’i Nusantara yang menampilkan Prof Dr Abdul Somad, berjaya menghimpunkan ribuan umat Islam dari Kelantan dan Selatan Thailand.
Kehadiran masyarakat dari Narathiwat, Pattani dan Yala memperlihatkan bahawa sempadan geografi tidak pernah mampu memisahkan akar budaya dan akidah masyarakat serumpun.
Dalam konteks tersebut, penerbangan terus Kota Bharu-Jakarta bukan sekadar laluan komersial tetapi simbol penyatuan jaringan ummah serantau yang dibina atas asas ilmu, budaya dan persaudaraan Islam.
la memperlihatkan bagaimana pembangunan ekonomi boleh bergerak seiring dengan pengukuhan identiti tamadun.

Kesimpulan
Hakikatnya, dunia hari ini sedang memasuki era persaingan keterhubungan.
Negeri atau wilayah yang berjaya membina jaringan udara, perdagangan dan budaya akan menjadi pemain penting dalam ekonomi masa depan.
Kelantan melalui pendekatan diplomasi berteraskan nilai dan peradaban sedang membuka ruang baharu untuk muncul sebagai negeri yang dikenali kerana warisan sejarahnya serta keupayaannya membina masa depan serantau secara strategik.
Penerbangan Kota Bharu-Jakarta akhinya menjadi lebih signifikan daripada hanya perjalanan dua hala.
Gerbang udara ini adalah laluan tamadun yang menyatukan sejarah, menghubungkan ekonomi dan memperkukuh ukhuwah serumpun demi kesejahteraan rakyat di rantau Nusantara. – HARAKAHDAILY 22/5/2026
















