
Soalan:
Apakah hukumnya belajar ilmu sihir tetapi tidak mengamalkannya, hanya sekadar belajar sahaja?
Jawapan:
Bermula hukum mempelajari ilmu sihir ini menurut sebahagian ulamak adalah kufur dan sebahagian ulamak mengatakan jika sihir itu ada padanya suatu yang mengkufurkan iaitu kufur dan jika tiada yang mengkufurkan maka hukumnya haram.
Dan sebab jadi kufur orang yang mengamalkan sihir itu ialah kerana pada sihir itu membesarkan akan selain Allah dan mengagungkannya dan beriktikad sihir memberi bekas iaitu memudaratkan dengan sendirinya dan memuliakan syaitan dan lainnya.
Berkata Syeikh Abdurrahman Al-Jaziri:
ولا ريب في أنه بهذا المعنى كبيرة من أفظع الكبائر، بل قد يكون ردة ظاهرة
Ertinya: “Dan tiada ragu pada sihir dengan makna ini adalah dosa besar yang sehabis besar bahkan terkadang sihir itu memurtadkan terang-terangan.” (Kitab Al-Fiqh ala Mazahib Al-Arba’ah)
Berkata Imam Badaruddin Al-‘Aini :
اختلفوا فيمن يتعلم السحر ويستعمله. فقال أبو حنيفة ومالك وأحمد: يكفر بذلك
Artinya : “Telah bersalahan oleh ulamak pada hukum seorang yang belajar ilmu sihir dan mengamalkannya. Maka berkata Imam Hanafi dan Malik dan Ahmad : Jadi kufur ia dengan yang demikian itu.” (Kitab Umdah Al-Qari)
Menyebut oleh Imam Al-‘Aini lagi:
وقال الشافعي إذا تعلم السحر قلنا له: صف لنا سحرك؛ فإن وصف ما يوجب الكفر مثل اعتقاد أهل بابل من التقرب إلى الكواكب السبعة وأنها تفعل ما يلتمس منها فهو كافر، وإن كان لا يوجب الكفر فإن اعتقد إباحته كفر
Ertinya: “Apabila ada seorang yang belajar ilmu sihir maka kami berkata baginya: Terangkan bagaimana ilmu sihir kamu itu. Maka jika disifatkan akan perkara yang mewajibkan kufur seperti iktikad orang-orang Babil yang mendekatkan diri kepada bintang yang tujuh dan ia dikerjakan bagi menuntut daripadanya maka iaitu kafir. Dan jika adalah sihir itu tidak membawa kepada kufur maka jika dia iktikadkan harus belajarnya maka hukumnya adalah kufur juga.” (Kitab Umdah Al-Qari)
Berkata Syeikh Abdurrahman Al-Jaziri:
وقد نقل عن بعض فاسدي الخلاق الذين يحترفون السحر أنه يسب الإله، ويسجد لما يسميه قرينة، ومنهم من يضع المصحف الشريف تحت قدمه، ومنهم من يهين الملائكة بالسب، ومنهم من يصف الإله بما لا يليق به، وكل ذلك ردة صريحة، وكفر شنيع بلا نزاع
Ertinya: “Dan sungguh telah diceritakan dari sebahagian orang-orang yang keji perangainya iaitu orang-orang yang mengamalkan sihir sungguhnya dia memaki akan Tuhan dan sujud ia kepada syaitan yang menjadi temannya. Dan setengahnya mereka yang meletakkan mushaf yang mulia di bawah tapak kakinya dan setengahnya mereka yang menghina malaikat dengan maki hamun dan setengahnya mereka yang menyifatkan Tuhan dengan sifat yang tidak layak dengan-Nya. Dan semua yang demikian itu adalah murtad yang sangat terang kufur yang sangat keji tanpa ragu.” (Kitab Al-Fiqh ala Mazahib Al-Arba’ah)
Dan jika perbuatan sihir itu tidak sampai melakukan perbuatan-perbuatan tersebut seperti sihir untuk pertunjukan misalnya maka tidaklah jadi kafir pelakunya tetapi haram dan dosa besar.
Tersebut pada Kitab Adhwa’ Al-Bayan:
وإن كان السحر لا يقتضي الكفر كالاستعانة بخواص بعض الأشياء مِن الدِّهانات وغيرها، فهو حرام حرمة شديدة، ولكنه لا يبلغ بصاحبه الكفر
Ertinya: “Dan jika adalah sihir itu tidak menghendaki bagi kufur seperti meminta tolong dengan keistimewaan beberapa jenis barang seperti minyak dan lainnya maka iaitu haram yang bersangatan akan tetapi tidak menyampaikan pelakunya kepada kufur.”
Semoga jawapan yang serba ringkas ini mencukupi bagi pihak yang bertanya.
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 17/7/2026











