Saqifah Bani Sa’idah rujukan etika pentadbiran moden

- Advertisement -

PERSOALAN asas dalam sains politik Islam ialah apakah ukuran sebenar bagi seorang pemimpin selepas kuasa berada di tangannya?

Speaker Dewan Negeri Kelantan Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Dr. Mohd Amar Abdullah menyifatkan khutbah pertama Khalifah Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA selepas peristiwa Saqifah Bani Saidah sebagai pelajaran politik yang masih malar segar bagi menjawab persoalan di atas.

Teras hujahnya mudah – pemimpin perlu menjelaskan dasar, matlamat dan arah kerajaan sejak awal. Dalam bahasa politik moden, ucapan Saidina Abu Bakar boleh dibaca sebagai ucapan dasar atau presidential address.

- Advertisement -

Bezanya, ucapan itu untuk menetapkan adab kuasa bukan memahat imej diri. Di sinilah keunikan tradisi politik Islam menyerlah kuasa bermula dengan gentar terhadap tanggungjawab.

Ucapan dasar sebagai kontrak moral

Menurut Dr. Mohd Amar, apabila Saidina Abu Bakar RA berkata, “Aku telah dilantik ke atas kamu, sedangkan aku bukan yang terbaik dalam kalangan kamu,” beliau sebenarnya membentuk kontrak moral antara pemerintah dengan rakyat.

Dato’ Dr. Mohd Amar Abdullah

“Ungkapan itu mengandungi prinsip besar iaitu pemimpin tidak boleh memutlakkan dirinya. Dalam sistem politik, bahaya paling halus berlaku apabila jawatan dianggap bukti kehebatan peribadi.

“Dari situlah lahir budaya kabal kritik, pentadbiran tertutup dan ketaksuban kepada figura,” jelas Dr. Mohd Amar ketika diwawancara pada 13 Julai 2026.

Maka, ucapan Khalifah Abu Bakar RA menegaskan pemimpin wajib menyatakan arah. Rakyat berhak mengetahui ke mana mereka hendak dibawa.

Negara, kerajaan, syarikat atau persatuan mesti bergerak umpama perahu yang ada pendayung. Justeru wawasan ialah kompas.

Tanpa kompas, pentadbiran mudah menjadi rutin, mesyuarat bertukar menjadi upacara dan rakyat hanya menerima janji yang ditabur seperti beras kepada ayam lapar.

Jawatan itu taklif, bukan tashrif

Fokus terpenting dalam temu bual ini ialah penegasan jawatan itu taklif (tanggungjawab) bukan tashrif (kemuliaan).

Dalam kerangka politik Islam, pelantikan bukan lesen untuk diraikan semata-mata. la amanah yang akan dipersoalkan.

Prinsip ini membetulkan kecenderungan budaya politik yang melihat jawatan sebagai lambang status, peluang rangkaian dan puncak pengaruh.

Jika jawatan difahami sebagai tashrif, pemimpin mudah menuntut penghormatan sebelum membuktikan khidmat.

Namun jika jawatan difahami sebagai taklif, pemimpin akan bertanya: siapa yang belum terbela, dasar mana yang belum sampai, keputusan apa yang menzalimi orang kecil dan apakah laporan cantik itu benar-benar memantul realiti rakyat?

Inilah beza antara politik pentas dengan politik amanah – pertama mengejar tepukan, kedua sanggup letih dalam sunyi.

Kelayakan tidak cukup dengan kesolehan peribadi

Selanjutnya, Dr. Mohd Amar mengulas tentang kisah Abu Zar al-Ghifari RA yang menambah dimensi kritikal.

Abu Zar ialah sahabat yang mulia, zuhud dan jujur. Namun apabila Abu Zar meminta hendak menjadi gabenor, Rasulullah SAW bersabda, “إنك ضعيف” yang bermaksud, “engkau ini lemah” kepada Abu Zar.
Ahli Dewan Negeri Panchor itu menjelaskan, lemah di sini bukan lemah fizikal tetapi tidak layak untuk memikul tugas pentadbiran.

Hal ini penting kerana kualiti tersebut memisahkan antara kesolehan peribadi dengan keupayaan institusi.

“Seseorang boleh sangat baik sebagai individu tapi belum tentu sesuai mengurus organisasi, kewangan, konflik manusia dan strategi dasar,” tegasnya.

Nah, di sinilah sains politik Islam menjadi realistik. Kepimpinan menggaris bawah niat baik bahkan memerlukan kemahiran membuat keputusan, keberanian menanggung risiko, kemampuan membaca keadaan, mengurus manusia dan membina keutamaan.

Niat yang baik tanpa kecekapan boleh melahirkan kegagalan yang sopan. Bahayanya, kegagalan itu sukar ditegur kerana dibalut citra kebaikan.

Qawiyyun amin

Seterusnya, Dr. Mohd Amar mengketengahkan konsep qawiyyun amin sebagai kriteria kepimpinan yang lebih praktikal.

Qawiyyun merujuk kekuatan atau kelayakan mengikut bidang. Dalam pentadbiran, kualiti itu bermaksud kemampuan mengurus, merancang dan melaksanakan dasar.

Amin pula ialah amanah, jujur dan tidak menyeleweng. Gabungan kedua-duanya membentuk pemimpin yang tahu bekerja, bahkan boleh dipercayai ketika bekerja.

Namun, pandangan Ibn Taimiyyah yang dibincangkan oleh pemimpin mampan Kelantan ini juga mengingatkan realiti politik jarang sempurna.

Hujahnya, jika kedua-dua sifat sukar dihimpunkan pada seseorang, keutamaan perlu disesuaikan dengan bidang tugas.

Beliau menyua contoh dalam pengurusan kewangan, amanah lebih kritikal kerana ketidakjujuran akan membuka pintu salah guna.

Dalam tugas keselamatan atau peperangan pula kekuatan lebih mendesak kerana keberanian dan ketegasan menentukan kelangsungan misi.

“Prinsip ini menunjukkan Islam tidak membina teori politik di awang-awangan. Islam membaca fungsi, risiko dan keperluan sebenar sesuatu jawatan,” hurainya.

Kritik terhadap idealisme yang terlalu tinggi

Menariknya, perbandingan antara Al-Mawardi dan Ibn Taimiyyah dalam temu bual ini membuka ruang penilaian yang matang.

Syarat kepimpinan yang terlalu ideal seperti kemampuan ijtihad pada tahap tinggi, mungkin sesuai dalam konteks tertentu tetapi sukar diaplikasikan dalam dunia moden yang kompleks.

“Negara hari ini ditadbir melalui institusi, kepakaran sektor, data, perundangan, fiskal, teknologi dan diplomasi. Seorang pemimpin tidak mungkin menguasai semua perkara secara sempurna.

“Namun, hal ini tidak bermakna piawaian boleh direndahkan sesuka hati. Titik seimbangnya ialah pemimpin mesti berilmu untuk memahami dasar, rendah hati untuk merujuk pakar dan berani untuk membuat keputusan.

“Kelemahan besar politik moden ialah apabila pemimpin itu tidak tahu bahawa dia tidak tahu. Pada saat itu, penasihat menjadi perhiasan, data menjadi kosmetik dan rakyat menanggung akibat,” jelasnya.

Rumusan

Secara keseluruhannya, temu bual dengan Dr. Mohd Amar pada hari tersebut menyajikan kerangka kepimpinan yang padat tetapi tajam.

Khutbah Saidina Abu Bakar RA mengajar, pemimpin perlu memulakan pemerintahan dengan dasar yang jelas dan jiwa yang rendah hati.

Konsep jawatan sebagai taklif menghalang kuasa daripada menjadi alat kemegahan. Kisah Abu Zar pula mengingatkan, kesolehan peribadi mesti dipadankan dengan keupayaan mentadbir.

Akhirnya, qawiyyun amin menawarkan rumus politik yang bernas – pemimpin perlu kuat pada bidang tugasnya dan amanah dalam jiwanya.

Rakyat tidak memerlukan orang yang pandai berucap atau orang yang kelihatan baik semata-mata.
Mereka berhajatkan pemimpin yang tahu arah, tahan diuji, jujur mengurus dan sedar setiap jawatan ialah tanggungjawab yang dipikul di dunia sebelum dihitung di hadapan Allah SWT. – HARAKAHDAILY 17/7/2026

-Fathi Yusoff ialah Pegawai Penyelidik, Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia (IPTG) dan Norzana Razały ialah Pengarang di Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN).

- Advertisement -